Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Chua Tee Yong yang giat menyerang kerajaan Selangor berhubung kutipan hutang Talam Corporation hari ini dicabar untuk menjelaskan tanggungjawabnya dalam siasatan ke atas skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Setiausaha publisiti DAP Tony Pua juga mencabar Chua untuk mengutip semula pinjaman mudah RM250 juta dari NFC.

“Jika tidak, mungkin Datuk Chua boleh berikan sebab mengapa dia layak menjadi timbalan menteri pertanian dan bukannya budak suruhan kepada panglima perang Umno Selangor dan menteri Datuk Seri Noh Omar,” kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.

MP Petaling Jaya Utara itu mencabar Chua untuk menyatakan sekiranya timbalan menteri itu telah menyiasat mengapa pinjaman mudah RM250 juta itu diberikan kepada syarikat NFC yang dimiliki oleh keluarga ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil pada 2008.

Sedangkan pinjaman itu diberikan dua tahun sebelum perjanjian pelaksanaan projek ditandatangani di antara NFC dan Kementerian Pertanian, kata Pua.

“Saya minta Datuk Chua Tee Yong supaya menyatakan berapa kali beliau lawat National Feedlot Centre dalam masa setahun lalu untuk menyelesaikan skandal NFC?

“Adakah dia melawat NFC sekali, mungkin untuk mengira jumlah lembu yang diternak di ladang tersebut, dan bukannya melawat tasik Bestari Jaya berulang kali untuk memancing?,” kata Pua.

Pua berkata, beliau menyatakan cabaran itu memandangkan Chua begitu rajin melawat lokasi tertentu di Selangor untuk membangkitkan dakwaan berhubung penilaian harga tanah milik Talam dan kutipan hutang RM392 juta itu.

Beliau juga bertanya sekiranya Chua telah menyiasat mengapa NFC tidak membayar sesen pun kepada kerajaan walaupun syarikat itu sepatutnya berbuat demikian sejak Januari 2012.

“Bolehkah Datuk Chua berikan jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa setiap sen daripada RM250 juta itu akan dikutip semula, sama ada dalam bentuk tunai atau aset sepertimana yang diuruskan kerajaan Selangor dalam mengutip semula hutang Talam RM392 juta itu?,” soalnya lagi.

NFC kini bergelut dengan kes perbicaraan di mahkamah apabila pengerusi eksekutifnya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, yang juga merupakan suami Shahrizat, didakwa atas tuduhan pecah amanah.