Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, December 5, 2011

Pilihanraya Mesir: Parti-parti Islam memenangi 65% undi

Kaherah - Parti-parti Islam memenangi 65 peratus undi dalam pusingan pertama pilihan raya Parlimen Mesir, menurut perangkaan rasmi yang diperoleh agensi berita AFP semalam.

Parti Ikhwanul Muslimin memenangi 36.62 peratus undi diikuti Salafist Al-Nur dengan 24.36 peratus undi dan Al-Wasat sebanyak 4.27 peratus undi.

Perangkaan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Pilihan Raya Mesir, Yusri Abdel Karim.

Menurut satu senarai rasmi, Parti Kebebasan dan Keadilan yang mewakili pergerakan Ikhwanul Muslimin memenangi 3.56 juta undi daripada 9.73 juta undi sah.

Parti Salafist Al-Nur memenangi 2.37 juta dan Parti Wasat memperoleh 415,590 undi.

Perikatan liberal, Blok Mesir menerima 13.35 peratus dengan 1.29 juta undi.

"Kami mengalu-alukan pilihan penduduk Mesir," kata jurucakap Parti Kebebasan dan Keadilan, Ahmed Sobea.

"Mesir kini memerlukan semua parti untuk bekerjasama bersama untuk keluar daripada krisis," tambahnya.

Pergerakan Ikhwanul Muslimin dikenali sejak berdekad-dekad lalu melakukan kerja-kerja kebajikan dan menentang pemerintahan Hosni Mubarak sebagai Presiden Mesir selama 30 tahun.

Hosni meletakkan jawatan pada Februari lalu selepas sejumlah besar penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir di sini untuk menuntut peletakan jawatannya.

Namun, prestasi Parti Salafist Al-Nur yang memperjuangkan tafsiran fundamental mengenai Islam mengejutkan sekali gus mencetuskan kebimbangan menjadi lebih konservatif dalam Parlimen yang mengandungi 498 anggota.

Pilihan raya itu diadakan pihak tentera yang memerintah sementara Mesir bagi membolehkan kuasa pentadbiran diserahkan kepada pemerintahan pilihan rakyat.

Keputusan pilihan raya di Mesir itu adalah sama seperti di Tunisia dan Maghribi apabila parti Islam turut menang kesan daripada kebebasan baharu yang dibawa oleh pergerakan demokrasi. - Agensi

0 comments: