Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, October 28, 2013

Anwar: Mansuh subsidi gula, taikun untung RM1b

Syarikat taikun gula termasuk Central Sugar yang dimiliki jutawan Syed Mokhtar Al-Bukhary, boleh mencapai keuntungan hampir RM1bilion ekoran penghapusan subsidi gula dalam Bajet 2014 yang diumumkan Jumaat lalu, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga bekas menteri kewangan berkata ekoran penghapusan subsidi itu juga, industri gula itu akan dimonopoli satu lagi syarikat, Malaysian Sugar Manufacturing, yang dimiliki Felda Golbal Ventures.

Membahaskan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata pendapatan kasar industri gula sekitar RM4 bilion setahun dan pada kebiasaannya keuntungan sebelum cukai syarikat gula adalah sekitar sembilan peratus.

"Setelah kemasukan syarikat dimiliki Tan Sri Mokhtar ke dalam sektor ini, keuntungan sebelum cukai telah melonjak naik kepada 15 peratus.

"Dengan penghapusan subsidi, keuntungan sebelum cukai syarikat-syarikat di dalam sektor ini, dijangka melonjak ke 20 hingga 25 peratus, dengan pengumpulan keuntungan hampir RM1 bilion, akibat pengukuhan monopoli oleh kedua syarikat ini," katanya.

Sehubungan itu, Anwar mempersoalkan mengapa syarikat korporat mendapat keuntungan berganda akibat penghapusan subsidi gula, sedangkan rakyat dibebankan dengan kenaikan harga barang makanan itu

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Jumaat lalu, mengumumkan penghapusan sebanyak RM551.25 juta subsidi gula dalam Bajet 2014 dan menyebabkan kenaikan harga gula sebanyak 34 sen bagi sekilogram.-Mkini

0 comments: