Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, January 9, 2015

Syarikat jual kereta dijangka ‘perang harga’

Sumber arenakereta.com

KUALA LUMPUR : Syarikat kereta di Malaysia dijangka melancarkan ‘perang harga’ dengan kadar diskaun lebih tinggi tahun ini bagi meningkatkan jualan kereta masing-masing ekoran permintaan pasaran yang lembap.

Menurut RHB Research Institute, langkah itu diambil demi mengekalkan penguasaan pasaran masing-masing, tambahan pula pasaran automotif tempatan yang semakin kompetitif dengan kehadiran model-model baharu dalam pelbagai segmen.

Jelas firma penyelidikan itu, kadar diskaun lebih tinggi itu disebabkan pemain-pemain industri menyedari jualan kereta mulai perlahan pada separuh kedua tahun 2014, didorong sikap pengguna yang menangguhkan pembelian kenderaan baharu atas alasan kenaikan kos hidup, lapor Utusan Online.

“Prestasi pada separuh kedua 2014 begitu mengejutkan industri, memandangkan jualan kereta pada Jun lalu amat memberangsangkan. Berdasarkan prestasi setakat 11 bulan pertama tahun lalu, TIV 2014 dijangka tidak mencapai sasaran,” jelas RHB Research Institute dalam nota kajiannya.

Firma itu menjangka pertumbuhan TIV tempatan tahun depan dijangka menurun iaitu buat pertama dalam tempoh tiga tahun, kepada 650,000 buah berbanding 2014 (sekitar 675,000), 2013 (655,793 buah), 2012 (627,753 buah) dan 2011 (600,123 buah).

Sebelum ini, Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad memberitahu Utusan Malaysia bahawa sasaran TIV 2014 yang diletakkan persatuan itu sebanyak 680,000 buah dijangka sukar dicapai, berdasarkan prestasi TIV dari Januari hingga November yang hanya berjumlah 601,805 buah.

Beliau menganggarkan kenaikan TIV tahun 2014 hanya satu peratus berbanding TIV pada 2013. Jumlah keseluruhan kenderaan yang terjual pada 2013 ialah sebanyak 655,793 buah dan kenaikan satu peratus itu dijangka meletakkan TIV 2014 sekitar hanya 662,000 buah kenderaan.

Menurut RHB Research Institute, trend jualan yang perlahan itu sedikit sebanyak merisaukan syarikat-syarikat pengeluar kereta dalam usaha mereka mengekalkan kadar jualan dan penguasaan pasaran masing-masing.

“Ini belum lagi mengambil persaingan daripada pelancaran beberapa model baharu tahun ini (2015) yang dijangka terus meningkatkan persaingan dalam industri” jelas firma itu.

Antara beberapa model yang dijangka dilancarkan tahun ini ialah Mazda CX-3, Honda City Hibrid, Mazda 2, Mazda 3, Peugeot 308, Toyota Camry Hibrid, Honda Vezel, Ford Mustang, Hyundai Sonata, Kia Sorento dan Nissan Almera FL.- freemalaysiatoday

0 comments: