Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, August 1, 2012

George Kent-Lion Pacific menang tender LRT Ampang

Syarikat Prasarana Negara Bhd hari ini secara rasmi mengumumkan bahawa kontrak untuk projek sambungan LRT Ampang dianugerahkan kepada syarikat kerjasama George Kent-Lion Pasific Venture (JV).

Menurutnya, JV adalah 100 peratus syarikat milik tempatan dan disokong oleh rakan kongsi yang berwibawa pelbagai disiplin teknikal tempatan dan antarabangsa, semua mempunyai rekod pencapaian yang terbukti dalam bidang kepakaran masing-masing.
Kenyataan itu juga menyebut, sebahagian daripada subsistem utama yang dicadangkan itu akan mempunyai sinergi dengan operasi Prasarana sedia ada.

Dalam jangka masa panjang, Prasarana akan mendapat keuntungan daripada pengurangan perbelanjaan operas di samping keuntungan bersama dari segi kecekapan yang akan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan, menurut kenyataan itu lagi.

Dengan perolehan kontrak kerja itu, Prasarana yang merupakan pemilik projek dan aset untuk Projek Sambungan Laluan LRT (LEP) telah memberikan semua kontrak kerja di bawah LEP, kecuali untuk kerja melibatkan kad akses yang masih belum ditender.

                                       Dokumen 'sahkan' PM campurtangan, dakwa PKR

PKR telah mendedahkan satu dokumen (lihat lampiran di bawah) yang didakwanya membuktikan bahawa jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menganugerahkan projek sambungan LRT Ampang bernilai RM1.18 bilion kepada konsortium yang diketuai oleh George Kent Bhd.

Dokumen itu adalah minit mesyuarat kelima Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) pada 21 Jun, yang mempengerusikan Najib kerana beliau juga merupakan menteri kewangan.

Dalam sidang akhbar hari ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata anugerah itu adalah pelik kerana George Kent dianggap sebagai "pembida lebih tinggi tidak berpengalaman" dalam tender tersebut.

Menurutnya, kepakaran yang George Kent ada ialah mengilang meter air dan syarikat itu sebelum ini ditolak kerana ia tidak memenuhi keperluan minimum teknikal bagi kerja tersebut.

Najib, yang sebelum ini diminta menjelaskan dakwaan tersebut, menyangkalnya dengan berkata semuanya mengikut aturan. -mk


Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan Telah Menganugerahkan Tender Kepada George Kent


Pada 21 Jun 2012, Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) telah mengadakan mesyuarat kelima bagi tahun 2012 (Bil 5/2012). JPMK adalah jawatankuasa tertinggi yang menentukan anugerah tender projek-projek besar kerajaan. Keanggotaannya adalah seperti berikut:

1. Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Ser Najib Tun Razak selaku pengerusi,

2. Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Husni Hanadzlah,

3. Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abd Aziz Wan Abdullah, dan

4. Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Nozirah Bahari

Mesyuarat tersebut telah memutuskan untuk melantik George Kent sebagai kontraktor bagi kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang pada harga RM1,180,037,624.

Keputusan ini kemudiannya dimaklumkan kepada Dato’ Shahril Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana bagi tindakan beliau yang selanjutnya dalam satu surat bertarikh 25 Jun 2012 yang disertakan bersama.

Pendedahan keputusan JPMK ini mengesahkan dakwaan KEADILAN sebelum ini bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak telah campur tangan di dalam proses penilaian dan penganugerahan tender kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang.

Lebih mengejutkan, keputusan JPMK yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri itu membatalkan keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa yang sama pada 25 Januari 2012 yang melantik kontraktor lain yang lebih layak.

Saya mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak berterus terang dengan menjawab 3 soalan berikut, rentetan kenyataan tunggal beliau setakat ini kononnya proses anugerah tender ini mengikut prosedur yang betul:

1. Prosedur bahagian mana di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan sebuah syarikat yang telah jelas gagal di dalam penilaian teknikal diberikan tender bertentangan dengan keputusan jawatankuasa teknikal?

2. Prosedur bahagian mana di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan Perdana Menteri menganugerahkan projek pada harga yang lebih tinggi
(harga George Kent adalah RM1.18 bilion berbanding harga Balfour Beatty pada RM1.01 bilion, iaitu lebih mahal sebanyak RM167 juta) kepada pembida yang gagal penilaian teknikal dan kewangan? dan

3. Prosedur bahagian mana di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan Perdana Menteri campur tangan sedemikian rupa di dalam anugerah tender besar seperti ini?


Segala keputusan anugerah tender setakat ini membayangkan berlaku pergolakan dan menimbulkan lebih banyak persoalan.

Apakah pertimbangan sebenar Dato’ Seri Najib yang sanggup membahayakan nyawa ratusan ribu orang ramai dengan melantik sebuah syarikat milik rakan karibnya yang hanya berpengalaman mengilang meter air untuk membina sistem LRT negara?

Kenapa harga yang dianugerahkan kepada syarikat milik rakan karib beliau ini lebih mahal sebanyak RM167 juta sedangkan ada pembida yang dinilai layak kepakarannya pada harga yang lebih rendah?

Apakah jumlah RM167 juta ini juga boleh dikaitkan dengan apa-apa pembayaran berbentuk komisen kepada mana-mana ahli politik Umno/BN, seperti mana wujudnya pembayaran komisen kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Najib semasa pembelian kapal selam Scorpene dahulu?

Soalan-soalan ini akan terus berlegar dan akan memburukkan lagi imej Dato’ Seri Najib selagi ia tidak dijawab dengan jitu dan ikhlas oleh beliau.

Pun begitu, saya percaya Dato’ Seri Najib akan terus membisu kerana itulah tindakan beliau setakat ini bila berdepan dengan skandal di dalam pentadbiran beliau.

Oleh yang demikian, saya percaya tanggungjawab yang sama perlu digalaskan di bahu Dato’ Shahril Mokhtar sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana untuk mengesahkan bahawa George Kent telah dilantik sebagai kontrak bagi kerja-kerja pembinaan tambahan LRT Laluan Ampang, seperti mana yang diarahkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
10 JULAI 2012

0 comments: