Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, September 26, 2011

Perkahwinan diraja Bhutan


KELZANG CHODEN bersemangat menyiapkan kira, pakaian tradisional rakyat Bhutan di Thimphu.

BEBERAPA penenun pakaian diraja Bhutan kelihatan begitu bersemangat menjalankan tugas masing-masing menjelang perkahwinan raja muda negara pergunungan Himalaya itu yang akan berlangsung dalam majlis berkonsep alam pari-pari bulan depan.

http://www.topnews.in/files/bhutan-king.jpg

Raja Muda Jigme Khesar Namgyel Wangchuck, 31, yang mendapat pendidikan di Universiti Oxford dan merupakan peminat fanatik aktiviti basikal gunung akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang pelajar daripada golongan kebanyakan, Jetsun Pema pada 13 Oktober ini.

Raja Wangchuck telah dinobatkan pada tahun 2008, sewaktu permulaan kerajaan demokrasi di negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha itu.

Walaupun penganjur telah berjanji untuk mengadakan majlis yang sederhana, seiring kesederhanaan imej keluarga diraja itu, golongan rakyat Bhutan kini berusaha menyiapkan diri untuk meraikan majlis penuh bersejarah itu.

Di dalam apartmen di bandar Thimphu, seorang penenun, Kelzang Choden bersama ibunya pantas menyiapkan sepasang pakaian istimewa untuk bakal permaisuri mereka. Ia adalah sepersalinan pakaian halus bercorak geometri yang ditenun dengan benang berwarna emas dan kuning.

"Permaisuri akan memakai persalinan ini mengikut elemen yang ada dalam dirinya. Terdapat lima elemen dalam budaya kami. Sebagai contoh, warna merah melambangkan api manakala bumi diwakili warna kuning.

"Bumi merupakan elemen bakal permaisuri kami. Jadi, sudah tentu kuning adalah warna paling sesuai," terang Choden.

Pema, 21, telah memesan puluhan helai kira iaitu sejenis pakaian kebangsaan elegan untuk wanita yang diperbuat daripada sutera mentah. Pakaian itu mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan dan menelan belanja sehingga AS$3,000 (RM9,344).


DUA orang wanita yang bekerja di sebuah kedai kasut tradisional tekun melakukan tugas mereka.

Keadaan itu menjadikan beberapa penenun terkenal di Bhutan bersaing sengit untuk mendapat penghormatan dengan pemilihan pakaian yang ditenun mereka pada hari perkahwinan pasangan diraja tersebut.

"Ia akan menjadi keistimewaan paling besar bagi kami," kata Choden sambil tersenyum lebar.

Ibu Choden, Kuenzang Wangmo, telah mereka bentuk pakaian untuk raja sebelum ini dan empat isteri baginda termasuk adik bongsu Raja Wangchuck.

Lokasi terpinggir

Bhutan yang dikenali melalui doktrin pembangunan ekonomi yang disebut Kebahagiaan Kebangsaan Kasar untuk mengukur kesejahteraan dan pembangunan rakyatnya, merupakan salah satu lokasi terpencil di dunia.

Ia tidak mempunyai jalan raya atau mata wang sehingga tahun 1960-an. Televisyen hanya dibenarkan pada tahun 1999 dan rakyatnya terus menahan diri daripada membenarkan pelancongan secara besar-besaran.

Sebaliknya mereka lebih suka membuka akses hanya kepada kumpulan-kumpulan kecil yang dianjurkan pengunjung mewah.

Majlis perkahwinan utama akan berlangsung di dalam kubu dan biara yang menakjubkan di bandar Punakha. Ia terletak di sebuah lembah curam dengan pertemuan dua aliran sungai di kawasan pergunungan.

Bangunan gergasi yang boleh diakses melalui jambatan pejalan kaki yang halus dan dihias indah dengan lukisan dinding serta ukiran menarik. Kerja-kerja membuat pelbagai persiapan untuk majlis itu kini sedang rancak dilaksanakan.

"Raja kami begitu konsisten agar majlis yang dianjurkan haruslah bersifat sederhana dan tradisional. Itu adalah cara baginda mempraktikkan kehidupannya.

"Baginda juga tidak pernah meminta sesuatu yang bersifat ekstravaganza. Malah, tiada keluarga diraja asing atau ketua-ketua negara dijemput untuk perkahwinan tersebut," ujar jurucakap diraja, Dorji Wangchuck.


PEREKA pakaian diraja, Kuenzang Wangmo sedang menenun benang untuk dijadikan pakaian.

Tambah Dorji, situasi itu menjadikan ia begitu berbeza dengan perkahwinan diraja Britain di antara Putera William dan Kate Middleton yang berlangsung April lalu di London.

Raja Wangchuck merupakan seorang pemain bola keranjang dan peminat Elvis Presley. Baginda merupakan generasi keempat dalam keluarganya yang telah memerintah Bhutan sejak tahun 1907 apabila keluarga diraja mengambil alih dan membawa kestabilan kepada negara yang sebelum itu dilanda peperangan.

Kehidupan raja juga bukan di istana, sebaliknya di rumah jenis kotej di Thimphu. Keluarga diraja kesayangan rakyat itu terkenal kerana gemar menjemput tetamu untuk jamuan teh. Antara tetamu yang terbaharu ialah ahli-ahli kelab mengangkat berat Thimphu.

Pakaian tradisional

Sambutan utama akan berlangsung di ibu negara Bhutan pada 16 Oktober nanti. Rakyat dan orang awam berpeluang untuk melihat pasangan pengantin diraja itu dalam satu majlis di stadium bandar tersebut.

Antara aktiviti yang akan berlangsung seperti tarian dan muzik tradisional yang pasti mempesonakan penonton. Menariknya, rakyat Bhutan juga boleh melibatkan diri dalam persembahan tersebut sambil memakai pakaian tradisional terbaik yang wajib dipakai di pejabat-pejabat kerajaan.

Disebabkan itu, kedai-kedai menenun pakaian menerima banyak pesanan dari golongan kebanyakan yang mahu menyertai kemeriahan majlis itu kelak.

Ini termasuklah perniagaan The Traditional Boot House sejurus Raja Wangchuck mengumumkan perkahwinannya pada bulan Mei lalu.

"Kami terpaksa bekerja lebih masa bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam untuk menyiapkan pesanan yang begitu banyak untuk majlis penuh istimewa ini," kata pengurusnya, Tshering Tobgay. - AFP


0 comments: