Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, July 11, 2011

SUHAKAM Timbang Siasat Keganasan Polis Di Perhimpunan Aman BERSIH

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bersedia menimbang untuk mengadakan siasatan awam terhadap isu kekerasan polis dalam membanteras perhimpunan aman Bersih semalam yang berakhir dengan seorang mati dan puluhan lagi yang cedera.

Pesuruhjaya Suhakam Mohamad Sha’ani Abdullah menggesa semua pihak yang mendakwa dikasari polis membuat aduan rasmi kepada badan itu bagi membolehkan badan itu mengambil tindakan susulan.

Sebuah siasatan awam akan menwajibkan pegawai-pegawai polis untuk tampil memberi keterangan dan penjelasan kepada Suhakam mengenai tindak-tanduk mereka dalam membanteras Bersih 2.0.

Sha’ani berkata polis tidak harus menggunakan kekerasan selagi tidak ada risiko keselamatan atau ancaman nyawa.

“Sebarang tindakan pihak berkuasa tidak boleh membelakangkan keselamatan dan risiko kepada kesihatan mana-mana pihak,”
beliau memberitahu TvSelangor.

“Perkara ini perlu menjadi pengajaran bahawa tindakan (polis) harus secocok dengan risiko ataupun ancaman. Kalau tiada ancaman tidak perlu tembak gas pemedih mata dan pihak berkuasa perlu prihatian kepada keadaan bukan menunjuk kuasa. Itu bukan penyelesaian,” tegasnya.

Sha’ani berkata pihaknya sudah pun menerima aduan daripada peserta Bersih dan akan mengambil tindakan yang berpatutan demi menegakkan kebenaran.

"Kami telah menerima aduan-aduan daripada peserta perhimpunan dan kami juga mempelawa sekiranya ada pihak-pihak lain nak memajukan aduan berkaitan sebarang tindakan pihak berkuasa yang dianggap tidak berpatutan boleh diajukan kepada Suhakam, “ kata beliau.

“Ini akan membantu kami menyediakan satu laporan dan juga untuk mempertimbangkan semua aduan. Jika difikirkan perlu ada satu inkuiri awam, suruhanjaya akan putuskan. Saya tak dapat nyatakan akan ada atau perlu, tetapi itu akan dipertimbangkan oleh pihak suruhanjaya,” kata beliau.

Sha’ani berkata buat masa ini, Suhakam akan memberi laporan kepada kerajaan dengan mencadangkan pendekatan yang harus diutamakan bagi menangani keadaan seperti perhimpunan aman semalam.

"Kami akan memberi laporan kepada kerajaan dan mengesyorkan kepada mereka supaya tindakan berbentuk kasar atau mengancam keselamatan dan kesihatan umum tidak digunakan pada bila-bila masa yang tiada risiko keselamatan. Ini perlu diambil perhatian oleh kerajaan," tambah beliau.

Pemimpin pembangkang dan penganjur Bersih hari ini menggesa badan itu mengadakan siasatan awam terhadap kekejaman polis ke atas perhimpunan Bersih itu.

Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan berkata pihaknya amat terkilan dengan kekerasan polis yang menyaksikan tembakan gas pemedih mata dan pancutan air berkimia dilepaskan bertubi-tubi ke atas peserta perhimpunan aman itu.

Sha’ani dan Ambiga pagi tadi menziarahi keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad, seorang ahli PAS, yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika cuba mengelak daripada ditangkap polis semasa perhimpunan aman itu.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lembah Keramat, di Taman Seri Keramat Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Lebih 1,600 orang termasuk pimpinan kanan Pakatan Rakyat ditangkap oleh polis semalam.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Shah Alam adalah antara mereka yang mengalami kecederaan akibat di tembak dengan gas pemedih mata.

Meskipun ribuan anggota polis di kerah untuk “menutup” Kuala Lumpur kepada peserta Bersih semalam, puluhan ribu orang menongkah arus pancutan air kimia dan tembakan gas pemedih mata serta belantan Polis Simpanan Persekutuan untuk menyertai perhimpunan aman itu.

Mereka berjalan secara aman menuju ke Stadium Merdeka untuk menuntut pilihanraya adil dan telus namun menghadapi kekangan dan kekerasan polis di sepanjang perjalanan.

Ambiga mempersoalkan sama ada tindakan polis mensasarkan Anwar dan pemimpin lain adalah dengan niat mencederakan mereka.

"Pada masa saya di terowong KL Sentral, saya mendapati ada 4 palet gas pemedih mata (ditembak) dalam terowong tersebut. Bila kami lari, ada satu lagi palet (ditembak). Apa tujuan mereka? Adakah mereka sasar Datuk Seri Anwar Ibrahim (dan) Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Saya mahu tau apa tujuan mereka!," kata bekas Pengerusi Majlis Peguam itu.

Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali yang turut hadir di rumah Allahyarham Baharuddin, menyokong gesaan supaya Suhakam menjalankan siasatan awam.

"Tindakan kasar dan zalim yang dibuat polis terhadap rakyat untuk berhimpun secara aman bagi menuntut satu pilihan raya yang bersih dan adil, Apakah itu merupakan satu kesalahan kepada rakyat yang mahukan pilihan raya yang bersih dan adil?,” kata Azmin.

“Cara polis bertindak menunjukkan bahawa rakyat seolah-olah pengganas walhal mereka sebenarnya langsung tidak mencetuskan apa-apa masalah ketika itu,” kata beliau yang turut ditahan oleh polis semalam. -tvsnews

0 comments: