Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, February 8, 2010

Elak Guna Komputer Dalam Gelap

MATA sering terdedah kepada udara yang tercemar, bakteria, alat solek dan pelbagai faktor lain. Oleh itu, penjagaan mata untuk mengelakkan tekanan perlu dilakukan bagi melindungi organ penglihatan berkenaan secara menyeluruh.

Pakar mata, Dr Norazlina Bachik Ng, berkata penjagaan khusus perlu dilakukan untuk memastikan mata sihat tanpa mengalami masalah yang memudaratkan.

Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan terutama kepada mereka yang sering menggunakan komputer.

* Dapatkan rehat selepas sejam atau dua jam bekerja di hadapan komputer dengan mengalihkan pandangan ke arah objek yang jauh.
Pada waktu ini jangan membaca. Ini bertujuan untuk merehatkan otot mata yang keletihan.

* Lakukan aktiviti regangan dan meluruskan badan. Kedudukan yang baik membantu menghalang kesakitan di bahagian otot leher dan belakang badan.

* Sentiasa melembapkan permukaan mata dengan penggunaan ubat titisan mata bagi mengelakkan kekeringan mata.

* Elakkan diri daripada bekerja menggunakan komputer dalam keadaan gelap.


Selain itu, Dr Norazlina turut memberikan tip untuk mengelakkan kerosakan mata dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan pengambilan pil multivitamin jika perlu.

Sentiasa amalkan membaca dengan cahaya yang terang, di samping mengelakkan membaca dalam keadaan gelap atau menggunakan cahaya malap.

Malah, elakkan tabiat membaca dalam keadaan berbaring dan kurangkan menonton televisyen atau bermain permainan komputer untuk tempoh yang lama tanpa rehat.

Jika menonton televisyen, ia perlu dilakukan dengan jarak lebih daripada dua meter.

Di samping itu, menurutnya, pengambilan vitamin C dapat membantu untuk menjaga kesihatan badan dan mempercepatkan proses penyembuhan luka secara keseluruhannya, bagaimanapun ia tidak tertumpu kepada mata saja.

Saranannya, kategori makanan untuk penjagaan mata merujuk kepada piramid makanan pada paras dua iaitu buah-buahan dan sayur-sayuran.

Paling penting adalah pengambilan vitamin A iaitu susu, keju, kuning telur, hati dan pelbagai ikan yang tinggi kandungan lemak serta sayuran dan buah-buahan yang berwarna kuning atau merah sesuai untuk meningkatkan tahap penglihatan.

Setiap individu digalakkan untuk mengambil makanan dalam kategori ini bagi menjaga kesihatan mata secara keseluruhannya.

Sumber : Metro

0 comments: