Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, May 7, 2010

Kerugian Pos Malaysia Bukti Kerajaan Gagal Urus Dana Awam

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid menggesa Kementerian Kewangan supaya menjelaskan kerugian yang ditanggung Pos Malaysia Berhad sebanyak RM227 juta bagi tempoh tiga tahun ekoran pelaburan dalam syarikat penyedia perkhidmatan kargo udara, Transmile Group Berhad.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein Selasa lalu menafikan kerugian Pos Malaysia sebanyak RM546 juta seperti yang dilaporkan media tetapi sebaliknya mendakwa kerugian adalah sebanyak RM227 juta.

"Jumlah kerugian samada RM546 juta atau RM227 bukan isu pokok. Isunya ialah apa sebab kerugian dan mengapa boleh berlaku kerugian melibatkan jutaan ringgit saham milik awam.

"Kerugian ini mencerminkan kegagalan dasar penswastaan dan memberi kesan buruk kepada kerajaan. Mangsanya adalah kepada pekerja Pos Malaysia sendiri. Ini akan memberi kesan dan risiko yang terpaksa ditanggung pekerja samada mereka diikat secara kontrak atau diberhentikan. Ini semua menunjukkan kegagalan kerajaan menguruskan pelaburan dengan baik," ujar Abdullah Sani.

Menurut beliau keadaan yang sama berlaku kepada GLC lain seperti Lembaga Tabung Haji yang mengalami kerugian akibat kegagalan mengurus pelaburan dengan baik.

"Jawatankuasa pelaburan syarikat seharusnya mengenalpasti samada pelaburan akan mendatangkan keuntungan atau sebaliknya supaya setiap pelaburan tidak sia-sia kerana ini melibatkan duit rakyat," tegasnya.

Dr Awang Adek sebelum ini berkata kerugian itu disebabkan pelaburan dalam Transmile apabila Pos Malaysia membeli 20 peratus saham dalam syarikat berkenaan.

Kenyataan itu berbeza dengan dakwaan seorang pemimpin Umno yang menyatakan Pos Malaysia memiliki saham sebanyak 15 peratus seperti yang dilapor Bernama.

Menurut timbalan menteri itu, pada 2007 Pos Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM33 juta dan meningkat kepada RM35.8 juta pada 2008.

Bagaimana pun beliau tidak nyatakan secara tepat kerugian yang dialami bagi setiap tahun dari 2007 sehingga 2010.

0 comments: