Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, May 14, 2010

Tenaga elektrik gunung berapi




KEDUDUKANNYA yang strategik di Lautan Atlantik memberi nilai tambah semula jadi kepada Iceland. Digelar negara kepulauan ke-18 terbesar di dunia, majoriti anatomi bumi di situ diliputi glasier ataupun sungai air batu yang terbentuk daripada salji yang bergerak perlahan dari gunung-ganang. Glasier turut memenuhi tasik-tasik yang besar.

Keadaan geografi Iceland seluas 103,000 kilometer (km) persegi yang terletak di pusat kepanasan bumi dan permatang Mid Atlantik membuatkan kepulauan itu penuh dengan gunung berapi yang aktif.



Antaranya gunung berapi Hekla, Eldgja, Heroubreio dan Eldfell. Fenomena letupan gunung berapi juga seringkali berlaku dengan kekerapan lima tahun sekali di negara itu.

Ekoran letusan itu, awan debu dan jerebu menyelubungi kebanyakan kawasan di Eropah, Afrika dan bertebaran sehingga ke benua Asia.

Letusan gunung berapi Eyjafjallajokull di Iceland baru-baru ini mengakibatkan ruang udara beberapa negara Eropah Utara terpaksa ditutup bagi tujuan keselamatan sehingga menjejaskan sektor penerbangan antarabangsa.

Sungguhpun begitu, struktur geografi tersebut memberi kelebihan kepada bumi ais itu muncul sebagai hab sumber tenaga diperbaharui dan salah satu destinasi pelancongan idaman ramai di seluruh dunia.

Pembangunan sumber tenaga diperbaharui di negara itu jauh lebih maju berbanding negara lain. Ini disebabkan kesedaran Iceland menggunakan sumber tersebut secara meluas.

Iceland menjana sekitar 81 peratus keperluan dan permintaan tenaga primer daripada sumber tenaga diperbaharui.

Bukan itu sahaja, pihak pemerintah juga bercita-cita mahu menjadi sebuah negara hijau dan bebas pencemaran.

Populasi


ICELAND kaya dengan geiser atau air pancut panas.


Menurut sumber Solusi Tenaga Nordik, 66 peratus permintaan tenaga diperoleh daripada tenaga geoterma manakala 15 peratus daripada tenaga kuasa hidro dan 19 peratus lagi daripada bahan api fosil.

Umumnya, penggunaan tenaga diperbaharui di Iceland lebih tertumpu kepada tenaga geoterma dan kuasa hidro.

Tenaga geoterma adalah sejenis tenaga yang menggunakan sumber tenaga haba yang amat besar di bawah permukaan bumi untuk menghasilkan kuasa elektrik.

Contohnya, tenaga daripada gunung berapi, geiser (air pancut panas) dan mata air panas. Kuasa hidro pula ialah elektrik yang dijana daripada air.

"Ada pihak yang mempertikaikan pencapaian Iceland dalam membangunkan sumber tenaga diperbaharui ini.

"Kritikan itu meletakkan isu populasi negara ini yang jauh lebih kecil daripada negara maju lain terutama Amerika Syarikat (AS), Jepun dan lain-lain.

"Oleh sebab populasinya kecil, mereka lebih mudah mengurus sumber itu secara efektif.

"Apa pun tohmahan yang diterima, Iceland terus maju sebagai negara yang menggunakan sumber tenaga yang bersih berbanding negara lain," kata penulis bebas dari Teknologi Hijau dan Pendidikan Pembangunan Saintifik (GTSDE), Jimmy Eriksson.

Sementara itu, sasaran negara tersebut yang ingin menjadi Negara Bebas Bergantung Kepada Tenaga 2050 hampir tercapai apabila Iceland banyak mencipta kemudahan-kemudahan baru selaras dengan hasrat itu.

Di ibu kota Reykjavik, sebanyak lima buah stesen kuasa geoterma dibina termasuk di Hellisheioi dan Nesjavellir.


ORANG ramai menyaksikan ais berhampiran air terjun Golfoss.


Sementara stesen hidroelektrik Karahnjukavirkjun digunakan untuk menjana tenaga bagi kegunaan kira-kira 323,000 penduduk, mengikut perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Lebih menarik, kekayaan sumber semula jadi itu membuatkan majoriti bangunan dan kawasan perumahan di situ dipasang dengan kemudahan air panas iaitu sesuatu yang sukar didapati di negara lain kerana mereka terpaksa membayar kos yang tinggi untuk memasang kemudahan itu.

Dari kawasan bandar Reykjavik dan Akureyri sehingga kawasan luar bandar, semuanya mempunyai sistem saluran air panas yang dihasilkan daripada stesen geoterma.

Kegunaan sumber tenaga bersih yang lama secara tidak langsung membantu ruang atmosfera negara itu dipenuhi udara segar bersih tanpa sebarang pencemaran.

Selain itu, untuk menjadi negara mesra alam sepenuhnya, ia juga memperkenalkan kereta bergerak menggunakan kuasa hidrogen yang kurang mengeluarkan asap.

Kuasa hidrogen

Menurut Jimmy, Iceland juga mengorak langkah menggunakan kuasa hidrogen itu untuk mengoperasi kapal perikanan dan kenderaan di negara itu.

Dalam pada itu, laporan seorang pakar penulis blog, Lewis Perkins, menyebut setelah polisi menggunakan sumber tenaga diperbaharui dibentuk oleh Iceland pada tahun 1944, pelepasan gas karbon dioksida ke udara semakin berkurangan di negara itu.

Pembinaan stesen geoterma pula membawa keuntungan tahunan kira-kira AS$140 juta (RM453 juta) dan menjadi antara sumber kewangan penting kepada sektor ekonomi Iceland.

Pembangunan sumber tenaga diperbaharui yang efektif dan efisien itu tidak dapat direalisasikan tanpa kepimpinan yang utuh.

Apabila kerajaan Iceland menyedari potensi sumber tenaga alternatif itu, sekitar tahun 1960-an satu tabung sumber tenaga dibentuk untuk membangunkan penghasilan tenaga geoterma dalam skala yang kecil dan besar.

"Pembentukan tabung itu yang secara tidak langsung membantu Iceland bebas daripada belenggu kemelesetan ekonomi pada tahun 2008," katanya.

Negara yang berstatus republik dan mendapat kemerdekaan daripada Denmark pada tahun 1944 itu boleh dikatakan mencatat pembangunan ekonomi yang paling drastik sehingga menjadi negara berproduktif tinggi ketujuh di dunia pada tahun 2007.

Sungguhpun dikurniakan dengan kekayaan sumber tenaga geoterma dan elektrikhidro, aktiviti utama Iceland adalah perikanan yang masih menyumbang 40 peratus kepada pembangunan negara tersebut.

Aktiviti memburu ikan paus juga dilakukan di sini. Namun, aktiviti itu mendapat kritikan hebat gara-gara mamalia itu yang hampir pupus.


HASIL pertanian antara produk utama Iceland.


Kesan kegawatan ekonomi tahun 2008 telah memberi tamparan hebat kepada sektor perbankan yang sebelum itu dipegang aset luar negara yang sepuluh kali ganda lebih besar daripada sumber kewangan negara.

Pertumbuhan ekonomi semasa juga dikatakan menjadikan Iceland antara negara paling kaya dan membangun di dunia mengikut Indeks Pembangunan Manusia Kebangsaan PBB. Negara yang didiami oleh masyarakat nordik itu memiliki rakyat yang begitu menitikberatkan aktiviti mesra alam.

Dalam perkembangan lain, pakar geologi, Jabatan Geologi, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, kedudukan geografi yang diliputi gunung-ganang berapi dan sungai air batu boleh dikatakan anugerah Tuhan di sebalik bahaya letupannya.

Pembentukan gunung berapi itu secara semula jadi menghasilkan geoterma yang menjadi tenaga alternatif mesra alam.

Pengurusan sumber tenaga diperbaharui yang bertaraf tinggi Iceland sememangnya terbukti di peringkat antarabangsa. Bukan itu sahaja, ia juga sudah menjadi ikutan negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina dan Thailand.




Indonesia misalnya telah melaksanakan penyelidikan dan pembangunan untuk menggunakan sumber geoterma sepenuhnya pada tahun 2020.

"Sungguhpun kepakaran negara-negara Asia ini tidak setanding Iceland, usaha berterusan itu pasti akan menjayakan strategi mereka.

"Dengan ini, pada masa depan mereka tidak perlu bergantung sepenuhnya pada satu sumber sebaliknya boleh menjadikan tenaga geoterma sebagai pilihan alternatif negara-negara berkenaan," katanya kepada Kosmo!.

Pengurusan dan bekalan sumber tenaga diperbaharui yang optimum memberi kekuatan kepada Iceland untuk mencapai hasrat murni yang diletakkan menjadi Negara Bebas Tenaga 2050.

Sumber : Kosmo

0 comments: