Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Thursday, November 24, 2011

Kementerian Kesihatan arah sos tiram 1M'sia ditarik


Kementerian Kesihatan hari ini mengarahkan semua sos tiram jenama Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) ditarik balik kerana didapati melanggar Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985.

"Kami telah maklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan produk itu dari pasaran.

Produk itu mesti ditarik balik segera,” kata menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai kepada wartawan pada sidang akhbar di lobi parlimen hari ini.

Jelasnya, ujian makmal oleh Jabatan Kesihatan, kementerian itu mendapati sos tiram 1Malaysia yang dijual di kedai-kedai KR1M di seluruh negara, mencatatkan kandungan protein yang rendah daripada keperluan yang disyaratkan oleh undang-undang.

"Keputusan analisis dua produk sos tiram itu menunjukkan produk itu masing-masing mengandungi sebanyak 0.8 dan 1.0 peratus protein berbanding standard iaitu tidak kurang daripada 2.5 peratus protein," katanya.

Sos tiram itu adalah satu daripada tujuh barangan yang didakwa oleh ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, mencabuli Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985.

"Kementerian Kesihatan tidak sekali-kali akan bertolak ansur kepada pihak yang mengeluarkan produk makanan yang boleh membahayakan kesihatan rakyat," kata Liow.

Sementara itu, Bernama melaporkan Liow berkata, Kementerian Kesihatan mendapati susu rumusan tumbesaran bayi yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tidak berbahaya untuk kesihatan.

Katanya, hasil analisis menunjukkan kandungan vitamin A dalam produk susu itu ialah 3240 I.U (unit antarabangsa) bagi setiap 100gram dan ia tidak melebihi had sebenar iaitu 5,000 I.U bagi kuantiti yang sama.

"Pihak kilang yang mengeluarkan produk itu juga didapati melaksanakan sistem jaminan keselamatan makanan dan mempunyai sijil ISO 9001:2008," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan setiausaha publisiti kebangsaan DAP Tony Pua yang menyatakan produk susu itu mengandungi lapan kali lebih banyak vitaman A daripada had dibenarkan.

Liow berkata Tony telah mengelirukan rakyat dengan mengemukakan peraturan kandungan susu rumusan tumbesaran itu dengan peraturan susu rumusan bayi.

Beliau berkata peraturan kandungan susu rumusan bayi menetapkan had maksimum vitaman A yang dibenarkan ialah 500 I.U.

Sementara itu, Liow berkata pemeriksaan terhadap produk KR1M lain seperti krimer pekat manis, krimer sejat, teh, bihun dan bes miniman buah-buahan Blackucurrent didapati tidak berbahaya dan mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

0 comments: