Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Sunday, July 29, 2012

Datuk Seri Lajim Ukin Isytihar Letak Jawatan Dalam Umno, Pengerusi BN


Datuk Seri Lajim Ukin, yang lima hari yang lalu mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuat kuasa serta-merta.

Beliau merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan tindakannya yang diputuskan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) agak mengejutkan banyak pihak.

Bagaimanapun, beliau masih kekal sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan ahli Umno, dan menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.

"Bagi jawatan Timbalan Menteri, saya serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menentukkan kedudukan saya kerana itu budi bicara beliau.

"Bagi menentukan keahlian saya dalam Umno, saya menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk mengambil tindakan... kalau mereka rasa saya menyalahi peraturan parti mereka boleh pecat saya," katanya dipetik Bernama.

Beliau mengumumkan keputusannya itu ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan program khas serta pengisytiharan gerakan 'Pakatan Perubahan Sabah' (PPS) di kediamannya di Likas Jaya, dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, Lajim turut mengumumkan senarai perwakilan PPS di 17 kawasan Parlimen di Sabah.

Bulan lalu, Lajim mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu.

“Surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Umno Cawangan telah dihantar kepada Setiausaha Umno Bahagian Beaufort beberapa hari lalu. Langkah pertama tidak akan pertahankan kerusi Ketua Bahagian dan langkah kedua peletakan ketua cawangan Umno dan langkah ketiga katanya tunggu dan lihat,” katanya yang dipetik portal berita New Sabah Times pada Isnin lalu.

Sebelum ini, Lajim mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Ketua Umno Bahagian Beaufort.

Lajim berkata, beliau masih ‘pemimpin kerajaan’ dan meneruskan tugasnya sebagai pemimpin dalam parti kerajaan. -SH

0 comments: