Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Thursday, December 31, 2015

Bagaimana Uber Mengubah Lanskap Industri Teksi Toronto Yang Menganiaya Pemandu

Sumber thevocket.com
uber-toronto
Di atas jalan-jalan raya Toronto, terdapat sebuah kisah yang telah disepikan buat begitu lama. Iaitu kisah "jalan belakang" dan penganiayaan pemandu-pemandu teksi. Tetapi kisah ini mula berubah. Ikuti kisah ini di bawah.

Pada September 2012, lesen teksi (permit) Toronto dijual pada harga $360,000 (RM1.44 juta). Keadaan mula berubah, dengan penurunan harga lesen teksi pada tahun-tahun berikutnya. Pada 2013, harga purata lesen teksi atau dipanggil cab plate ini telah turun kepada $153,867 (kira-kira RM612,000). Pada tahun 2014, harganya berkurangan menjadi $118,235 (kira-kira RM472,000).

Salah satu sebab utama penurunan ini adalah Uber, iaitu servis tempahan perjalanan menggunakan aplikasi di dalam telefon pintar. Uber seolah-olah mengubah lanskap industri teksi yang telah wujud sekian lamanya. Hakikatnya,
sudah tiba masa untuk industri ini berubah.

Peter Cheney, wartawan suratkhabar The Globe and Mail, Kanada, mendapati hampir kesemua lesen teksi atau cab plates tidak dimiliki oleh pemandu teksi. Akan tetapi, ia sebenarnya dimiliki oleh beberapa syarikat atau individu yang akan mengenakan bayaran terhadap pemandu teksi yang mahu menggunakannya.

Pemegang Permit Teksi

Di antara pemilik utama lesen teksi adalah Mitch Grossman dan keluarganya. Grossman adalah seorang ahli perniagaan yang sudah memiliki lebih daripada 100 lesen teksi. Lesen ini telah memberikan kuasa besar terhadap keluarga Grossman.

Sekiranya seorang pemandu teksi mahu menggunakan lesen yang dimiliki oleh ahli keluarga beliau, Grossman akan memaksa mereka membeli kereta melebihi harga sebenar kereta itu daripada operasi jualan salah sebuah syarikat beliau. Kemudian, pemandu akan mendapatkan pembiayaan menerusi firma ahli keluarga Grossman yang dinamakan Symposium Finance, dengan faedah sehingga 28 peratus. Pemandu kemudiannya akan menyertai syarikat broker teksi yang digelar Royal Taxi, juga dimiliki oleh keluarga Grossman.

Penyewaan lesen teksi sebenarnya menyalahi undang-undang bandar itu. Untuk mengatasi masalah ini, Grossman akan memaksa pemandu meletakkan nama pemilik kereta pada geran dengan nama syarikat Grossman, walaupun sebenarnya ia dibeli sendiri oleh pemandu. Ini untuk memastikan nama kereta dan nama lesen teksi adalah sama. Tiada satupun lesen yang dimiliki oleh Grossman dan keluarganya menggunakan nama mereka sendiri, sebaliknya di atas nama syarikat.

Pemilik-pemilik lesen teksi lain termasuklah seorang juruterbang, seorang doktor gigi, pelabur-pelabur yang tinggal di Florida dan Israel, dan pewaris-pewaris lesen setelah pemegang asalnya meninggal dunia. Masalah yang tercipta daripada sistem lesen teksi amat sukar untuk digambarkan. Sekurang-kurangnya 30% pendapatan yang dijana daripada industri ini akan dimiliki oleh orang-orang yang tidak berbuat apa-apa melainkan memerah duit keluar daripada penyewaan lesen teksi mereka.

Bandar Toronto Bertindak


Selepas kisah yang ditulis oleh Peter Cheney didedahkan kepada masyarakat umum, Toronto mengambil keputusan untuk bertindak. Ahli politik bercadang untuk memansuhkan sistem berkenaan, tetapi pemegang lesen mengugut untuk menyaman dewan bandaraya mengikut harga lesen mereka. Pemegang lesen memberi alasan bahawa birokrat Toronto telah membenarkan sistem itu dibangunkan, walaupun secara teknikalnya ia melanggar peraturan. Penyelesaian kedua-dua belah pihak mungkin mencapai sehingga harga setengah bilion dolar pada masa itu.

Akhirnya, dewan bandaraya mengambil keputusan untuk memperkenalkan lesen Ambassador, yang hanya boleh digunakan oleh pemandu, dan tidak boleh disewakan. Pengenalan lesen ini mengurangkan nilai lesen standard secara tidak langsung. Tidak berapa lama kemudian, pemilik lesen Ambassador mula meminta dewan bandaraya menukar lesen mereka menjadi lesen standard, yang akan memberi mereka durian runtuh sekiranya permintaan mereka berjaya.

Dan akhirnya, Uber mula menapak di Toronto. Uber datang sebagai penyelesaian yang mengikat industri teksi Toronto.

Di Antara Uber Dan Teksi

Sebagai perbandingan, Cheney menaiki kedua-dua perkhidmatan – Uber dan teksi Toronto.

Selepas install aplikasi Uber, skrin beliau menunjukkan beberapa buah kereta Uber ada berhampiran. Aplikasi itu memberitahu kenderaan Uber berada pada jarak hanya lima minit daripada beliau. Setelah membuat pilihan, aplikasi itu mengumumkan beliau akan dijemput oleh David, menggunakan kereta Acura TSX.


David dan Acura tiba seperti dijadualkan. Kereta yang agak baru ini dihias dengan kemasan kulit lembu. Cheney mula bertanya tentang latar belakang David. David adalah seorang pelajar, dan membayar yuran pengajiannya dengan memandu untuk Uber. Proses menjadi pemandu Uber agak mudah – David pergi ke pejabat Uber, latar belakang dan keretanya diperiksa serta pembukaan akaun Uber.

Tambang terus dicas ke kad kredit. Uber mengambil komisen sebanyak 20 peratus, dan bakinya untuk David. David boleh bekerja bila-bila masa beliau mahu dengan meletakkan status 'Available' pada aplikasi Uber. Kadang kala, pendapatannya mencecah $1,000 (RM4,000) seminggu.

Dalam perjalanan pulang, Cheney memanggil Diamond Taxi. Seperti dijangka, pemandunya adalah seorang pendatang asing di pertengahan usia. Beliau telah bekerja dari pukul 6 pagi. Seperti pemandu-pemandu lain di bandar itu, kereta teksi itu bukan miliknya. Beliau menyewanya pada kadar $80 (RM320) selama 12 jam sehari. Pemandu lain menyewa kereta itu untuk shif malam pada harga $90 (RM360).

Sebahagian besar pendapatan pemandu akan digunakan untuk membayar lesen teksi. Pemandu teksi itu hampir menghabiskan shif 12 jam beliau, dengan hanya 2 jam tinggal untuk memandu. Cheney bertanya tentang pendapatan kasarnya hari itu. Pemandu itu memeriksa meternya dan menjawab, $109 (RM436).

Pemandu itu terpaksa membayar $80 sehari untuk sewaan lesen, belum ditambah lagi dengan perbelanjaan minyak. Pemandu itu menganggarkan untung bersih beliau pada hari itu adalah sebanyak $20 sehingga $40. Beliau berkata beliau kini mula menambah pendapatan dengan menjadi pemandu Uber dan membuat penghantaran barangan menggunakan teksinya.

"Kenapa tidak?" katanya. "Ianya mendatangkan hasil."

Uber beroperasi di 300 buah bandar di seluruh dunia. Ia telah membina satu perangkap yang besar dan baik, membawa seluruh dunia ke pintu perangkapnya walaupun ramai yang menentang.

Hakikat Industri Teksi

Selepas penulisan Chenney didedahkan, namanya dipalit dengan 1001 tohmahan oleh pemegang lesen teksi. Seorang wanita yang mewarisi dua lesen teksi daripada ayahnya, memanggil Chenney "komunis" kerana mensarankan sistem lesen teksi atau taxi plate dimansuhkan. "Ini adalah pasaran bebas," kata wanita itu.

Hakikatnya, sistem taxi plate Toronto bukanlah pasaran bebas. Ia menghadkan pasaran sebenar dengan memberi lesen hanya kepada beberapa individu atau syarikat terpilih. Mereka yang membeli lesen teksi pada harga beratus-ratus ribu dollar pun boleh mendapat pulangan sehingga 12% setiap tahun. Mereka yang mewarisinya pula, pulangannya adalah infiniti.

Di pihak yang lain, pemandu dan penumpang pula menanggung kesedihan akibat sistem yang tidak berkesan ini. Penumpang membayar terlalu mahal untuk menaiki sebuah kereta lama, manakala pemandu pula terperangkap di dalam satu sistem yang memeras majoriti hasil usaha mereka. Ramai yang menyamakan industri teksi Toronto dengan sistem feudal silam yang menekan golongan pertengahan dan bawahan.

Perniagaan teksi Toronto adalah perniagaan yang kejam dan menyedihkan. Berjuta-juta dolar telah masuk ke dalam poket pemegang-pemegang permit yang menggunakannya sebagai mesin pencetak duit. Pemegang permit berperang menentang pembaharuan. Sekarang mereka berperang menentang Uber. Tetapi kali ini, mereka menentang kuasa-kuasa yang mereka tidak boleh kalahkan – sistem yang adil untuk pemandu, keselesaan penumpang, pasaran terbuka dan "perangkap" yang lebih besar dan baik untuk semua.

0 comments: