Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, April 12, 2010

Wasiat LUQMAN AL-HAKIM

Hari ini terlalu ramai ibu bapa yang menghamparkan pelbagai bentuk keduniaan dalam cara didik untuk anak-anak mereka. Tidak kurang juga hadirnya kalangan ibu bapa yang gila dan histeria kebanggaan bila mana anak-anak mereka berjaya menyertai pertandingan nyanyian seperti Malaysian Idol, Akademi Fantasia, Bintang Kecil dan sebagainya. Malah ada yang menangis penuh kecewa sampai kutuk juri kerana anak mereka gagal ke final.

Yang gila belajar pula sibuk menghantar anak-anak ke kelas tuisyen siang malam, tak kira waktu cuti atau tidak. Anak-anak yang tertekan ini ada yang membunuh diri bila mana keputusan peperiksaan mereka gagal mencapai standard yang ditetapkan oleh mak ayah. Mak ayah ini pula selalu terdesak dan mendesak ekoran dari persaingan dengan ibu bapa lain yang terdiri dari saudara mara dan jiran tetangga. Malu kalau anak mereka dapat no. 2, mereka nak anak mereka sentiasa yang pertama!

Akhirnya lupalah mereka pada asas-asas pendidikan yang terbaik untuk anak mereka....

WASIAT LUQMAN BUAT IBUBAPA

Wasiat turut memainkan peranan yang penting di dalam berdakwah. 'Bapa' memikul tugas yang amat berat untuk memelihara kebahagiaan keluarga yang terdiri dari isteri dan anak-anak. Kita telah dihidangkan oleh Al Quran bagaimana Luqman al-Hakim mendidik anaknya. Dan sebagaimana yang dimaklumi sebuah surah khusus di dalam Al Quran diberi nama dengan nama Surah Luqman.


Ramai di kalangan umat Islam tidak mengetahui bahawa 'wasiat' yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya itu merupakan salah satu 'teknik' di dalam berdakwah. Sekiranya teknik ini diamati lalu dipraktikkan di dalam kehidupan seharian,nescaya anak-anak akan lahir sebagai muslim yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Bertuahlah sebuah keluarga yang mempunyai anak-anak seperti mereka.
Mempunyai generasi yang diibaratkan umpama purnama yang menerangi kegelapan malam.

Wahai ayah dan ibu, wasiatkan kepada anak-anakmu sepertimana wasiat yang diajar oleh Luqman al-Hakim!!!
Dr.Wahbah Az-Zuhaili telah berkata di dalam bukunya 'Tafsir Munir': "Al Baidhawi telah berkata bahawa nama Luqman sebenarnya ialah Luqman bin Ba'ura. Beliau bukannya nabi tetapi jumhur mengatakan bahawa beliau seorang yang bijaksana. Diberikan kepadanya Al Hikmah iaitu kelebihan pada akalnya, cerdik dan perkataan atau kalam yang dikeluarkannya memberi kesan kepada manusia. Nama sebenar anaknya ialah (mengikut As-Suhaili) An'am atau Asykam atau Matan atau Tharan."

Abd. Rahman Hassan Al Maidani
berkata di dalam bukunya 'Fiqh Dakwah' bahawa di sana terdapat 14 jenis permasalahan yang dapat dipelajari melalui kisah Luqman mendidik anaknya melalui 'wasiat'. Oleh itu marilah sama-sama kita menilai wasiat tersebut yang mengandungi 14 permasalahan penting buat umat Islam selepas ini.

  1. Tulisan berikut selepas ini berdasarkan terjemahan dan olahan melalui buku karangan Dr.Wahbah Az-Zuhaili dan Abd.Rahman Hassan Al-Maidani yang tersebut di atas.
  2. Untuk memudahkan anda,sila rujuk terjemahan/tafsir Al Quran bagi ayat 13-19 Surah Luqman.

Permasalahan Pertama

Perkara pertama yang diajar oleh Luqman kepada anaknya ialah jangan syirik kepada Allah SWT. Disebutkan di dalam wasiat ini, bahawa syirik kepada Allah SWT adalah kezaliman yang amat besar. Mengapa? Kerana ia mengandungi syirik terhadap Rububiyatullah (Allah Yang Maha Berkuasa memelihara alam semesta) dan syirik terhadap Uluhiyatullah (Tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah). Atau dengan ertikata lain, mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu lain yang juga mampu memelihara alam semesta dan mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain yang juga layak untuk disembah. Inilah Syirik!!!

Meskipun syirik terhadap Uluhiyatullah lebih ringan dari syirik terhadap Rububiyatullah, akan tetapi Allah
SWT tidak akan mengampuni dosa orang yang mati dalam hal demikian! Syirik sebesar-besar kezaliman. Zalim pula bererti meletakkan sesuatu bukan di tempat yang sepatutnya. Lagi sekali kita ingin mengajukan soalan. Mengapa syirik dikatakan zalim? Telah disepakati, bahawa Allah SWT-lah yang menciptakan makhluk semesta alam. Allah SWT jua yang menurunkan nikmat. Adakah layak kita samakan kekuasaan Allah SWT ini dengan sesuatu kuasa yang lain? Jika ada di kalangan manusia yang menyamakan kekuasaan Allah SWT dengan kuasa yang lain maka ia telah melakukan kezaliman!!!

Allah
SWT sahaja yang layak disembah dan diagungkan kerana apa yang dilakukan-Nya itu tak mampu dilakukan oleh kuasa lain. Tetapi jika kuasa lain yang diagungkan, maka inilah kezaliman. Iaitulah meletakkan sesuatu bukan di tempat yang sepatutnya.

Inilah yang diperkatakan melalui ayat 13 surah Luqman yang bermaksud:
"Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah SWT. Sesungguhnya mempersekutukan Allah SWT itu adalah kezaliman yang amat besar."

Permasalahan Kedua

Luqman mengajar anaknya supaya bersyukur kepada Allah SWT di atas anugerah nikmat-Nya yang tak terhitung luas dan banyak. Dan kesyukuran mengandungi erti: Balasan perbuatan yang indah dan baik dengan perbuatan yang juga baik dan indah. Termasuk di dalam erti kata syukur ini ialah beribadah kepadaNya dengan melakukan ibadat-ibadat seperti yang disyariatkan, mendekatkan diri kepadaNya, menuntut keredhaan-Nya dan memuji-Nya serta menghadapkan diri dengan berdoa kepadaNya yang Maha Esa.

Memuji lebih umum dari bersyukur kerana hak mutlak kepujian itu diberikan ke atas yang dipuji pabila bersifat dengan sifat atau sifat-sifat yang baik. Hatta yang dipuji itu tidak melakukan sesuatu kebaikan terhadap pemuji.


Dan peringatan 'kesyukuran' kepada Allah
SWT ini dikaitkan dengan pembalasan pada Hari Qiamat. Jika sekiranya kesyukuran itu kepada Allah SWT, maka akan mendapat balasan pahala dan jika sebaliknya akan mendapat balasan siksaan di atas kekufuran dan keingkaran.

Inilah yang diperkatakan melalui ayat 14 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibubapanya...Bersyukurlah kepadaku dan...Kepadaku tempat kembali."

Permasalahan Ketiga

Luqman mendidik anaknya agar berterima kasih kepada ibubapa di atas susah payah dan jerit perih mereka membesarkan dan mendidik anak dengan segala macam pemberian dan kebaikan untuk anak tersayang. Tunaikan hak keduanya terutama kepada ibu. Kerana ibu bersusah payah menanggung penderitaan bermulanya dari proses mengandung sehinggalah melahirkan anak, menyusu sehingga tamat tempoh berakhirnya penyusuan selama 2 tahun dan mentarbiyah anak siang dan malam. Sesungguhnya ketaatan kepada ibubapa walaupun berlainan agama adalah wajib diikuti kecuali pabila disuruh mengerjakan maksiat dan meninggalkan amal ibadat yang disyariatkan oleh Islam. Maka ketika itu haram mentaati perintah itu.

Lihatlah tingkatan terima kasih (syukur) yang ditonjolkan melalui wasiat ini. Terima kasih/kesyukuran kepada ibubapa datang selepas syukur kepada
Allah SWT. 'Logiklah' bahawa ucapan terima kasih/syukur ini pertama-tamanya buat Khaliq (pencipta). Selepas itu barulah diikuti pula buat makhluk yang didahului oleh ibu bapa yang tercinta.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 14 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan dan menceraikan menyusu dalam 2 tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu! Kepada-Ku tempat kembali."

Permasalahan Keempat

Luqman mendidik anaknya dengan mencegah anaknya dari mentaati ibubapa yang mendesak atau mengajak supaya mensyirikkan Allah SWT dan segala macam perbuatan maksiat yang dilarang Allah SWT. Akan tetapi sebagai anak, ibubapanya harus dilayani, ditemani dan digauli dalam suasana yang penuh kebahagiaan dan kasih sayang. Anak juga harus melakukan kebaikan kepada mereka berdua seperti menjaga hal ehwal kewangan,menghormati dan berkhidmat kepada mereka.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 15 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan kalau keduanya memaksa engkau supaya mempersekutukan Aku, apa yang tiada engkau ketahui, janganlah dituruti; dan pergaulilah keduanya di dunia ini dengan secara patut."

Permasalahan Kelima

Luqman menasihati anaknya agar melalui jalan yang dilalui oleh mereka yang kembali bertaut kepada Allah SWT dengan keimanan, ketaatan dan meredah jalan yang lurus (jalan yang Allah SWT anugerahkan nikmat kepada mereka). Bukan jalan yang dilalui oleh mereka yang dimurkai Allah SWT dan mereka yang sesat!

Mereka yang kembali kepada Allah
SWT ini terdiri dari kalangan para Rasul, Nabi, orang benar dan sesiapa sahaja yang mengikuti mereka dengan keikhsanan dari kalangan orang mukmin.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 15 surah Luqman yang bermaksud: "Dan turutlah jalan orang yang kembali kepada Ku."

Permasalahan Keenam

Luqman berpesan kepada anaknya supaya melakukan 'pemerhatian' tentang Hari Qiamat, urusan al- Qadha', pembalasan amalan serta melakukan pemerhatian terhadap segala arahan menyuruh dan meninggalkan sesuatu perkara di dalam menongkah arus dunia ini.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 15 surah Luqman yang bermaksud:
"Nanti kamu akan kembali kepada-Ku dan akan Aku beritakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan."

Permasalahan Ketujuh

Luqman menerangkan kepada anaknya akan 'syumul'nya Ilmu Allah melewati ilmu manusia. Allah SWT bebas melakukan apa sahaja tanpa ada halangan. Allah SWT mendatangkan sesuatu yang diinginkanNya dari segenap tempat yang tak mampu dibuat oleh makhluk.

Sesuatu kebaikan, kejahatan, kezaliman dan kesalahan yang diumpamakan seperti berat biji sawi walaupun tersembunyi jauh di dalam batu atau jauh berada di tempat yang tinggi seperti langit atau jauh berada di sedalam-dalam tempat seperti di dasar bumi akan didatangkan oleh Allah
SWT jua pada Hari Qiamat untuk dihisab/dihitung dan diberi ganjaran dosa atau pahala.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 16 surah Luqman yang bermaksud:
"(Kata Luqman): Hai anakku! Sesungguhnya jika ada (amal engkau) seberat biji sawi dan ada (tesembunyi) dalam batu, di langit atau di bumi, itu akan dikemukakan oleh Allah dan Allah itu Halus (mengerti hal-hal yang halus) dan Cukup Tahu."

Permasalahan Kelapan

Luqman menyuruh anaknya agar menunaikan solat/sembahyang kerana solat merupakan fardhu yang difardhukanNya melalui utusan-Nya di bumi( dari kalangan Nabi dan Rasul).

Selepas manusia ditegah dari syirik dan ditakutkan dengaan Ilmu Allah dan Qudrat Nya yang tak dapat ditandingi oleh sesiapa, datanglah arahan supaya beramal dengan amalan-amalan yang serasi dengan prinsip-prinsip Tauhid iaitu antaranya solat / bersembahyang. Solat adalah tiang agama. Dalil keimanan dan yakinnya hamba terhadap Ilahi. Jalan mendekatkan diri kepadaNya dan membantu mencegah kemungkaran, kekejian dan mensucikan diri.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 17 surah Luqman yang bermaksud: "Hai anakku! Dirikanlah solat/sembahyang."

Permasalahan Kesembilan

Luqman menyuruh anaknya berbuat yang ma'ruf/kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ini menunjukkan kepada kita bahawa arahan supaya menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran dari 'tugasan' yang terkandung di dalam seruan Ilahi kepada Agama Islam semenjak dahulu lagi…

Inilah yang diterangkan melalui ayat 17 surah Luqman yang bermaksud:
"Suruhlah mengerjakan yang baik, cegahlah perbuatan yang buruk."

Permasalahan Kesepuluh

Luqman menasihatkan anaknya agar bersabar di atas segala perkara yang dibenci yang menimpa diri samada musibah itu datang dari Ilahi menguji diri, harta, suami isteri dan anak-anak. Atau musibah ini berpunca dari bertembungnya dengan masyarakat yang membenci pendakwah (pendakwah bersifat pembawa hidayat, pemberi ingatan, pembaik pulih dan pelindung) apabila menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran dan apabila pendakwah mengajak manusia kepada Agama Allah iaitu Islam serta lain-lain bidang atau cabang-cabang kebaikan.

Dimulakan wasiat dengan arahan solat/bersembahyang dan ditamat dengan arahan supaya bersabar. Mengapa? Kerana solat tiang agama dan sabar merupakan asas kekalnya ketaatan sepanjang masa.
Secara jelas dapat difahami, bahawa sabar menahan musibah ini tergolong di dalam 'perkara yang berhajat kepada kehendak yang kuat dari tahap keazaman'.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 17 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan berhati teguhlah menghadapi apa yang menimpa engkau; sesungguhnya (sikap) yang demikian itu masuk perintah yang sungguh-sungguh."

Permasalahan Kesebelas

Luqman menasihati anaknya agar jangan takabbur dengan apa-apa pergerakan sekalipun yang menunjukkan kesombongaan dan ketinggian diri di depan manusia. Luqman berpesan agar jangan memaling muka apabila bercakap dengan manusia kerna ia menunjukkan sifat takabbur dan menghina (merendah-rendahkan seseorang).

Jangan takabbur dan merendah-rendahkan seseorang. Jangan memaling muka,membantah atau membangkang tanpa usul periksa. Akan tetapi sentiasalah tawadhuk(merendahkan diri), berlembut, manis bicara, senang diajak berbicara, seronok diajak berbicara, riak muka yang gembira, seronok, ramah dan menjadi pendengar yang baik.


Inilah yang diterangkan melalui ayat 18 surah Luqman yang bermaksud:
"Janganlah engkau memalingkan muka engkau dari manusia kerana kesombongan."

Permasalahan Kedua Belas

Luqman nasihati anaknya agar tidak berjalan di atas muka bumi ini dengan menampakkan keseronokan yang amat sangat hinggalah akhirnya keseronokan ini melebihi had di dalam pergerakannya ,membezakan kelakuannya dengan manusia lain kerana ia mengandungi ciri-ciri berlebih-lebihan atau jauh dari kesederhanaan. Dengan ciri ini orang yang gembira ini akan menjadi takabbur dan sombong yang melebihi had syara'.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 18 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh! Sesungguhnya Allah tidak mencintai sekalian orang yang sombong dan membanggakan diri."

Permasalahan Ketiga Belas

Luqman menasihati anaknya agar bersederhana dan sekata ketika berjalan. Tidak terlalu perlahan hingga menampakkan kemalasan, kelambatan yang amat sangat sehingga menampakkan diri lemah konon-kononnya ingin dikatakaan 'zuhud'. Tidak terlalu laju sehingga menonjolkan sikap berlebih-lebihan serta tidak peduli kepada suasana sekeliling. Oleh itu sikap sederhana dan sekata di antara lambat dan laju merupakan tanda / lambang seseorang itu tenang, beraqal dan diri yang cergas dan sihat.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 19 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan bersederhanalah dalam berjalan."

Permasalahan Keempat Belas (terakhir)

Luqman menasihati anaknya agar merendahkan suara dan mencukupi suaranya didengari mengikut hajat atau keperluan pendengar. Inilah antara adab bersuara dan bercakap untuk keperluan. Diterangkan dalam wasiat ini ,bahawa mengangkat suara tanpa hajat/keperluan merupakan perkara yang dikutuk, dikecam, tidak disukai dan buruk. Contoh yang akan diberikan dalam ayat berikut ini bahawa seburuk-buruk suara adalah suara himar/keldai kerana suara himar/keldai awalnya suara mengeluh dan akhirnya suara menguak/melalak.

Inilah yang diterangkan melalui ayat 19 surah Luqman yang bermaksud: "Dan lembutkanlah suara engkau! Sesungguhnya suara yang amat buruk ialah suara himar."

Mendidik anak kalau kena caranya akan menjadi mudah. Kita juga harus belajar psikologi diri mereka agar mereka dapat hidup, belajar, bermain dan terdidik dengan jiwa yang tenang. Lain anak lain kelebihannya. Jangan dibanding dirinya dengan adik beradik lain apalagi dengan orang lain. Jangan dipaksakan dirinya jika ia tidak mampu melakukan sesuatu. Berikan dia alternatif untuk tonjolkan kemahiran yang penting jangan langgar syariat.

Ingat pesan Luqman dan InsyaAllah keluarga akan bahagia selamanya.

0 comments: