Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, February 4, 2013

Disemadi dalam kendi berlian




JUMAAT lalu, ratusan ribu rakyat Kemboja membanjiri jalan-jalan utama di Pnom Penh sebagai menghormati upacara perarakan prapersemadian bekas Raja Kemboja, Raja Norodum Sihanouk.

Dengan mengenakan pakaian putih dan hitam, lautan manusia mula berkumpul sejak waktu Subuh untuk memberi penghormatan terakhir kepada pemimpin terulung dalam sejarah Kemboja moden itu.

Sihanouk dilihat sebagai tokoh utama yang sentiasa ingin bersama rakyatnya.

Biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai ancaman dan kesukaran, kebijaksanaan dan kesabaran Sihanouk akhirnya berjaya membawa kedamaian buat rakyat dan negaranya.

Baginda mengambil keputusan untuk turun takhta pada 2004 selepas enam dekad bergelar raja.

Sihanouk memberi peluang kepada puteranya, Raja Norodom Sihamoni untuk meneraju tampuk kepimpinan negara, biarpun pada ketika itu, ramai yang beranggapan Sihamoni keberatan untuk mengambil alih jawatan tersebut daripada ayahandanya.

“Sepanjang tempoh pemerintahan baginda, Kemboja mendapat kemerdekaan daripada Perancis, berdepan dengan perang saudara, kerajaan dirampas puak Khmer Rouge yang zalim malah baginda juga pernah dibuang negeri.

“Baginda telah melakukan banyak perkara hebat untuk negara ini. Saya sangat menyayanginya.

“Kemangkatan baginda adalah perkara yang cukup menyedihkan kami semua,” ujar Suon Toch, 70, yang tidak lepas-lepas memegang potret Sihanouk sepanjang perarakan berlangsung.

SAMI antara pihak penting yang ditugaskan menjalankan ritual agama sepanjang tempoh berkabung.

Pedati bersalut emas

Dalam perarakan tersebut, ribuan rakyat Kemboja berjalan mengiringi pedati bersalut emas yang membawa jenazah Sihanouk ke istiadat persemadian di Gunung Suci yang terletak bersebelahan istana, kawasan yang sama baginda ditabalkan sebagai raja lebih 70 tahun lalu.

Sebelum ini, jenazah bapa kepada 14 orang anak itu ditempatkan di Istana Diraja selama tiga bulan selepas ia diterbangkan pulang dari Beijing Oktober lalu.

Bagi generasi lama warga Kemboja, kemangkatan Sihanouk cukup dirasai.

Sebagai tanda sanjungan hormat dan ketaatan yang tidak berbelah bagi, ramai yang melutut dan menggenggam tangan sambil berdoa apabila perarakan jenazah melewati mereka.

Turut mengiringi pedati tersebut ialah Raja Sihamoni dan isteri keenam mendiang Sihanouk, Permaisuri Norodom Monineath.

Baginda berdua kelihatan sugul, adakalanya menangis teresak-esak ketika berjalan di belakang pedati yang membawa keranda Sihanouk yang menyerupai wat yang dilitupi bungaan putih setinggi lebih 2 meter.

PEDATI bersalut emas dibawa berarak ke sekeliling bandar dengan penuh istiadat persemadian diraja.

 
Jenazah Sihanouk akan disimpan di tapak pembakaran selama tiga hari bagi acara keagamaan selain memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum istiadat pembakaran diraja dilakukan pada pukul 6 senja esok.

Bagi memastikan kelancaran istiadat persemadian tersebut, satu jawatankuasa khas terdiri daripada pegawai-pegawai kanan istana ditubuhkan sebaik sahaja kemangkatan Sihanouk diumumkan Oktober lalu.

“Kami bekerja keras selama beberapa bulan untuk memastikan upacara perarakan dan persemadian berjalan lancar.

SIHAMONI dan ibunya membakar colok sebelum pedati yang membawa jenazah Sihanouk berarak.

 
“Bukan itu sahaja, kami juga perlu memastikan istiadat diraja ini dijalankan dengan penuh adat dan tradisi, sama seperti istiadat persemadian Raja Suramarit, ayahanda Sihanouk yang berlangsung pada 1960,” ujar ahli jawatankuasa kecil agama, Nhek Bun Chhay.

Bagi mengelak sebarang kekurangan dan kelemahan, mereka diwajibkan menjalankan penyelidikan tentang istiadat persemadian dengan menonton video dan membaca dokumen bertulis di muzium berulang kali.

“Kami hanya duduk di sana untuk membaca dokumen dan menonton video. Selain itu, kami juga mencari beberapa pegawai istana yang masih hidup untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang istiadat ini,” kata Bun Chhay lagi.

Tidak hanya menumpukan adat istiadat persemadian, jawatankuasa ini turut menitikberatkan kelancaran program lain seperti perarakan dan persembahan.

“Upacara persemadian adalah ritual biasa yang boleh ditemui di mana-mana di Asia Tenggara.

“Namun, untuk istiadat persemadian diraja, ia memerlukan perancangan teliti dan melakukan apa sahaja yang terbaik untuk menghantar jenazah ke dunia yang lebih baik,” jelasnya.

Dalam istiadat persemadian Sihanouk, seramai 5,000 petugas memainkan peranan penting bagi memastikan kelancaran perarakan di 11 lokasi di seluruh bandar.

WANITA ini membotakkan kepala tanda menghormati kemangkatan Sihanouk.

Pecah tradisi

Dianggarkan lebih sejuta rakyat Kemboja keluar berarak bersama pedati yang membawa jenazah Sihanouk di bandar Pnom Penh kelmarin.

Mengikut adat persemadian, kerabat lelaki akan memulakan upacara membotakkan kepala sebagai tanda berkabung.

Ia diikuti oleh para menteri, pegawai mahkamah, hakim, polis, tentera, sami Buddha, wakil-wakil etnik dan rakyat sama ada lelaki dan perempuan yang memasang niat untuk berkabung sebagai tanda hormat dan kasih kepada Sihanouk.

Sebelum kemangkatannya, Sihanouk pernah berpesan, andainya baginda mangkat, baginda enggan jenazahnya diletakkan di dalam sebuah kendi seperti raja-raja sebelumnya.

Menurut anakandanya, Putera Norodom Ranariddh, ayahandanya mahu memecah tradisi kuno.

 “Baginda mahu diletakkan di dalam keranda hingga ke saat persemadiannya. Itu wasiat terakhirnya yang perlu dipatuhi,” ujar Ranariddh.

KEPRIHATINAN figura ulung pada era Kemboja moden ini meninggalkan kenangan manis di hati rakyatnya.

Secara tradisinya, Sihamoni dan ibunya akan memulakan istiadat dengan menyalakan api unggun untuk membakar jenazah Sihanouk.

Sebaik sahaja keranda pertama dibakar, pihak tentera akan melepaskan 101 das tembakan meriam.

Ia disusuli dengan letusan bunga api selain alunan orkestra tradisional pinpeat yang mengiringi bacaan ratib keagamaan di kuil.

Pada senja yang sama, lebih 400 banduan dijangka diberi pengampunan. Beberapa hari selepas istiadat pembakaran selesai, Sihamoni dan ibunya akan menabur sedikit abu mayat Sihanouk di Sungai Mekong. Baki abu tersebut kemudiannya disimpan di dalam kendi berlian untuk ditempatkan di ruang penyimpanan abu mayat kerabat diraja di istana.

0 comments: