Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, April 30, 2010

Penjelasan YB Mohd Nasir Berhubung Soalan Bidang Kuasa Sultan

Oleh YB. MOHD NASIR BIN MUSTAFA
ADUN KUBANG ROTAN

Saya bertanyakan empat soalan lisan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini, di mana dua daripadanya menjadi kontroversi berpunca dari bantahan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Mahadzir Khalid.

Dua soalan tersebut ialah:
Sejauh manakah bidang kuasa KDYMM Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dihormati oleh kerajaan Pusat?

Setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan kerajaan negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam, nyatakan perkara tidak boleh tersebut?

Setengah-setengah soalan ditanya bukan bertujuan untuk mendapatkan penjelasan hanya kerana penyoal tidak tahu. Secara ikhlas dan berterus terang, saya mahu pihak yang menjawab menjelaskan perkara sebenar yang berlaku. Itulah hakikatnya yang saya lakukan.

Penjelasan terhadap soalan (a):

Dalam soalan (a) saya mahu dijelaskan, apakah Kerajaan Pusat sebenarnya tidak menghormati bidang kuasa KDYMM Sultan Kedah sebagai ketua agama Islam. Sebagai contoh, Kerajaan Pusat melalui JAKIM telah memanggil imam-imam seluruh negeri Kedah di SP Inn pada 4 April 2010 hari Ahad di rasmikan oleh YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj Baharom (B) Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari Kerajaan Pusat.

Soalan ini timbul kerana kekeliruan saya terhadap tahap campur tangan Kerajaan Pusat terhadap pentadbiran Agama Islam di negeri Kedah. Bahkan bagi saya campur tangan pihak Kerajaan Pusat boleh mengelirukan pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (JAIK) berhubung bidang kuasa pentadbiran agama peringkat negeri dan Kerajaan Pusat.

Penjelasan terhadap soalan (b):

Dalam soalan (b) saya mahu memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak pernah dengan sesuka hati dan sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai masjid hanya kerana sebab politik kepartian, seperti tuduhan yang dibuat oleh ADUN Bakar Bata, Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah baru-baru ini.

ADUN Bakar Bata dalam laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 6 April 2010 bertajuk ‘Pegawai Masjid Dipaksa Bersara’ telah menghasut pegawai-pegawai masjid tertentu supaya tidak mengisi borang M4 seperti yang diminta oleh Pejabat Agama Daerah Kota Setar. Tindakan ini terang-terangan telah mencampuri bidang kuasa KDYMM Sultan.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sedar bahawa pentadbiran agama adalah di bawah bidang kuasa Sultan, sebab itu mengambil sikap tidak campur tangan.
Dengan itu tuduhan bahawa pelantikan dan pemecatan imam adalah kerana ‘arahan politik’ Kerajaan Negeri adalah tidak benar dan berniat jahat.


Kedua-dua soalan tidak mempertikaikan kuasa Sultan

Sama ada secara tersurat atau tersirat, soalan saya langsung tidak mempertikaikan bidang kuasa Sultan seperti yang dilaporkan oleh media arus perdana. Apatah lagi kata-kata yang bermaksud menghina Sultan.

Saya yakin semua pihak yang waras jika membaca atau mendengar soalan lisan ini bersetuju bahawa tidak wujud walau sepatah perkataan yang mempertikai kuasa KDYMM Sultan, kecuali pihak pembangkang (BN) dan media-media tertentu yang dikuasai mereka. Mereka cuba mengalih dan menyembunyikan isu sebenar perihal campur tangan mereka dalam pentadbiran agama Islam negeri Kedah.

BN membantah untuk menutup tindakan mereka tidak hormat bidang kuasa Sultan

Pertikaian Ketua Pembangkang terhadap soalan dalam Sidang DUN bukan kerana saya ‘mempertikaikan kuasa Sultan’ tetapi kerana menyedari bahawa hasil dari soalan ini akan mendedahkan tindakan-tindakan mereka selama ini yang mencampuri dan tidak menghormati bidang kuasa KDYMM Sultan.

Oleh itu, mereka telah berhempas pulas untuk memastikan soalan saya tidak dijawab dengan harapan tertutuplah salahlaku mereka yang cuba saya bongkarkan.
Penjelasan Terhadap Kenyataan PKDK

Desakan oleh YDP Persatuan Kerabat Diraja Kedah supaya saya memohon ampun kepada KDYMM Sultan tidak timbul kerana:

YDP PKDK mungkin tidak meneliti soalan lisan saya sehingga mengeluarkan kenyataan menuduh bahawa soalan saya menghina Tuanku Sultan.

Salah faham ini berlaku mungkin kerana YDP PKDK tidak berada di dalam persidangan Dewan dan hanya membaca serta mendengar melalui laporan media.

Berdasarkan laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 28 April 2010 desakan yang sama dibuat oleh Ketua Pemuda BN Kedah, Encik Badrul Hisham Hashim menambahkan keyakinan saya bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh PKDK telah dipengaruhi oleh unsur-unsur politik kepartian.

Kesimpulannya, saya mengharapkan semua pihak bertenang dan tidak terperangkap politik murahan pihak pembangkang (BN) yang sudah ketandusan isu.

(Gambar Keratan akhbar:Membuktikan Siapa Yang Sebenarnya Penderhaka)


0 comments: