Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, October 21, 2013

Pemilihan Umno: Bantah kemenangan anak saudara

Bantah kemenangan anak saudara

Alias menunjukkan keputusan bagi jawatan timbalan yang dimenangi Nik Dir dengan undian sebanyak 533. 
 MARANG – Pemilihan Umno Bahagian Marang kembali panas apabila lima calon bertanding jawatan ketua, timbalan dan naib membantah keputusan diumumkan Jawatankuasa Pemilihan parti (JKPU), di sini, malam kelmarin.

Bantahan itu dibuat disebabkan wujudnya lebihan undi sebanyak 34 bagi jawatan ketua Bahagian menjadikan jumlah keseluruhan 1,120 berbanding jumlah layak mengundi yang sepatutnya 1,086 kesemuanya.

Manakala bagi jawatan timba-lan  lebihan undi sebanyak 23 apabila jumlah keseluruhan 1,109 berbanding jumlah perwakilan 1,086.

Sehubungan itu, satu memorandum bantahan dihantar kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali meminta jawatankuasa meneliti perkara tersebut, semalam.

 Pemilihan  Umno Bahagian Marang, menyaksikan jawatan nombor satu bahagian dimenangi oleh exco kerajaan negeri, A Latif Awang  dan jawatan timbalan dimenangi Nik Dir Nik Wan Ku serta naib pula dimenangi Saiful Bahri Baharuddin.

Datuk Yahya Khatib Mohamad ketika ditemui membantah keputusan jumlah pengiraan undi dalam perebutan jawatan nombor satu bahagian itu yang dimenangi A Latiff yang juga anak saudaranya dan mendakwa terdapat unsur penyelewengan.

Pertembungan empat penjuru itu menyaksikan A Latif mendapat 596 undi, Yahya sebagai penyandang jawatan mendapat 437 undi, Datuk Dr Abdul Latif Awang mendapat 75 undi dan Zainal Alang Abdul Rahman tiada undi manakala 12 undi rosak.

Menurutnya, jumlah keseluruhan kertas undian diperoleh tiga calon bertanding jawatan itu termasuk rosak adalah 1,120 namun jumlah perwakilan bahagian yang hadir dan layak mengundi pada pemilihan hanya 1,086 orang sahaja.

“Ini jumlah pengundian ‘ajaib’ kerana kertas undi jadi lebih,” katanya ditemui Sinar Harian selepas mendapat keputusan tersebut daripada wakil yang dilantiknya.

Nama tidak dipotong

Malah keputusan perebutan bagi jawatan timbalan dan naib turut menerima bantahan empat calon yang bertanding bagi merebut dua jawatan tersebut dalam Pemilihan Umno Bahagian Marang berakhir jam 1.30 pagi itu.

Empat calon terbabit adalah Alias Abdullah dan Datuk Razali Idris bagi jawatan timbalan manakala Datuk Tengku Zainuddin Tengku Zahid dan Rozi Mukhatar bagi jawatan naib.

Alias yang bertanding bagi jawatan timbalan, berkata, jumlah undi keseluruhan bagi jawatan timbalan juga wujud kekeliruan apabila ia melebihi jumlah perwakilan yang hadir dan layak untuk mengundi selepas keputusan dimaklumkan wakilnya.

Alias sebagai penyandang jawatan itu mendapat sebanyak 286 undi, tewas di tangan Nik Dir yang mendapat 533 undi, Datuk Razali Idris pula mendapat sebanyak 271 undi manakala undi rosak dicatatkan pada malam itu adalah sebanyak 19 undi.

Katanya, jumlah undi keseluruhan adalah sebanyak 1,109 undi sekali gus mewujudkan perbezaan sebanyak 23 undi berbanding daripada jumlah kehadiran perwakilan dan layak untuk mengundi iaitu seramai 1,086 orang sahaja.

“Kertas undi hanya dikeluarkan setelah perwakilan pergi ke saluran masing-masing dan menyemak nama di kaunter JKPU di luar dewan mengundi. Selepas ditunjukkan kad pengenalan barulah nama dipotong dan kertas undi dikeluarkan.

“Berdasarkan kepada buku senarai tersebut hanya 1,083 perwakilan telah dikeluarkan kertas undi tetapi pengerusi tetap mengaku tiga lagi nama tidak dipotong namun mengambil kertas undi.

"Jadi bagaimana pula jumlah undi keseluruhan boleh menjadi 1,109,” katanya.

Menerusi maklumat diperoleh wakilnya, Alias juga mendakwa pengiraan jumlah kertas undi keseluruhan selepas dikeluarkan dari peti undi adalah sebanyak 1,139 keping yang jelas menimbulkan keraguan dan kemudiannya berubah menjadi 1,109. 

Kesal sikap JKPU

Bagi seorang lagi calon timbalan, Datuk Razali Idris kesal dengan sikap ambil mudah JKPU Bahagian itu berhubung perwakilan ‘misteri’ malah lebih dikesali apabila pihak terbabit memberikan alasan yang amat tidak munasabah serta tidak masuk akal.

“Orang yang tak boleh mengundi mari mengundi, orang tak ada nama mari mengundi, macam mana orang tak ada nama boleh datang mengundi. Orang ada 10 orang tapi kertas undi ada 15. Pasal apa boleh jadi macam tu.

“Ini bukan soal kalah atau menang tetapi berlaku ketirisan dan ia tidak seharusnya berlaku.

"Banyak perkara lain juga berlaku, wakil calon juga tidak dibenarkan mengawasi peti dan kertas undi, jadi tiada siapa tahu apa yang berlaku” katanya.

Lebih mencurigakan apabila, JKPU negeri semalam mengumumkan pertandingan jawatan timbalan dimenangi Nik Dir dengan jumlah undian sebanyak 500 berbeza dengan jumlah diumumkan kepada wakil calon malam kelmarin iaitu sebanyak 533 undi.
Berikutan itu, calon terbabit menghantar memorandum bantahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dan meminta pihak jawatankuasa meneliti perkara yang telah dibangkitkan itu, semalam.-Sinar

0 comments: