Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Sunday, August 5, 2012

George Kent Hanya Dapat 8.7 Drp 30 Markah Keseluruhan Bagi Penilaian Kewangan

Sumber Kelab GB

Petaling Jaya: Konsortiun George Kent-Lion Pacific didakwa mengeluarkan kenyataan palsu berhubung kelulusan penilaian teknikal dan kewangan dalam bidaan projek tambahan sistem LRT-Ampang.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli sebaliknya berkata, konsortium tersebut sebenarnya gagal dan hanya mendapat 8.7 daripada 30 markah keseluruhan bagi penilaian kewangan.

Perkara itu didedahkan Rafizi melalui satu salinan surat yang dikemukakan Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Datuk Shahril Mokhtar kepada Kementerian Kewangan.

Dalam surat bertarikh 20 Januari itu, Shahril melaporkan ringkasan penilaian keseluruhan bidaan (penilaian teknikal, penilaian kewangan dan pematuhan kepada syarat-syarat kontrak) bersama-sama cadangan lantikan untuk diluluskan Kementerian Kewangan.

Menurut laporan tersebut, berdasarkan lapan calon pembida, Konsortium George Kent juga didapati tidak memenuhi syarat kontrak, namun membuat permohonan agar beberapa syarat seperti “bayaran ganti rugi kerosakan akibat gangguan” (Agreed Disruption Damages) disemak kembali.

Manakala dari segi teknikal, laporan tersebut menyatakan George Kent berada di tempat ketiga tercorot dalam penilaian teknikal dengan 38.62 daripada 70 markah keseluruhan.

Malah laporan Perunding Halcrow dengan secara jelas menyatakan bahawa ia tidak yakin Konsortium George Kent boleh melaksanakan projek itu.

Bidaan itu dibuat melalui Konsortium George Kent-Lion Pacific yang turut melibatkan syarikat-syarikat Wijet dan Thales dari luar negara.

“Kesemua fakta ini adalah fakta yang sah dan diangkat ke peringkat tertinggi Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, pembohongan yang dibuat Pengarah Eksekutif George Kent, Ir Dr Cheong Thiam Fook ini dibuat dengan tujuan untuk mengaburi mata rakyat Malaysia.

Malah, katanya ia menghina semua prosedur yang digunapakai di dalam sistem perolehan negara seolah-olah ia tidak berfungsi dan berkesan sehingga ia langsung tidak dihormati oleh pembida.

`Lesen besar’

Lebih merunsingkan, katanya ia membayangkan ‘lesen besar’ yang dipunyai oleh George Kent untuk membuat kenyataan yang sewenang-wenangnya membelakangkan keputusan Kumpulan Prasarana.

“Konsortium George Kent dan rakan-rakan karib mereka dalam pentadbiran Umno/Barisan Nasional (BN) percaya dengan propaganda media yang berterusan, mereka dapat meyakinkan rakyat bahawa tidak ada unsur rasuah dan penyelewengan Najib dalam memastikan konsortium itu mendapat kontrak,” katanya.

Disebabkan itu, beliau berkata kemampuan Prasarana kini mungkin diragui bagi memantau dan memastikan George Kent akan mematuhi semua syarat dan jadual kerja seperti yang dipersetujui, apabila belum pun kerja bermula George Kent dengan bongkaknya membohongi keputusan bidaan yang diangkat Prasarana.

“Saya yakin kebongkakan George Kent ini berpunca dari sokongan padu Najib kepada syarikat itu.

“George Kent tahu mereka kini sudah kebal dari undang-undang kerana dilindungi sepenuhnya oleh Perdana Menteri, sebab itulah mereka tidak segan silu berbohong walaupun ada fakta dan bukti yang sahih,” katanya.

Cheong dalam kenyataannya semalam menafikan pihaknya gagal dalam penilaian teknikal sebelum dianugerahkan projek tersebut yang bernilai RM1.1 bilion, malah yakin dapat menyiapkannya dalam masa yang ditetapkan. -FMT

0 comments: