Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, December 11, 2012

Calet inap desa Kota Tinggi

AIR laut sedang pasang. Di tepi pantai sekumpulan remaja berkumpul sambil mendengar taklimat daripada seorang lelaki. Mereka kelihatan teruja dengan maklumat yang diberikan.

Kemudian beberapa orang daripada kumpulan itu turun ke dalam laut. Apabila air berada pada paras lutut, mereka berhenti. Tidak lama kemudian terdengar jeritan keriangan.

“Haa.. macam raksasa,” kata seorang remaja lelaki berusia 16 tahun. Di tangannya kelihatan sepasang belangkas yang beratnya kurang daripada sekilogram. Dia menangkap belangkas itu dengan memegang ekornya.

Remaja berkenaan, Mohd. Ezwan Rosnizam sangat seronok kerana itulah kali pertama dia menangkap belangkas. Selepas itu, belangkas tersebut dibawa ke darat. Hanya belangkas betina yang diambil manakala yang jantan dilepaskan semula ke laut.

Untuk mengenali jantina belangkas amat mudah iaitu ketika ditangkap pasti berpasangan. Si jantan berada di atas badan betina dan saiznya lebih kecil.

Pengalaman tersebut diperoleh pelajar Sekolah Menengah Vokasional Kota Tinggi ketika mengikuti program di Bob Homestay, Kota Tinggi, Johor.

Sesuai untuk semua

PINTU gerbang menyambut ketibaan para tetamu ke Bob Homestay.

Terletak di Kampung Johor Lama, Kota Tinggi, Bob Homestay merupakan sebuah tempat percutian atau perkhemahan yang sesuai untuk semua peringkat usia.

Kedudukannya di muara Sungai Johor serta jauh daripada kebisingan lalu lintas memberikan suasana damai, malah persekitaran alamnya turut terpelihara dengan baik.

Untuk sampai ke sini, perjalanan menaiki kereta hanya setengah jam dari Bandar Kota Tinggi melalui Jalan Desaru ke Telok Sengat.

Pengurus homestay berkenaan, Shahrool Anuar Rohani berkata, homestay yang ditawarkan pihaknya unik memandangkan ia satu-satunya homestay yang berkonsepkan perkampungan inap desa.

Kedudukan di kawasan Johor Lama juga membuatkan kawasan tersebut terkenal dengan khazanah sejarah yang tidak ternilai.

Shahrool yang juga pengurus Total Sterling Travel And Tours Sdn. Bhd. menambah, kawasan homestay tersebut yang seluas 0.4 hektar pada mulanya dibangunkan oleh sebuah syarikat lain pada tahun 2004 sebelum pihaknya mengambil alih pada akhir tahun 2010.

“Pada peringkat awal dahulu, kami menyasarkan pihak sekolah yang ingin menjalankan aktiviti motivasi pelajar dalam suasana kampung.

“Dari setahun ke setahun, bilangan pelanggan semakin meningkat termasuk membabitkan orang perseorangan, keluarga atau syarikat.

“Kini, kami mempunyai enam bangunan calet yang mampu menampung 120 orang pada satu-satu masa,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Setiap calet di homestay itu menawarkan bilik tidur berhawa dingin. Terdapat juga sebuah calet eksklusif yang dilengkapi perabot, peralatan dapur, televisyen dan ruang santai.

Selain itu, para pelanggan boleh memilih calet jenis berkembar atau bilik penginapan berasingan serta dua domitori yang boleh memuatkan 25 orang setiap satu.

Memancing

Bagi penggemar aktiviti memancing, jangan risau kerana di homestay itu anda boleh memenuhi keinginan tersebut. Pihak homestay sememangnya menyediakan sebuah pelantar khas untuk aktiviti berkenaan.

PARA remaja tidak melepaskan peluang mandi-manda di laut yang terletak dalam kawasan Bob Homestay.

Terdapat banyak ikan di kawasan itu. Antara spesies popular termasuk sembilang, jenahak, kerapu, belanak, kitang, siakap, gemang dan malong.

Jika tiada peralatan memancing ia bukanlah satu masalah besar kerana tetamu boleh menyewa joran dengan kadar RM10 setiap satu manakala umpan pula RM15.

Justeru, waktu terluang bolehlah diisi dengan memancing sambil menikmati suasana malam yang dingin bersama rakan-rakan atau ahli keluarga.

Jika masih belum puas memancing di pelantar berkenaan, perkhidmatan bot disediakan bagi mereka yang ingin memancing di kawasan rumah rakit berhampiran.

Bagi mereka yang ingin mengadakan mesyuarat atau hari keluarga juga boleh berbuat demikian kerana terdapat sebuah dewan yang berkapasiti 80 orang. Hendak berkaraoke pun tiada masalah kerana set karaoke turut disediakan.

“Tetamu juga boleh mengikuti aktiviti menyusur Sungai Johor bagi menikmati keindahan dan keunikan hutan paya bakau. Pastinya, aktiviti ini memberikan satu pengalaman baharu kepada mereka. Jika bernasib baik, anda dapat menyaksikan hidupan liar seperti burung, biawak dan monyet,” kata Shahrool.

Sekiranya masih mempunyai masa luang, cubalah berjalan kaki atau berbasikal di kawasan kampung. Melihat peninggalan sejarah Johor Lama pasti memberi maklumat yang berguna kepada generasi hari ini.

Johor Lama juga mempunyai industri kecil dan sederhananya sendiri. Perusahaan makanan tradisional seperti kuih baulu gendang dan kuih tekap pasti sukar diperoleh di tempat lain.

PELBAGAI jenis hidangan laut termasuk belangkas yang digoreng dengan sambal boleh dinikmati ketika bercuti di Kota Tinggi.
Belangkas goreng kering

Negeri Johor juga terkenal dengan masakan asam pedas. Bagaimanapun, kampung itu mempunyai makanan istimewa tersendiri iaitu ketam bangkang dan belangkas goreng kering.

Kedudukan perkampungan yang berhampiran laut membuatkannya kaya dengan hasil laut. Dari segi harga pastinya jauh lebih murah berbanding harga makanan di bandar raya Johor Bahru.

Shahrool berkata, walaupun tidak tinggal bersama keluarga angkat seperti inap desa perkampungan lain, tetamu tetap dapat merasai keseronokan bergaul dengan masyarakat kampung.

“Sambil berjalan-jalan di kawasan kampung, mereka boleh berbual mesra dengan penduduk kampung sekali gus mendapat kenalan baharu,” katanya.

0 comments: