Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, February 19, 2010

Nak Hidup Pun Susah...Apatah Lagi Untuk Mati

Oleh DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI


NAK HIDUP pun susah..apatah lagi untuk mati...Dalam kehidupan kita ada beberapa perkara yang tidak boleh kita atur mahupun rancang dengan sebaiknya.Antaranya, di mana dan bila kita akan dilahirkan, dalam keluarga mana kita akan dibesarkan, bila akan kita meninggal dan di mana kita akan dikebumikan.

Pengalaman yang saya tempuhi baru-baru ini membuktikan kenyataan di atas amat benar sekali. Tiada siapa ingin mengalami kematian yang tragis, apatah lagi kesukaran dalam menyempurnakan jenazah.

Rupanya bukan mudah untuk menguruskan jenazah di bumi Australia ini. Begitu banyak kerenah birokrasinya yang boleh dianggap remeh dan menyusahkan.

Epilog ini bermula dari saat pengkhabaran kematian diterima, sebagai rakan dan juga rakan senegara datang melawat memberikan penghormataan terakhir di hospital. Kita sebagai umat Islam seboleh-bolehnya ingin menyempurnakan jenazah tersebut secepat mungkin.

Namun peraturan di sini adalah sebaliknya. Jika berlaku kematian kita hanya mempunyai dua pilihan - sama ada menggunakan perkhidmatan pengkebumian ataupun menguruskannya sendiri.

Bagi mereka yang berkemampuan, perkhidmatan pengkebumian, menyediakan pakej serba lengkap “hassle free” dan agak selesa, namun harganya amat menyeksakan.Bagi yang tidak berkemampuan, pilihan kedua merupakan pilihan yang terbaik.

Namun, anda perlu mempunyai rakan yang sanggup berkorban, menghulurkan wang ringgit (dollar), tenaga dan masa. Akan tetapi kemahiran berkomunikasi serta melayani kerenah pengurusan amat mustahak pada masa begini.

Untuk mengebumikan mayat, peraturan yang ada di sini ialah perlu mendapat kebenaran dari pihak berkuasa terlebih dahulu. Surat kebenaran ini hendaklah didapati sebelum urusan mencari tanah perkuburan dilakukan.

Antara persoalan yang ditanya oleh “local council”, siapakah yang akan menguruskan jenazah? Hanya mereka yang mempunyai kelayakan serta diiktiraf di sini, yang boleh melakukannya.

Amat mudah mencari siapa yang sanggup menguruskan jenazah tapi agar sukar mencari mereka yang diiktiraf oleh pihak berkuasa sini. Ketika inilah terfikir betapa pentingnya hubungan baik dengan pihak berkuasa jika berlaku sesuatu kesusahan begini.

Setelah surat kebenaran dari pihak berkuasa diperolehi, tanah kubur hendaklah dibeli. Anehnya satu lot tanah kubur di sini, dimiliki oleh dua orang. Ini bermakna, satu tanah boleh dikebumikan dua mayat.

Selalunya suami isteri akan membeli satu lot, dan mengharap, satu hari kelak mereka akan disemadikan bersama-sama.Harga bagi satu lot dewasa lebih kurang AUD5,000 (RM 16,000) manakala satu lot untuk kanak-kanak mencecah AUD2,000 (6,400). Kubur tidak akan digali sehinggalah dibayar jumlah yang dipinta.

Untuk menjimatkan kos pembelanjaan kami bercadang untuk menggali sendiri tanah kubur tersebut, namun peraturan di sini, memerlukan setiap penggali kubur membeli insuran khas kerana takut berlaku sebarang kecelakaan ketika proses penggalian.

Jika dikira akan kos membeli insuran dengan mengupah pihak berkuasa melakukannya, maka adalah lebih baik pihak berkuasa melakukannya.

Epilog ini tidak berakhir begitu sahaja. Jenazah tidak boleh dibawa keluar jika tidak menggunakan kenderaan jenazah. Kenderaan ini hendaklah disewa dari senarai yang diberikan oleh pihak berkuasa sahaja.

Ketika ini teringat akan dialog dalam filem P.Ramlee, madu tiga, “mahu hidup pun susah, mahu mati pun lagi susah”.

Memasuki hari ketiga, barulah jenazah dibawa keluar dari hospital menggunakan kereta jenazah yang di sewa ke masjid berhampiran. Saya diberi penghormatan oleh masyarakat setempat untuk memandikan jenazah serta mengimamkan solat jenazah di masjid tersebut.

Selesai sahaja solat, jenazah dibawa ke tanah perkuburan, yang pastinya tanah perkuburan “multi-faith”. Sesuatu yang tidak mungkin berlaku di tanah air kita. Sampai sahaja di situ, tanah sudah digali, hanya ditutup dengan kayu-kayu disusun rapi.

Saya mengarahkan seorang untuk turun dan mengalih kayu-kayu tersebut. Bertambah terkejut saya apabila tiada liang lahad disediakan.

Terkasima para jemaah melihat suasana begini, dan saya diarahkan pihak berkuasa untuk segera mengkebumikan jenazah berserta dengan keranda. Setelah berunding seketika, akhirnya pihak berkuasa membenarkan jenazah dikebumikan tanpa keranda.

Selesaikan sahaja tanah dikambus, kayu dipacak berserta nama jenazah dipakukan.Linangan air mata mengalir bersama dengan bacaan doa mengakhiri epilog duka ini.Saya amat simpati dengan keluarga arwah, begitu banyak liku yang mereka hadapi, namun mereka begitu tabah dan cekal.

Bila berlaku begini, terimbau akan tanah tumpah negaraku, alangkah bertuahnya hidup di Malaysia, hidup mudah nak mati pun mudah juga.

Hidup di rantau penuh dengan ranjau dan duri, namun ikatan persahabatan melampaui segalanya. Melalui ukhwah begini, tiada kekusutan yang tidak boleh terungkai, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan.Mstar

DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI merupakan honorary visiting academic di Asia Institute, University of Melbourne. Beliau boleh dihubungi menerusi emel asani@unimelb.edu.au

0 comments: