Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, May 15, 2013

Tombak, aku janji kelainan istiadat MB S'gor


Istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah Klang semalam menampilkan kelainan kerana ia disertai lafaz aku janji oleh pemegang jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sambil memegang tombak "Sang Buana" yang bersalut kain kuning, Abdul Khalid melafazkan 10 Aku janji di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah pada istiadat di Balai Rong Seri.

Aku janji itu antara lain menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara serta memelihara dan melindungi kesucian serta keagungan agama Islam sebagai agama negeri.

Menteri Besar juga berjanji mematuhi kedaulatan Institusi Raja dan mempertahankannya daripada digugat oleh mana-mana pihak selain berjanji untuk melaksanakan tugas dengan integriti yang tinggi, penuh rasa tanggungjawab, amanah, jujur dan ikhlas, serta memelihara hak istimewa orang Melayu.

Istiadat angkat sumpah Menteri Besar Selangor sebelum ini tidak disertakan lafaz aku janji dan keperluan memegang tombak.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani yang dihubungi berkata tombak yang dipegang oleh Abdul Khalid itu dipanggil "Sang Buana" dan ia merupakan lambang kuasa baginda Sultan.

"Abdul Khalid memegang tombak itu semasa lafaz Aku janji sebagai simbol menjunjung kuasa Tuanku.

"Aku janji itu dibuat (disediakan) oleh Tuanku sendiri bukannya oleh Kerajaan Negeri," kata Mohamad Munir.

Ini kali kedua Abdul Khalid mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor. Kali pertama pada 13 Mac 2008, empat hari selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.

Beliau juga merupakan orang pertama dari kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

Kesemua 13 Menteri Besar Selangor sebelum ini daripada Umno, parti komponen utama Barisan Nasional (BN).

Pada PRU13, PR, gabungan parti PAS, PKR dan DAP memenangi 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

PKR memenangi 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi. BN memenangi 12 kerusi.- Bernama

0 comments: