Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Thursday, March 31, 2011

PAS ragu JPN beroperasi luar waktu, pejabat

Sumber Harakah

KUALA LUMPUR, 31 Mac: Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) hari ini mahu kerajaan menjelaskan berhubung tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjalankan kerja-kerja pendaftaran di luar waktu pejabat dan bukan di pejabat mereka.

Beliau merujuk satu laporan polis yang dibuat di Salak Tinggi yang mendakwa JPN beroperasi luar waktu pejabat di balai orang ramai untuk memberikan kad pengenalan kepada mereka diragui.

Salahudin yang juga Naib Presiden PAS berkata, ianya dibimbangi berlaku penyelewengan lebih-lebih lagi keadaan negara dalam fasa menjelang pilihan raya umum ke 13.

"Adakah menjadi satu amalan biasa pejabat atau kakitangan JPN bekerja di luar waktu pejabat di tempat tertentu untuk mengeluarkan kad pengenalan, ataupun ia satu operasi khas menjelang pilihan raya yang ke 13 nanti," soalnya di Dewan Rakyat hari ini.

Perkara sama turut dibangkitkan Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) yang mendakwa turut berlaku di kawasan parlimen beliau.

Katanya, beliau mendapat maklumat terdapat usaha menukar alamat warga Sabah yang tinggal di tempatnya ke beberapa kawasan di Shah Alam.

Tambahnya lagi, operasi penukaran itu dibuat pada waktu malam di Bangunan Umno Shah Alam dengan borang pertukaran itu telah siap diisi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman ketika menjawab soalan itu bagaimanapun berkata, JPN sememangnya mempunyai operasi luar waktu pejabat iaitu sebahagian program outreach jabatan itu.

Namun katanya, program itu hanya dalam ruang lingkup menerima permohonan dan memberi khidmat nasihat kepada orang ramai bukan mengeluarkan kad pengenalan.

"Untuk pengetahuan Yang Berhormat, kad pengenalan juga tidak pernah diberi kepada individu semasa operasi luar pejabat," maklumnya kepada Dewan Rakyat.

Berhubung kes di Salak Tinggi yang dibangkitkan Salahudin katanya, beliau memuji tindakan membuat laporan polis itu dan akan memastikan perkara itu disiasat.

0 comments: