Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, April 21, 2010

Apa itu kebaikan didunia?


Oleh :asyieqien_eqin

RABBANA ATINA FIDDUNYA HASANAH..... .
"Wahai Tuhan Kami... Kurniakanlah kepada kami kebaikan didunia dan di akhirat, dan jauhkanlah kami dari azab api neraka"... .

adalah antara doa yang sering kita ulang-ulangkan saban hari selepas solat fardhu.. Tapi apakah sebenarnya Kebaikan didunia yang dimaksudkan itu?

1. Mendapat taufik dan hidayah Allah
Orang yang mendapat taufik dan hidayah ertinya dia seorang yang
dibantu oleh Allah untuk mengamalkan islam. Islam beerti selamat. Orang islam kalau kekal mendapat taufik dan hidayah dari Allah, akan selamat didunia dan akhirat.

Sabda nabi s.a.w.:"Sungguh beruntung orang yang beragama Islam"(Riwayat Muslim).

2. Diberi kefahaman agama.
Untuk amalkan Islam kefahaman tentang Islam juga dikira telah mendapat kebaikan didunia. Orang islam yang tidak diberi kefahaman tentang Islam oleh Allah akan mengamalkan apa yang disangkanya dari ajaran Islam tetapi sebenarnya menyeleweng dari Islam. Hidup tak akan benar-benar selamat dan tak mampu menyelamatkan orang lain.

Sabda nabi: "Sesiapa yang Allah mengkehendaki kebaikan kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

3. Dapat berbuat amalan soleh.
Dengan kefahaman agama yang Allah beri, seseorang itu dapat berbuat amal soleh. Ini juga merupakan kebaikan di dunia kerana hidup akan terisi perkara baik dan tidak terumbang-ambing.

Firman Allah:"Orang- orang yang berbuat baik didunia ini memperolehi 'hasanah' (kebaikan). Dan bumi Allah itu adalah luas"(Az-Zumar: 10).

4. Mendapat Ilmu yang bermanfaat.
Ilmu yang bermanfaat adalah panduan untuk mengisi hidup dengan perkara-perkara yang baik dan selamat.

Sebab itu Nabi s.a.w: "Ya Allah ya Tuhanku, berilah manfaat kepadaku dari apa-apa yang engkau ajarkan kepadaku dan ajarkanlah daku apa-apa yang bermanfaat buat diriku."
(Riwayat at-Tabrani)

5. Mendapat pasangan hidup yang soleh/solehah, zuriat penyejuk hati,sahabat yang solihin.
Kebahagiaan hidup adalah perkara yang semua orang impikan.

Sabda Nabi: "Empat dari tanda-tanda kebahagiaan seseorang: Isterinya solehah, anak-anaknya abrar (soleh), teman-temannya orang soleh dan sumber rezekinya di negeri sendiri."
(Riwayat ad-Dailami dari Ali .a).

Isteri atau suami yang baik membantu seseorang mendekatkan diri kepada Allah. Anak-anak yang baik akan terus memberi manfaat setelah kematian kita. Pahala amalan baiknya hasil didikan kita dan doa mereka akan terus mengalir kepada kita. Sahabat yang baik akan membawa kita kepada jalan hidup yang selamat. Mereka tempat kita berkongsi masalah dan kegagalan, bukan hanya berkongsi senang dan kejayaan.

6. Kesihatan dan kesejahteraan.
Dengan mempunyai kesihatan yang baik, banyak perkara yang dapat dilakukan dalam hidup ini. Kesihatan juga sering dikaitkan dengan kesejahteraan hidup.

Nabi s.a.w memohon:"Ya Allah, afiatkanlah tubuhku dan afiatkanlah pendengaranku. " (Riwayat Ibnu Syaibah)

7. Panjang Umur dalam ketaatan.
Hampir setiap orang mahu hidup lama kecuali orang yang putus asa dengan hidup (na'uzubillah) .

Sabda nabi s.a.w: "Sesungguhnya sehabis-habis kebahagiaan itu ialah panjang umur dalam mentaati Allah."
(Riwayat Khotib daripada Abdullah dari bapanya).

8. Mendapat rezeki yang halal.
Nabi s.a.w menekankan agar umatnya berusaha mendapatkan rezeki halal kerana ia memberkatkan hidup. Dalam satu hadis, baginda mengatakan bahawa mencari rezeki yang halal itu satu jihad.

Malah sabdanya: "Amalan yang paling utama itu ialah mencari rezeki dari sumber yang halal." (Riwayat al-Hakim).

9. Beroleh keimanan dan ketaqwaan.
Dengan iman dan taqwa, seseorang itu mulia disisi Allah dan manusia.

Sabda nabi: "Semulia-mulia manusia adalah orang yang paling bertaqwa diantara kamu." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

10. Banyak mengingati Allah s.w.t.
Nikmat paling besar yang manusia cari-cari dalam hidup ialah nikmat ketenangan.

Firman Allah: "Sesungguhnya dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang." (Ar-ra'ad:28) .
Sabda Nabi s.a.w:"Aku berpesan kepada kamu semua supaya mengingati Allah, kerana hal itu dapat menghiburkan hati kamu dari segala kesulitan duniawi." (Riwayat ad-Dailami).

11. Berjaya menyucikan jiwa dari mazmumah.
Hidup tak akan tenang jika hati penuh hasad dengki, tamak, takut, benci dan pelbagai sifat mazmumah lain. Tidak hairanlah dikatakan orang yang bersih hatinya daripada sifat mazmumah ini adalah orang yang mendapat kebaikan didunia. Bila menghadapi musibah, dia sabar dan bersangka baik dengan Allah. Bila dapat nikmat, dia bersyukur. Hatinya tak pernah keluh-kesah.

Firman Allah:"Sesungguhnya berjaya dan beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya." (Al-A'lah:14)

12. Mati dalam kebaikan (Husnul Khotimah).
Ini merupakan penutup segala kebaikan di dunia.

Firman Allah s.w.t:
"…demikian Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertaqwa, iaitu orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka) Salamun 'Alaik." (Riwayat Abu Na'im).

Kebaikan di dunia itu sebenarnya milik hamba-hambaNya yang taat, hamba yang lebih utamakan akhirat dari dunia. Dalam surah an-Nahl:22, dinyatakan bahawa Allah mengurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s hasanah di atas kehidupan dunia. Ayat ini menjadi dalil bahawa ada kebaikan duniawi yang Allah beri kepada hamba-hambaNya yang dikehendaki.

Sumber : Ukhwah.com

0 comments: