Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, September 30, 2015

Harga Barang Farmasi Naik Bermula Oktober 2015.


Harga peralatan bantuan kesihatan dan ubat-ubatan di farmasi akan berlaku kenaikan bermula bulan Oktober ini akibat kejatuhan nilai matawang negara dan kemungkinan trend kenaikan itu akan bertambah jika matawang terus jatuh.

Pengerusi Persatuan Farmasi Malaysia Negeri Pahang, Abdul Aziz Jamaludin, berkata, beliau sendiri telah dimaklumkan oleh pembekal bahawa kenaikan akan berlaku pada bulan Oktober ini sekitar 5 hingga 15 peratus.

“Kenaikan harga peralatan bantuan kesihatan dan ubat-ubatan tidak dinafikan akan naik pada bulan Oktober ini akibat kesan daripada kejatuhan matawang negara dengan kadar 5 hingga 10 peratus bagi yang dibuat di Malaysia dan 10 hingga 15 peratus bagi yang import terus dari luar negara.

“Jika trend kejatuhan nilai matawang negara ini terus mencatatkan penurunan, tidak mustahil harga produk kesihatan di farmasi akan terus meningkat lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di program kempen memakai topeng muka dan banyak minum air ketika jerebu di dua buah sekolah yang terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Kolam serta Sekolah Menengah Agama (SMA) Rompin yang turut dihadiri Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Mohd Johari Hussain, pagi tadi.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, dan Hospital KPJ Kuantan.

Dalam pada itu, beliau turut tidak menafikan kejatuhan matawang sejak kira-kira dua bulan lalu juga mengakibatkan rata-rata farmasi mengalami penurunan jumlah pelanggan yang mungkin disebabkan mereka mula berhati-hati berbelanja selain tidak menolak kesan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Secara umumnya sekarang atau selepas ini apabila harga peralatan bantuan kesihatan dan ubat-ubatan naik, jualan akan berkurangan namun dalam masa yang sama kos meningkat sekali gus menyebabkan perniagaan menjadi merosot,” katanya. - SH

0 comments: