Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, May 12, 2010

Cuka Wine (Wine Vinegar)


BERWASPADA menjamu selera di restoran ala Barat kerana dikhuatiri menggunakan alkohol dalam masakan.

Ramai tukang masak restoran Barat salah faham mengenai campuran alkohol, wain dalam makanan.

MAJORITI restoran atau hotel yang menyediakan makanan Cina menggunakan wain beras dalam kebanyakan masakan mereka. Begitu juga segelintir restoran yang menyediakan makanan Barat, ala Perancis atau Jepun menggunakan alkohol termasuk cuka wain (wine vinegar) bagi menepati cita rasa masakan berkenaan. Terdapat juga penggunaan alkohol secara tidak langsung seperti perasa dan pewarna (pembuatannya menggunakan alkohol sebagai bahan pelarut) yang digunakan secara meluas di dalam pembuatan kek, roti, biskut, coklat dan ais krim.

Alkohol (etanol) akan meruwap apabila mencapai suhu takat didih 78 darjah Celsius. Walaupun ketika proses memasak akan menyebabkan alkohol meruwap daripada makanan, tetapi ia tetap meninggalkan sedikit rasa pada makanan. Contohnya, wain akan ditambah ke dalam sos di akhir proses masakan dan dibiarkan 20 hingga 30 saat sebelum api dipadam. Semua pakar masakan di dunia menyatakan alkohol yang ditambah akan hilang daripada makanan tetapi fakta ini didapati salah dan tidak benar.

Mereka membuat anggapan sebegitu kerana tiada lagi pembentukan api yang membara dalam makanan, yang menunjukkan semua alkohol terbakar dan hilang daripada makanan, namun sebenarnya ia meninggalkan kesan kepada makanan. Ini dibuktikan kajian Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pengalaman Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang terbabit secara langsung dalam pengurusan pensijilan halal membuktikan ada pengusaha restoran, hotel mahu pun produk menggunakan bahan berasaskan alkohol. Seorang chef Muslim terkenal mengakui menggunakan wain beras dalam masakannya sebagai bahan penyedap. Beliau menggunakan alasan hanya mencampurkan sedikit dan tidak menyebabkan mabuk dan akan hilang apabila dipanaskan. Seperti dijelaskan, arak walaupun sedikit dan tidak memabukkan tetap haram. Sabda Rasulullah SAW: “Apa yang banyaknya memabukkan maka yang sedikitnya pun haram”. (Hadis Abu Daud dan An-Nasai’i)

Dalam hal ini, kita tidak harus menyalahkan chef berkenaan keseluruhannya mungkin kerana kekurangan ilmu berhubung hukum alkohol dan arak. Ilmu masakan ini kebiasaannya adalah dari barat yang tidak melihat syarak sebagai asas. Oleh itu, tanggungjawab chef Muslim adalah penting dalam penentuan halal haram dalam masakan.

Mazhab Syafie berpendapat najis boleh suci dengan istihalah dalam tiga keadaan:


# Arak yang bertukar dengan sendirinya menjadi cuka.
# Kulit binatang yang disamak.
# Bangkai binatang yang dicernakan melalui pereputan dan bertukar menjadi ulat dalam kitaran baru kehidupan.

# Istihalah ialah perubahan dan pertukaran sesuatu benda kepada benda lain meliputi pertukaran hakikat dan bentuk benda berkenaan atau perubahan yang berlaku ke atas sesuatu benda daripada sifat asalnya kepada sesuatu bentuk lain dan menjadi benda yang lain. Dengan kata lain, proses tindak balas kimia yang merubah unsur daripada satu benda kepada benda lain. Contohnya: arak bertukar menjadi cuka, darah kijang bertukar menjadi kasturi, bangkai berubah menjadi garam, tahi binatang menjadi abu dengan sebab pembakaran dan proses saintifik transgenik dalam tumbuhan. Najis babi yang sudah reput dan berubah menjadi tanah maka ia tidak lagi dihukum najis mughallazah. Sayyid Muhammad Rizvi dalam artikelnya bertajuk The Ritual and Spiritual Purity menyatakan kajian sains mengakui kebenaran pendapat ulama fiqh bahawa pembersihan secara semula jadi boleh juga berlaku dengan tanah dan cahaya matahari. Najis boleh berubah menjadi suci apabila disucikan dengan tanah dalam proses yang dipanggil istihalah.
# Apabila arak berubah dengan sendirinya menjadi cuka maka ia menjadi suci dan halal memakannya. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik yang dicampur dalam hidangan adalah cuka” (Hadis Muslim)

Namun Al-Syafie dan jumhur ulama berpendapat, arak yang dimasukkan sesuatu seperti bawang atau ragi (yis) untuk mempercepatkan menjadi cuka akan kekal hukum najisnya dan tidak suci. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Anas Malik bahawa Rasulullah SAW ditanya hukum arak yang diproses menjadi cuka, Rasulullah menjawab: “Tidak Harus”.

Ini bermakna arak bertukar menjadi cuka tanpa dimasukkan sesuatu bahan ke dalamnya maka arak itu menjadi suci walaupun ia bertukar atau diubah tempat letaknya dari bercahaya kepada teduh atau sebaliknya. Jika arak itu menjadi cuka disebabkan percampuran bahan tambah walaupun tidak memberi kesan atau dibuang bahan tambah itu sebelum menjadi cuka maka ia najis (tidak suci).

Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada April 2006 memutuskan: “Haram menggunakan cuka wain yang diproses dan dicampur dengan bahan luar. Bagaimanapun, jika perubahan daripada cuka wain kepada cuka berlaku dengan sendirinya, maka ia adalah halal”

Dapat difahami bahawa alkohol yang dihasilkan bukan melalui proses arak atau terbitannya, dan ia adalah penghasilan proses kimia serta tidak memabukkan adalah tidak najis. Bagaimanapun pada pandangan penulis, untuk mengelakkan kekeliruan umat Islam maka perkataan khamar perlu dikekalkan dan ia merujuk kepada arak.

Justeru, tanggungjawab halal bukan hanya terletak pada agensi terbabit tetapi fardu kifayah semua pihak terutama penganut Islam. Apa juga yang dimakan akan menggambarkan tingkah laku yang boleh menjejas hubungan dengan Allah, manusia dan alam. Paling penting menjaga generasi Islam. Sehubungan itu, Jakim mempermudahkan pengguna mencari makanan halal lagi baik dalam laman web http://www.halal.gov.my.

Semua Pihak Perlu Sedar Mengenai Cuka Wain Yang Difatwa Haram

SHAH ALAM, 12 Mei 21010(Bernama) -- Semua pihak terutamanya pengusaha dan pengeluar makanan perlu mempunyai kesedaran sendiri berhubung penggunaan cuka wain dalam industri makanan yang difatwakan haram pada 2006.

Mufti Selangor Datuk Tamyes Abdul Wahid berkata walaupun fatwa mengenai pengharamannya dibuat pada 2006, namun masih ramai yang kurang prihatin malah ada yang tidak faham langsung berhubung larangan penggunaan bahan itu dalam penyediaan makanan halal.

Beliau berkata penguatkuasaan berhubung penggunaan bahan itu dalam makanan di kalangan pengusaha dan pengeluar makanan termasuk di hotel-hotel sukar dilakukan kerana ia merupakan bahan yang sukat dikesan.

"Biasanya cuka wain ini digunakan pada makanan seperti kek dan biskut termasuk di hotel-hotel, mungkin bertujuan supaya makanan yang dihasilkan tahan lebih lama atau mungkin juga bagi tujuan menyedapkanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penerangan Fatwa Hukum Cuka Wain di sini pada Rabu.

Katanya sehubungan itu kesedaran adalah faktor penting di mana pengusaha dan pengeluar makanan perlu mengisytiharkan penggunaan cuka wain jika ia terdapat dalam produk yang mereka pasarkan, atau mereka boleh terus mengambil inisiatif tidak menggunakan bahan itu lagi dalam produk-produk mereka.

"Sebab itu saya kata kesedaran, kerana jika mereka rahsiakan maka sukar untuk diketahui kebenarannya, melainkan dengan melakukan kajian secara saintifik," katanya.

Tamyes berkata memandangkan ada pengusaha makanan halal dalam negara yang turut dikeluarkan oleh orang bukan Muslim, maka pemahaman mengenai larangan cuka wain ini amat penting untuk disebarkan.

Beliau memberi contoh seminar hari ini yang turut menjemput orang bukan Muslim supaya mereka faham dan sedar mengenai larangan penggunaan cuka wain dalam makanan untuk pasaran halal.

Dalam pada itu, Tamyes berkata beliau percaya pakar sains di Malaysia pasti mampu mencari alternatif kepada penggunaan cuka wain dalam makanan bagi memastikan kesucian makanan halal itu dipelihara.

Beliau seterusnya menyeru supaya umat Islam megambil berat mengenai bahan dalam makanan yang diambil kerana ia penting dalam memastikan amalan di dunia dan di akhirat akan diterima Allah.

-- BERNAMA


0 comments: