Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, March 5, 2010

Tindakan Mahkamah Rayuan Luarbiasa -Peguam Sankara

Hakim Dato' Mohamad Zabidin Bin Mohd Diah


Mahkamah Rayuan bertindak luar biasa apabila menetapkan tarikh pendengaran kes rayuan pada 19 Mac ini, walaupun para peguam Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim belum lagi memfailkan petisyen rayuan.

"Malahan mahkamah itu telah bertindak di luar batas peraturan-peraturannya sendiri (Peraturan-Peraturan Mahkamah Rayuan 1994)," kata peguam beliau, Sankara N Nair dalam satu kenyataan media semalam.

Permohonan rayuan Anwar untuk mengenepikan hakim Zabidin Mohd Diah dalam kes tuduhan liwat ini akan didengar pada 19 Mac, jam 9.00 pagi di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Menurut Sankara, peraturan-peraturan itu menyebut selepas menerima Rekod-Rekod Rayuan, pembuat petisyen (Anwar Ibrahim) mempunyai 10 hari untuk memfailkan permohonan kepada Mahkamah, satu petisyen rayuan sahaja.

"Selepas itu, barulah Mahkamah Rayuan boleh menetapkan tarikh pendengaran rayuan itu," tambah beliau.

Sankara berkata, "dalam situasi sekarang, saya telah menerima rekod-rekod rayuan pada 1 Mac 2010 dari Mahkamah Tinggi. Menurut Peraturan-Peraturan yang tercatat di atas, saya mempunyai 10 hari, iaitu sehingga 11 Mac 2010, untuk memfail petisyen rayuan Anwar (dengan menyatakan sebab-sebabnya).

"Hanya selepas saya memfailkan petisyen rayuan, Mahkamah Rayuan, mengikut Peraturan-Peraturan, boleh menetapkan tarikh pendengaran rayuan tersebut.

"Dalam kes ini, saya belum lagi memfailkan petisyen rayuan dan saya terperanjat apabila saya dimaklumkan bahawa Mahkamah Rayuan telah menetapkan tarikh pendengaran pada 19 Mac 2010," ujar beliau.

Kata beliau, "Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang mengejutkan dan "terkeluar dari amalan biasa" dalam proses rayuan yang melibatkan Anwar. Tindakan yang diluar dugaan ini merupakan satu pencabulan terhadap peraturan dan ini membimbangkan kita.

"Adalah perlu disebut bahawa pada masa lalu, Anwar pernah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Walaupun disertai dengan "certificate of urgency" untuk mendapatkan pendengaran awal, tetapi mahkamah tidak memperdulikan hal ini, berbanding dengan kes ini.

"Daripada tindakan-tindakan di atas oleh Mahkamah Rayuan, terdapat percubaan diskriminasi terhadap Anwar memandangkan tindakan Mahkamah Rayuan yang tidak memperdulikan Peraturan-Peraturannya sendiri dan ini tidak sekali-kali dapat diterima," tegas Sankara.


Sumber : Kelab GB

0 comments: