Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, July 24, 2012

Zakat kikis sifat bakhil,didik rasa simpati

Oleh Tuan Gru Nik Abdul Aziz Nik Mat
ANTARA hikmah zakat ialah bertujuan cuci hati manusia daripada sifat kedekut, kerana sifat kedekut itu suatu racun mempunahkan keimanan.

Jika racun bahan boleh menghancur jasad manusia, sebaliknya kedekut itu racun bisa bagi rohani insan. Orang yang menghindar dirinya daripada sifat kedekut, bererti berusaha menyuburkan imannya.

Zakat satu daripada rukun Islam untuk mengikis sifat bakhil, seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan siapa yang dipelihara oleh Allah SWT daripada sifat kedekut dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Surah Al-Hasyr sebahagian ayat 9)

Orang yang berjaya asuh hatinya daripada sifat kedekut, harta halal mesti dicari dengan usaha yang diredai Allah SWT.

Setelah diperolehi mesti usaha kikis racun bakhil yang bahaya itu.

Bagaimana hendak lari daripada sifat bakhil jika mereka tidak membiasakan diri menderma dan bersedekah. Kedekut mesti dikikis kerana ia saudara sifat mazmumah yang lain seperti pemalas, penakut, takabbur dan dengki.

Antara cara mengikisnya ialah mengganti sifat bakhil dengan sifat pemurah, penakut diganti dengan berani. Berani mesti digabung dengan benar.

Ini kerana ada pepatah mengatakan berani kerana benar, oleh itu jangan takut pertahankan kebenaran. Kerana yang benar itu hakikatnya datang daripada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Kebenaran itu adalah daripada Tuhanmu, jangan sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu.” (Surah al-Baqarah ayat 147)

Penyakit bakhil akan lenyap sekiranya sentiasa rajin menderma, kerana sayang kepada sesuatu benda itu tidak akan berakhir kecuali paksa hati berenggang dengan harta di tangan.

Biasakan menderma dengan wang tanpa dilihat oleh mata, selok kocek dan hulurkan semua yang tergenggam di tangan. Dengan demikian lama kelamaan akan hilang sifat sayang kepada harta.

Dalam pengertian lain bahawa zakat itu mencucikan harta, kerana zakat itu dari segi bahasa bererti ‘pencuci’. Zakat boleh membersihkan pemiliknya daripada karat kedekut. Kedekut adalah racun yang boleh membinasakan iman pemiliknya.

Pada hakikatnya kedekut itu Tuhan berikan seorang sedikit. Begitu juga sifat pemurah sebagai batu ujian daripada-Nya, untuk menguji sama ada benar-benar bertauhid dengan tuntutan dua kalimah syahadat. 


Zakat juga sebagai tanda bersyukur atas nikmat harta yang Tuhan berikan, cara bersyukur ialah menggunakan di tempat yang disetujui oleh Allah SWT, iaitu memberikan zakat terhadap lapan asnaf yang disebut dalam Surah At-Taubah ayat 60, mengeluarkan zakat itu bererti tidak menggunakan harta untuk kepentingan diri semata-mata.

Tanggungjawab orang yang hendak mengeluarkan zakat; pertama, hendaklah segera keluarkan zakat meskipun belum sampai pusingan tahunnya. Hikmah di sebalik bersegera itu ialah untuk menzahirkan kesungguhan kepada Allah SWT, mengerjakan sesuatu yang diperintahkan-Nya.

Dengan demikian dapat memasukkan rasa gembira ke dalam hati golong fakir dan miskin, yang sentiasa menunggu pemberian zakat kepadanya. Dengan penerimaan zakat itu akan menerbitkan kesyukuran, serta doa “jazakallahu khaira” ertinya mencetuskan satu kebaikan di kalangan manusia miskin mendekatkan diri dengan doa kepada Allah SWT.

Malah malaikat turut meraikan peristiwa mengeluarkan zakat di kalangan manusia itu dengan doanya: “Allahumma a’ati munfiqan khalafa wa a’ati mumsikan talafa” yang bermaksud: “Ya Allah berikanlah orang yang suka menderma kepada orang lain akan gantinya, dan berikanlah kebinasaan kepada orang kedekut.”
Menyegerakan keluar zakat untuk mendahului kehadiran halangan, masa bimbang daripada terhalangnya membuat kebajikan.

Ini kerana kemungkinan terjadi sesuatu petaka yang tidak diingini terhadap harta tersebut. 


Berdasarkan pengalaman lalu melambatkan mengeluarkan zakat itu banyak kebinasaannya, melambat dan menyebabkan manusia terdedah kepada keingkaran terhadap-Nya.


Melambatkan keluar zakat kemungkinan syaitan membisikkan ke dalam hati, sifat ingkar hingga terganggu untuk mentaati Allah SWT.

Apabila tercetus perasaan daripada batin untuk melakukan kebaikan, sayogia rebutlah peluang daripada lintasan hati tersebut.

Ini kerana jika tidak dilayan cetusan perasaan yang baik, kelak ia akan menghilang dan tidak menjelma lagi. Ini kerana cetusan perasaan yang baik itu merupakan ilham daripada malaikat.

Kalau tidak dilayan ilham yang baik yang diberi oleh malaikat, dikhuatiri bertukar menjadi sebaliknya. Kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Syaitan menjanjikan (menakutkan) kamu dengan kefakiran dan menyuruh kamu berbuat kekejian (kedekut).” (Surah Al-Baqarah ayat 268)

Seandainya bisikan syaitan didengari nescaya manusia gagal dan batal untuk berkhairat serta menderma. Harta yang dimakan telah dikirim ke tandas, yang dipakai sudah buruk dan reput. Padahal derma yang telah dikirim awal kepada Allah SWT, itulah sebenar-benar harta yang boleh ditumpang pahalanya di akhirat kelak.

Syaitan mempunyai banyak ilham, setelah satu ilham diikuti pula dengan ilham yang lain, lantas bertembung dengan ilham malaikat. Terserah kepada manusia memilih hitam putihnya dua ilham itu.

0 comments: