Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Thursday, November 3, 2011

4 agensi bekerjasama buru pesalah trafik

 SALLEH (dua dari kiri) meninjau kerja menunda kereta dalam operasi bersepadu  di sekitar Kuala Lumpur.
SALLEH (dua dari kiri) meninjau kerja menunda kereta dalam operasi bersepadu di sekitar Kuala Lumpur.
Operasi bersepadu diketuai DBKL keluar 179 saman kenderaan perdagangan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 179 saman dan kompaun dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan perdagangan kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu khas lalu lintas di sekitar bandar raya di sini yang tamat awal pagi semalam.

Operasi bersepadu diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) itu membabitkan 86 anggota penguat kuasa bermula jam 10 malam hingga jam 2 pagi semalam.

Pelbagai kesalahan trafik dicatatkan termasuk mengganggu lalu lintas, meletak kenderaan di atas garisan kuning dan 17 kenderaan ditunda ke pejabat penguatkuasaan DBKL berikutan meletak kenderaan di siar kaki hingga mengakibatkan kesesakan.

Antara jalan terbabit adalah Jalan Raja Laut; Jalan Sultan Ismail; Jalan Tuanku Abdul Rahman; Jalan Muda Abdul Aziz; Jalan Pudu; Jalan Bukit Bintang; Jalan Hang Tuah; Jalan Imbi; Jalan Ipoh; Jalan Ampang; Jalan Sultan Hishamudin; Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Tun Perak dan Jalan Leboh Ampang.

Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusop, yang mengetuai operasi terbabit berkata, operasi bersepadu siri pertama itu akan berterusan diadakan secara berkala bagi mengelak lebih ramai pesalah melakukan kesalahan berulang di sekitar bandar raya termasuk lokasi tumpuan yang sering mengalami kesesakan.

“Sebanyak 40 peratus atau jumlah kutipan RM6 juta nilai kompaun kesalahan lalu lintas diselesaikan orang ramai bagi tempoh Januari hingga September lalu dan jumlah ini tidak termasuk kesalahan baru dicatatkan bulan lalu sehingga operasi yang dijalankan lewat malam tadi.

“Bagi pesalah yang enggan menjelaskan bayaran saman tertunggak, kita akan menghantar notis amaran ke rumah masing-masing sebelum memanggil untuk hadir ke mahkamah jika masih ingkar, “katanya.

Bayar kompaun atau cermin sisi dikunci

ANGGOTA penguat kuasa MBI memasang kunci kompaun pada cermin sisi kenderaan yang mempunyai tunggakan saman.
ANGGOTA penguat kuasa MBI memasang kunci kompaun pada cermin sisi kenderaan yang mempunyai tunggakan saman.
IPOH: Bermula kelmarin, kira-kira 600 pemilik kenderaan yang ingkar melunaskan saman tertunggak membabitkan kesalahan lalu lintas melebihi 50 kompaun di bandar raya ini berdepan dengan tindakan cermin sisi kenderaan mereka dikunci.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ahmad Zaiyadi Sudin, berkata penguat kuasa MBI kini sedang berusaha mengesan pemilik kenderaan itu dan kunci berkenaan hanya boleh dibuka di pejabat penguat kuasa di sini, selepas membayar denda RM50.
"Menerusi penguatkuasaan itu, pemilik kenderaan terbabit perlu melunaskan bayaran saman tertunggak mereka tetapi masih berpeluang untuk membuat rayuan.

"Bagaimanapun, kita memberi amaran kepada pemilik kenderaan yang dikunci supaya tidak merosakkan alat ini kerana mereka boleh didenda RM1,000 selain didakwa mengikut Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBI) 1992," katanya selepas operasi mengunci beberapa kenderaan sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengenakan tindakan susulan iaitu mengapit tayar kenderaan pemilik jika kunci (untuk cermin sisi) tidak dipulangkan kepada Pejabat Penguat Kuasa MBI di Jalan Bandar di sini, dalam tempoh 30 hari dari tarikh dikunci.

Mengikut rekod MBI, ada pemilik kenderaan yang mempunyai lebih 400 saman lalu lintas yang nilai kompaunnya mencecah RM10,000.

"Ada juga pemilik yang mempunyai antara 200 hingga 300 saman tertunggak dan diharapkan mereka tampil menjelaskan bayaran kompaun bagi mengelak dikenakan hukuman itu," katanya.

0 comments: