Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, June 8, 2010

Caj hospital swasta dikaji semula

Kerajaan akan mengkaji semula caj yang dikenakan oleh hospital swasta di negara ini bagi memastikan kadarnya dapat diterima semua, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mohd Ismail Merican.

"Isu mengenai caj hospital swasta yang terlalu tinggi telah banyak kali disampaikan kepada saya dan kadar sedia ada yang dibuat oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) tidak menyeluruh seperti sepatutnya.

"Oleh itu saya akan mengadakan satu mesyuarat dengan MMA tidak lama lagi bagi merangka kadar baru yang menyeluruh dan diterima semua," katanya menerusi temubual yang diterbitkan dalam isu terkini buletin MMA.

Beliau mengingatkan doktor bahawa tujuan utama mereka memilih profesion itu bukan sekadar mencari kekayaan tetapi membantu pesakit.

Menyentuh mengenai kurikulum perubatan, Dr Mohd Ismail berkata terdapat keperluan segera agar kurikulum bidang di universiti tempatan disusun semula agar lebih relevan dengan sektor kesihatan dan perubatan negara sekarang.

"Apa yang ditawarkan sekarang tidak memadai untuk membantu doktor muda melaksanakan tugas mereka," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, pandangan itu berasaskan daripada beberapa temubual beliau dengan pakar kesihatan dan hasilnya belum memuaskan hati.

Beliau juga menyentuh aspek penggunaan teknologi yang menggantikan "sentuhan manusia", iaitu doktor tidak lagi memeriksa pesakit dengan cara yang mereka gunakan dahulu sebaliknya menggantikannya dengan teknologi.

Dr Mohd Ismail mengingatkan doktor bahawa pesakit berjumpa mereka kerana ingin berbincang mengenai masalah yang dihadapi tetapi doktor pula terlalu sibuk melakukan perkara lain dan tidak mendengar apa yang diluahkan.

Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan penubuhan kolej perubatan yang begitu banyak sehingga melangkaui bidang kuasa Kementerian Kesihatan.

"Nasihat saya kepada doktor dan pakar perubatan dalam menghadapi cabaran ini ialah melatih doktor muda itu.

"Terdapat banyak kes doktor pelatih mengalami tekanan perasaan, kekhuatiran dan keinginan membunuh diri ketika menjalani latihan dan ini bukan perkara main-main," katanya sambil menambah tanggungjawab menghasilkan doktor berkualiti terletak pada pakar yang melatih mereka.

Justeru, beliau akan menggalakkan sistem penilaian dua hala iaitu mendapatkan maklum balas daripada kedua-dua pihak - doktor yang melatih dan doktor pelatih.

Mengenai kriteria untuk kenaikan pangkat bagi doktor di sektor awam, Dr Mohd Ismail berkata, ia berasaskan lima aspek iaitu tempoh perkhidmatan, latihan, penyelidikan, kedudukannnya pada kalangan kelompok rakan dan tanggapan 360 darjah.

"Tangapan 30 darjah ialah maklum balas positif dan pengiktirafan daripada pesakit, pelajar dan kelompok rakan-rakan yang dicerminkan menerusi dedikasi, komitmen dan kualiti jagaan oleh doktor berkenaan," katanya.

Sumber : Bernama

0 comments: