Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, November 17, 2015

Bagaimana TPPA jejaskan ubat mampu milik

Sumber Mkini

Teks penuh dokumen Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dikeluarkan pada 5 November lalu mengesahkan kebimbangan mengenai kesukaran yang akan dihadapi rakyat bagi mendapatkan ubat-ubatan.

Perkara-perkara yang terkandung di teks tersebut, termasuklah peruntukan mengenai perlanjutan tempoh paten, pasaran eksklusif bagi ubat-ubatan biologi dan hubungan data akan mengancam kebergantungan terhadap ubat-ubatan generik yang jauh lebih murah.

Data menunjukkan bahawa 84.7 peratus ubat-ubatan berjenama yang disarankan boleh diganti dengan ubat-ubatan generik.

Baru-baru ini, pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh kumpulan penyokong TPPA bahawa perjanjian perdagangan itu tidak akan memberi kesan terhadap harga ubat-ubatan.

Kenyataan-kenyataan ini dibuat oleh pihak yang langsung tidak mempunyai pengalaman dalam perihal kesihatan awam dan perolehan ubat-ubatan.

Ia juga bercanggah dengan bukti-bukti dan kenyataan-kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh ketua pengarah Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), pemenang nobel Doktor Tanpa Sempadan (MSF) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ia juga bercanggah dengan badan-badan pelajar perubatan seperti Persatuan Pelajar Perubatan Amerika dan persatuan-persatuan profesional perubatan seperti Persatuan Perubatan New Zealand (NZMA) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Kita tidak boleh terus menidakkan bahawasanya TPPA akan memberi impak terhadap akses kepada ubat-yang mampu dimiliki berdasarkan bukti-bukti yang sedia ada seperti peruntukan TRIPS+ dan kemasukan ubat-ubatan generik ke pasaran.

Kita seharusnya mengaku bahawa akses kepada ubat-ubatan mampu milik digadaikan dalam TPPA untuk mendapatkan bahan lain, sama ada benar atau yang tidak begitu menguntungkan.

Empat hari yang lalu, Ketua Pengarah WHO Margaret Chan berkata:

“Jika perjanjian-perjanjian ini membuka peluang perdagangan tetapi menutup pintu kepada ubat-ubatan yang mampu dimiliki, kita harus bertanya: Adakah ini satu kemajuan?”

BANTAH TPPA berserta dengan badan-badan kesihatan dan hal-ehwal pesakit menuntut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengambil kira secara serius bukti-bukti saintifik yang dikemukakan di peringkat antarabangsa mengenai isu TPPA.

Begitu juga dengan impaknya terhadap akses kepada ubat-ubatan serta pandangan pakar perubatan antarabangsa yang telah disebutkan di atas.

Kami menuntut anggota parlimen daripada kedua-dua belah pihak menyatakan tidak kepada TPPA dalam undian mereka.

Seterusnya kami menuntut kabinet menjaga kepentingan rakyat dengan menolak peruntukan-peruntukan TRIPS+ ini.

BANTAH TPPA juga ingin mengingatkan golongan pembuat keputusan, jika kesihatan rakyat terabai akibat kurangnya keprihatinan kerajaan, akan mendatangkan kesan buruk terhadap produktiviti, ekonomi negara dan bajet nasional.

4 kenyataan dangkal

Dalam lampiran ini, kami ingin mematahkan beberapa kenyataan yang dibuat oleh penyokong TPPA dalam pelbagai forum, termasuk di dalam ruang OpEd:

(1) Kenyataan: Data dan pasaran eksklusif ubat-ubatan biologi akan menggalakkan syarikat-syarikat farmaseutikal memasarkan produk baru mereka lebih awal di Malaysia. Seterusnya, ini akan memberi laluan bagi ubat-ubatan generik yang lebih murah dipasarkan lebih awal juga.

Realiti: Tiada bukti langsung bahawa peruntukan “TRIPS-plus” akan menyebabkan ubat-ubatan generik dipasarkan dengan lebih awal. Di samping itu, keputusan sebuah syarikat ubat-ubatan asal membuat permohonan pemasaran di Malaysia bergantung kepada saiz pasaran dan sebab-sebab lain.

(2) Kenyataan: Kerajaan bersetuju untuk memberi perlindungan data yang serupa kepada produk biologi dengan tujuan kesamarataan (tanpa diskriminasi).

Realiti: Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) tidak menetapkan apa-apa peraturan berkaitan dengan data ataupun pasaran eksklusif bagi ubat-ubatan.

Pelapor khas PBB bagi hak kesihatan pernah berkata negara membangun tidak perlu bersetuju dengan peruntukan tersebut mahupun TRIPS+.

Jika Malaysia begitu risau mengenai isu kesamarataan, ia harus menghapuskan peruntukan data eksklusif/pasaran eksklusif bagi molekul kecil (ubat-ubatan bukan biologi).

Jika Malaysia bersetuju menggunakan peruntukan TRIPS+, Malaysia dilihat melanggar tanggungjawabnya terhadap Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), yang mengambil-kira hak kesihatan.

Sangat jelas bahawa Malaysia ditekan oleh Amerika Syarikat untuk menerima peruntukan pasaran eksklusif bagi ubat-ubatan biologi.

Ubat-ubatan biologi berbeza dengan ubat-ubatan molekul kecil dan dilihat semakin penting dalam pasaran ubat-ubatan serta dijual dengan begitu mahal sehingga boleh mencecah AS$569,000/pesakit/tahun pada harga monopoli.

Oleh kerana sebahagian besar ubat-ubatan biologi diperoleh daripada sumber-sumber hidup, ia tidak boleh dipatenkan.

Tanpa perlindungan paten dan juga peruntukan eksklusif TPPA, maka ubat-ubatan generik boleh terus didapati dengan mudah di Malaysia dengan harga yang berpatutan.

(3) Kenyataan: Peruntukan ini perlu kerana mereka akan membuat syarikat lebih berinovasi.

Realiti: Peruntukan TRIPS+ tidak dapat menolong syarikat-syarikat farmaseutikal yang sedang menghadapi “krisis inovasi”.

Dengan sedikit pengubahsuaian kepada ubat-ubatan sedia ada, mereka boleh memohon untuk mendapatkan paten baru.

Di samping itu, kajian juga menunjukkan bahawa inovasi sebenarnya dihalang oleh hak harta intelek (IPR) yang lebih ketat ataupun ia langsung tidak merangsangkan inovasi.

Sebagai contoh, walaupun Itali menambah IPR, impak kepada kadar pengeluaran rekaan baru adalah sedikit atau langsung tiada.

Contoh yang kedua ialah Kesatuan Eropah yang mempunyai pasaran farmaseutikal yang mempunyai perlindungan paling kuat di dunia tetapi semakin kurang inovatif jika dibandingkan dengan rantau-rantau yang lain.

(4) Kenyataan: Semua penemuan, termasuk kegunaan baru, akan diteliti oleh pejabat paten bagi memastikan ia kegunaan baru dan jelas.

Realiti: Penggunaan paten baru dalam mana-mana bidang teknologi adalah sangat bermasalah kerana ia melanjutkan monopoli secara berterusan.

Tambahan pula, TPPA merendahkan standard untuk inovasi yang baru dan menggalakkan langkah mereka cipta bukan jelas untuk semua paten termasuk paten penggunaan baru.

Ini bermakna bahawa lebih banyak teknologi yang akan mendapat perlindungan paten sekurang-kurangnya 20 tahun sebelum pengguna, petani dan pengeluar boleh membelinya dengan harga lebih murah akibat persaingan generik.

KUMPULAN BANTAH TPPA AKSES KEPADA UBAT-UBATAN terdiri daripada Majlis Aids Malaysia dan Persatuan Kebajikan Barah Payudara (BCWA).

0 comments: