Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, April 13, 2016

PERLUKAH ANDA MENGAMBIL AIR BERALKALI (ALKALINE WATER)

Sumber dribnusina.blogspot

 Amalan mengambil air beralkali (alkaline water) sudah lama diamalkan dan pelbagai jenis penapis air dan alat penionan dijual di pasaran untuk menghasilkan air beralkali. Rencana ini akan memberi sedikit maklumat mengenai air beralkali dan saya akan cuba menerangkan kepada anda kedudukan sebenar air beralkali ini dari sudut perubatan moden.

Seperti mana yang anda ketahui, air mempunyai pH tertentu supaya ianya menjadi air yang berasid, neutral ataupun beralkali bergantung kepada bahan-bahan yang terkandung di dalamnya. Ada bahan-bahan mineral yang menyebabkan air menjadi beralkali dan ada yang menyebabkannya menjadi berasid.

Nilai pH air ditentukan oleh keseimbangan di antara bahan berasid dan beralkali di dalam air. Jika bahan berasid melebihi bahan beralkali, maka air itu akan menjadi berasid. Jika kedua-dua bahan ini seimbang, maka air menjadi neutral. Air mentah dan air paip yang dirawat selalunya neutral.

Tahap pH ditentukan oleh nombor dari 0 hingga 14, di mana pH kurang dari 7 adalah asid, manakala pH 7 neutral dan pH yang lebih dari 7 dikatakan alkali. Apakah pH yang sesuai untuk air minuman? Tajuk ini sedang hangat diperdebatkan. Ada yang mendakwa meminum air beralkali mempunyai khasiat yang banyak untuk kesihatan badan. Adakah dakwaan ini benar?

Air beralkali selalunya mempunyai pH 8-9 dan dijual di pasaran di dalam pelbagai bentuk. Air beralkali ini dihasilkan melalui tindakan elektrolisis ataupun pengionan (ionizer) di mana aliran elektrik digunakan untuk memisahkan molekul air kepada ion-ionnya iaitu ion hydrogen yang berasid dan ion hidroksid yang beralkali.

Katod (catode) yang bercaj negative akan menarik ion hydrogen (bercaj positif) dan persekitaran katod ini akan menjadi beralkali (sebab ion hidrogen sudah ditarik kepada katod). Manakala anod (anode) pula yang bercaj positif akan menarik ion hidroksid sehingga air di sekelilingnya menjadi berasid. Inilah konsep bagaimana air yang beralkali dan air yang berasid dihasilkan.

Di dalam mesin penapis ini, kedua-dua jenis air ini boleh dipisahkan. Malah bahagian air yang neutral juga dapat dipisahkan. Persoalannya adakah air beralkali ini mujarab, dapat menyembuhkan beberapa jenis penyakit seperti darah tinggi, diabetes, kanser dan lain-lain.

Rajah di atas menunjukkan proses elektrolisis yang menghasilkan air beralkali dan air berasid. Untuk memastikan proses elektrolisis berjalan dengan lancar dan berkesan, air yang digunakan untuk diproses perlu mempunyai bahan mineral dan logam  (Natrium, Kalsium, Magnesium dan lain-lain) supaya air tersebut lebih konduktif (conductive). Air tulin yang tidak mempunyai bahan mineral dan logam tidak akan cukup konduktif untuk menjalani elektrolisis. Jadi tidak benar jika ada yang mendakwa bahawa proses penghasilan air beralkali ini menggunakan air tulin.

 HAKIKAT KESEIMBANGAN ASID DAN ALKALI DI DALAM BADAN
 
Pada asasnya, badan manusia memerlukan kedua-dua medium iaitu asid dan alkali. Pendek kata badan manusia mempunyai bahagian yang lebih berasid dan yang lebih beralkali.

Contohnya pH cecair di dalam perut dan permukaan kulit manusia adalah berasid. Manakala usus kecil, pankreas dan jantung adalah bahagian badan yang lebih beralkali. Badan manusia mempunyai keupayaan untuk menstabilkan pH badan sehingga ianya menjadi tetap dan tidak mengalami perubahan yang besar, contohnya pH darah di antara 7.35-7.45. Badan menggunakan ginjal, usus, pankreas dan pernafasan yang berfungi untuk mengstabilkan pH darah.

Jadi hakikatnya kita tidak mampu untuk mengubah pH ini sesuka hati dari luar kerana apa sahaja keinginan kita untuk membuat perubahan ini, badan akan tetap bertindakbalas secara semulajadi sehingga pHnya kekal pada julat yang normal. Maksudnya badan telah diprogramkan untuk berupaya membuat kawalan diri secara automatic ataupun auto-regulation di dalam mengawal nilai pH.

Salah satu contoh bagaimana badan mengawal pH adalah melalui ransangan “chemoreceptors” dan pernafasan. Proses mengawal kestabilan pH ini sama macam alat pengapung air di dalam tangki air, apabila air kurang di dalam tangka, pengapung pun akan turun dan air pun masuk ke dalam tangki. Apabila air di dalam tangki penuh, pengapung ini akan menutup lubang air dan menghentikan aliran air masuk ke dalam tangki. Apabila pH darah menurun disebabkan oleh meningkatnya kandungan ion hidrogen, kemoreceptor di bahagian otak akan menghantar maklumat kepada otot pernafasan supaya pernafasan anda menjadi lebih cepat.

Apabila pernafasan lebih cepat, lebih banyak gas karbon dioksida dilepaskan keluar dan ini  akan mengurangkan penghasilan ion hidrogen supaya pH darah dapat distabilkan semula. Begitulah juga disebaliknya, proses ini berlaku tanpa disedari oleh anda.

ASID DAN JANGKITAN PENYAKIT

Asid diperlukan untuk tujuan membunuh mikroorganisma penyebab penyakit. Tidak benar jika dikatakan minuman alkali diambil untuk membunuh mikroorganisma di dalam perut kerana sebenarnya asidlah yang membunuhnya. Asid di dalam perut juga penting untuk menguraikan protin. Untuk pengetahuan anda, pH asid perut adalah di antara 1.5-3.5 dan nilai ini sentiasa dijaga supaya ianya dapat memanfaatkan manusia.

Jika asid perut menjadi terlalu berasid, sel-sel di lapisan kulit perut boleh mengeluarkan bahan beralkali dikenali sebagai bicarbonate, sebaliknya pula, jika pH cairan perut terlalu tinggi, kadar pengeluaran bicarbonate ini akan terencat. Apabila kita mengambil makanan, asid perut akan membunuh pathogen ataupun mikroorganisma penyebab penyakit.

Bayangkan jika mekanisma ini tidak wujud, tentu manusia akan senang dijangkiti penyakit. Satu contoh terbaik mengenai kepentingan asid di dalam perut adalah bagaimana anjing liar dapat hidup walaupun memakan bangkai yang dijangkiti oleh kuman. Asid perut anjing liar mempunyai keasidan 10 kali lebih tinggi dari manusia dan asid inilah yang membunuh bakteria yang dibawa oleh bangkai.

Asid membunuh bakteria, manakala ada organisma yang memerlukan persekitaran beralkali untuk hidup dan membiak. Contoh organisma ini adalah sejenis kulat yang dinamakan candida albican. Di dalam keadaan berasid, kulat ini hidup tidak aktif dan asid ini dihasilkan oleh bakteria yang baik dinamakan normal flora. Normal flora inilah yang menjadi faktor penting mengawal pembiakan kulat candida.

Jika anda mengambil antibiotik dan membunuh bakteria baik ini, asid tidak dapat dihasilkan dan akibatnya persekitaran tersebut akan menjadi lebih beralkali. Persekitaran yang lebih beralkali ini akan menyebabkan kulat candida menjadi aktif dan membiak sehingga menyebabkan keradangan. Keadaan ini berlaku di dalam faraj seseorang wanita dan jika kulat candida menjadi aktif, faraj akan menjadi kemerahan, gatal dan keluar keputihan yang banyak. Jadi persekitaran asid ataupun alkali diperlukan oleh tempat-tempat tertentu di dalam badan anda.

ADAKAH AIR BERALKALI BOLEH MENGUBATI KANSER

 Kanser adalah sejenis penyakit kronik yang kompleks. Proses kejadian kanser berlaku disebabkan oleh banyak faktor termasuk faktor kelainan genetik dan pendedahan kepada bahan penyebab kanser ataupun karsinogen. Rawatan kanser juga kompleks dan tidak semudah yang difikirkan oleh orang awam.

 Adalah tidak benar mengatakan bahawa kanser tidak boleh membiak di dalam persekitaran alkali, malah kajian menunjukkan bahawa pH di dalam sel kanser lebih beralkali dari pH di dalam sel-sel yang normal. Sebab mengapa perkara ini berlaku adalah kerana sel-sel kanser tidak dapat menghasilkan asid laktik sepertimana sel-sel normal. Sebaliknya sel-sel kanser menghasilkan lactate yang lebih beralkali, sel-sel kanser sebenarnya tidak dapat bertahan dengan keasidan yang tinggi sehingga sel-sel ini mengeluarkan ion hidrogen dari dalam sel keluar di persekitarannya. Akibatnya persekitaran sel-sel kanser menjadi lebih berasid. Persekitaran luar sel-sel kanser yang lebih berasid ini bukan bermaksud sel-sel kanser menyukai asid tetapi ianya adalah akibat dari adaptasi sel-sel kanser untuk meningkatkan pH di dalam sel-sel mereka.

Pendek kata sel-sel kanser lebih mudah hidup jika pH mereka lebih beralkali. Sebenarnya sel-sel badan manusia yang normal tidak boleh hidup di dalam keadaan yang melampau samada terlalu beralkali (dikenali sebagai alkalosis) ataupun terlalu berasid (asidosis). Malah alkalosis lebih merbahaya kerana ianya lebih sukar untuk dirawat berbanding dengan asidosis. Apabila mengalami asidosis iaitu pH darah terlalu rendah, kaedah rawatannya bukan dengan meminum air beralkali sebab air ini akan masuk ke dalam usus dan tidak mampu untuk menukar pH darah disebabkan oleh faktor-faktor yang saya sebutkan tadi. Sebaliknya rawatan asidosis adalah dengan memberi cecair beralkali terus ke dalam aliran darah melalui infusi salur vena.

Tanggapan orang awam bahawa mengawal pH darah semudah meminum air samada air berasid ataupun beralkali sebenarnya berasaskan kepada kefahaman yang sangat cetik mengenai fisiologi manusia. Fisiologi badan manusia adalah sangat kompleks dan hanya boleh difahami jika ianya dipelajari dengan mendalam sepertimana yang dilakukan oleh pelajar-pelajar perubatan.

Malah mengikut sebahagian pakar kimia, jika air yang hendak digunakan untuk tujuan pengionan mengandungi garam iaitu NaCI (Natrium Klorida), proses elektrolisis akan menyebabkan gas hidrogen dilepaskan dan ion hidroksida akan bergabung dengan Natrium di katod menjadi NaOH untuk menghasilkan air beralkali (lihat rajah di bawah). Manakala di bahagian anod pula sebahagian ion Clorin akan dioksidakan untuk menjadi Klorin, jika Klorin in bergabung dengan ion Hidroksida yang datangnya dari katod, ia akan membentu asid Hipoklorus (hypochorus acid, HOCl) yang boleh dikeluarkan sebagai air berasid.

Asid Hipoklorus adalah asid lemah dan agen pengoksidan. Jika berlaku percampuran di antara Asid Hipoklorus (HOCl) dengan Natrium Klorida (NaCl), Natrium Hipoklorida (Sodium Hypochloride) boleh terbentuk. Untuk pengentahuan anda, Natrium Hipoklorida adalah bahan kimia yang terkandung di dalam Klorox !!. Di samping itu, Asid Hipoklorus juga pernah dikaitkan dengan keupayaan untuk menyebabkan mutasi bahan genetik di dalam DNA serta epigenetik dan berpotensi menyebabkan kanser. Asid Hipoklorus juga boleh menyumbang kepada pembentukan bahan kimia yang dikenali sebagai 5-Chlorocytocine yang dikatakan boleh merencat gene perencat kanser (rujukan 1, rujukan 2). Walaupun tiada bukti kukuh mengenai Asid Hipoklorus dan kanser ke atas manusia tetapi ini sudah cukup mematahkan dakwaan pengeluar air beralkali bahawa air beralkali dapat membunuh sel kanser, kerana di sebaliknya pula, air beralkali berpotensi meransang perubahan sel badan kepada sel kanser.

Air yang telah menjalani pengionan atau elektrolisis ini juga bukan anti-oksidan, malah seperti yang saya nyatakan di atas, terdapat bahan-bahan kimia yang terhasil dari proses ini sebenarnya adalah agen pengoksidan bukan anti-oksidan.Pendek kata proses elektrolisis ke atas air boleh menghasilkan bermacam-macam bahan kimia bergantung kepada kandungan mineral dan logam di dalam air yang hendak diproses.
Proses elektrolisis ke atas air yang mengandungi garam ataupun Natrium Klorida. Asid Hipoklorus dihasilkan untuk menjadikan air berasid,manakala Natrium Hidroksida pula akan membuatkan air menjadi beralkali

BAGAIMANA MENGUKUR pH BADAN ATAU DARAH
Seperti yang telah saya sebutkan tadi, pH di dalam badan manusia berbeza-beza mengikut organ dan tisu. Ada organ yang lebih berasid, dan ada organ serta tisu yang lebih beralkali. Perut contohnya mempunyai rembesan cecair berasid dengan pH 1.5-3.5. Untuk mengukur pH, anda perlu menggunakan alat pengukur pH.

Sampel dari cecair-cecair badan pada bahagian tertentu perlu diperolehi dan diuji. Jika ujian pH hendak dilakukan ke atas darah, maka sampel darahlah yang perlu diambil. Jika anda ingin mengukur pH di dalam perut, maka sampel cecair dari dalam perutlah yang perlu diambil dan diuji.

Adalah tidak benar bahawa nilai pH yang diukur melalui sampel air kencing dan air liur itu menggambarkan pH badan keseluruhannya kerana ianya hanya menilai pH pada sampel itu sahaja. Malah jika badan lebih berasid, ginjal akan mengeluarkan lebih banyak bahan beralkali untuk mengstabilkan pH, pada ketika ini jika ujian pH dijalankan ke atas air kencing, tentu nilai pHnya lebih tinggi (lebih beralkali), sedangkan ini tidak langsung menggambarkan pH badan ataupun darah. Jangan mudah terpedaya dengan tipu helah penjual alat penapis air yang menggunakan tektik mengukur pH air kencing dan air liur untuk menentukan tahap pH badan anda. Saya boleh katakan jika ini yang mereka lakukan, sebenarnya anda sedang diperbodohkan.

KEPERLUAN ASID DI DALAM BADAN

Badan memerlukan asid dan alkali kedua-duanya sekali di dalam keadaan dan organ-organ tertentu. Di dalam perubatan moden, tidak ada istilah badan anda lebih berasid, ataupun badan anda lebih beralkali.

Sistem badan kita dijadikan sedemikian rupa supaya ianya sentiasa di dalam keseimbangan asid dan alkali. Tanpa keseimbangan ini, anda tidak boleh hidup dan di dalam keadaan normal, badan anda berkemampuan untuk menstabilkan pH badan melalui mekanisma-mekanisma yang telah saya sebutkan tadi. Asid diperlukan untuk banyak fungsi badan seperti menjadi benteng melawan jangkitan penyakit. Banyak komponen-komponen badan manusia diperbuat dari asid, protin dibina dari asid amino, molekul DNA (yang membawa bahan baka/genetik ) dibina dari “deoxyribonucleic acid”.

Banyak mikronutrin-mikronutrin yang anda perlukan untuk kesihatan badan seperti vitamin C (asid askorbik) dan asid folik adalah juga asid. Pendek kata, anda tidak mungkin dapat hidup tanpa adanya asid.


PENDAPAT PAKAR SAINS DAN PERUBATAN TERHADAP AIR BERALKALI

Kebanyakan pakar-pakar perubatan dan ahli-ahli sains berpendapat bahawa setakat ini tidak ada bukti kukuh yang menyokong pengambilan air beralkali untuk kesihatan badan, lebih-lebih lagi untuk tujuan merawat penyakit-penyakit tertentu. Walaupun ada kajian yang dilakukan tetapi kajian-kajian tersebut tidak mempunyai kualiti yang tinggi dan bukan kajian “randomized control trial”, pengkaji-pengkaji ini melihat maklumbalas pesakit-pesakit darah tinggi, diabetes dan lain-lain selepas mengambil air beralkali dan kemudian terus merumuskan hasil kajian mereka. Sepatutnya kumpulan “control” perlu diwujudkan dan sampel yang digunakan adalah cukup besar untuk mengaitkan hubungan di antara pengambilan air beralkali dengan kesihatan.

Setakat ini belum lagi ada kajian seumpama itu kerana sukar untuk dijalankan. Tetapi berdasarkan kepada fakta-fakta yang saya nyatakan di atas, majoriti ahli-ahli sains dan perubatan mempunyai pendirian bahawa belum ada bukti kukuh yang meyakinkan bahawa amalan pengambilan air beralkali akan meningkatkan kesihatan badan, mencegah penyakit, merawat penyakit apatah lagi memanjangkan hayat seseorang. Jika pun ada manfaat dari pengambilan air beralkali ini, ianya mungkin disumbang oleh pengambilan air yang mencukupi, kebersihan air dan juga mineral-mineral yang terkandung di dalamnya. Ramai doktor dan saintis berpendapat dakwaan kemujaraban air beralkali oleh syarikat-syarikat pengeluar air ini tidak disokong oleh kajian yang berkualiti tinggi dan kita masih lagi kekurangan maklumat dari segi mudarat yang mungkin boleh dibawa oleh pengambilan air ini.

Apa yang paling dibimbangi adalah kesan kemudaratan jangkapanjang kesan dari pengambilan air beralkali bukan sahaja disebabkan oleh sifat kealkalian air, tetapi juga disebabkan oleh proses elektrolisis atau pengionan air ini bakal menghasilkan bermacam-macam bahan kimia/molekul lain bergantung kepada kandungan air yang digunakan dan juga proses pemisahan air yang dilakukan. Mengikut seorang Pakar Gastroenterologist yang juga bekas presiden American Society for Gastrointestinal Endoscopy, Dr.John Petrini, beliau berkata “There is no basis for any health claims at all (tidak ada langsung asas kesihatan yang didakwa)”. R.John Petrini berkata lagi :” After it is digested, food and water goes into the stomach and, no matter what pH it was when it entered and then ends up leaving the stomach at a pH of about 6.8, Dr. Petrini says. And no matter what you eat, your body has effective mechanisms to keep your blood in a narrow range between 7.35 and 7.45”. Air diserap terutamanya di dalam usus dan bukan di dalam perut. Apabila air atau makanan beralkali diambil dan sampai di perut yang sangat berasid, sifat alkali bahan-bahan ini akan dihapuskan dan apabila ia meninggalkan perut ke usus kecil, pHnya menjadi 6.8 seperti yang disebutkan oleh Dr.Petrini di atas. Kemudiannya apabila melalui usus kecil, kandungan isi perut tadi akan bercampur dengan rembesan alkali dari pankreas.

Kesimpulannya, semua jenis air yang anda ambil tidak kira berapa nilai pHnya akhirnya akan menjadi air beralkali apabila masuk ke dalam usus kecil. Malah ada juga pakar-pakar yang berpendapat jika air beralkali yang diproses melalui elektrolisis ataupun pengionan, ion hidroksida yang dihasilkan boleh bergabung dengan mineral seperti Magnesium, Kalsium dan lain-lain untuk membentuk bahan (Magnesium hidroksida, Kalsium Hidroksida) yang berpotensi memudaratkan badan jika di dalam kuantiti yang banyak.

ADAKAH MANFAAT MEMINUM AIR BERALKALI?

Mungkin terdapat manfaat pengambilan air beralkali jika ianya dihasilkan dengan kaedah bersih dan mengekalkan bahan-bahan mineral yang ada. Walau bagaimanapun manfaat yang dibawa oleh pengambilan air beralkali ini lebih kepada tabiat mengambilan air yang mencukupi (memulihkan hidrasi badan), kandungan mineral yang ada di dalamnya dan bukan disebabkan oleh pH air berkenaan. Terdapat ahli-ahli sains yang cuba merationalisasikan manfaat air beralkali ini (walaupun bukan berasaskan kepada bukti saintifik yang kukuh) , di antaranya adalah seperti berikut:

1.   Mungkin ianya boleh memperbaiki kesihatan usus melalui keupayaan air itu untuk mempunyai potensi oksidasi-reduksi negative yakni menjadi agen reduksi (negative Oxidation-Reduction Potential). Mungkin dengan ciri-ciri ini ia boleh membantu melindungi usus dari mikroorganisma yang berbahaya. Walau bagaimanapun keupayaan membunuh bakteria bukan semestinya baik kerana terdapat bakteria baik yang mengawal usus dari pembiakan bakteria ganas. Jika bakteria baik ini dihapuskan, akan berlaku pembiakan bakteria ganas yang menyebabkan penyakit.

2.   Golongan ahli sukan lasak mungkin satu golongan yang dapat mengambil manfaat dari pengambilan air beralkali ini, menurut pendapat pakar, senaman yang lasak menyebabkan badan mereka menghasilkan banyak asid. MUNGKIN air beralkali dapat membantu. Inipun hanya andaian sahaja kerana di dalam air beralkali tersebut terdapat mineral-mineral yang boleh membantu meningkatkan kecerdasan badan dan peluang mengambil air yang mencukupi untuk memulihkan kecerdasan badan.

3.   Hasil kajian pernah diterbitkan mengenai kesan meminum air beralkali dengan pH 8.8 oleh haiwan, di mana pada pH 8.8 ini enzim pepsin dapat direncatkan, enzim ini bertanggungjawab menyebabkan penyakit acid refluk (reflux acid ataupun reflux oesophagitis). Walau bagaimanapun  ini adalah kajian makmal ke atas haiwan dan bukan kajian ke atas manusia. (klik di sini)

4.   Ada juga kajian kecil yang tidak berkualiti (bukan randomized control trial) yang melapurkan meminum air beralkali memperbaiki kesihatan pesakit darah tinggi, diabetes dan hiperkolestrolemia (berlebihan kolestrol). Kajian ini adalah kajian yang kecil dan didakwa kajian preliminari (awal). (klik di sini) 

KESIMPULAN

Kefahaman mengenai keseimbangan asid-alkali di dalam badan manusia perlu dimiliki oleh anda jika anda ingin memahami tajuk yang diperbincangkan di dalam rencana ini. Badan manusia berupaya mengawal pH di dalam darah dan lain-lain tisu serta organ secara semulajadi dan pH yang dikekalkan bergantung kepada organ-organ, ada organ yang perlu lebih berasid dan ada yang perlu lebih beralkali. Tidak tepat mengatakan bahawa anda menjadi lebih berasid apabila mengambil makanan berasid dan menjadi lebih beralkali bila mengambil makanan atau minuman beralkali. Badan anda sentiasa mampu mengekalkan julat pH yang optima untuk fungsi badan melalui sistem kawalan keseimbangan asid-alkali badan yang sangat cekap, tidak kira apa jenis makanan atau minuman yang anda ambil. Apa yang memudaratkan (sangat jarang berlaku) adalah apabila badan anda gagal mengawal keseimbangan asid dan alkali badan  sehingga pH darah anda terlalu berasid dikenali sebagai ASIDOSIS (contoh: komplikasi Diabetes yang tidak terkawal dikenali sebagai “Diabetic ketoacidosis”)  ataupun terlalu beralkali dikenali sebagai ALKALOSIS (contoh: penyakit paru-paru, hiperventilasi dan penyakit hati). Kedua-dua asidosis dan alkalosis memerlukan rawatan intensif di hospital kerana kedua-duanya boleh mengakibatkan kematian.

Daripada apa yang telah diterangkan di atas, jelas bahawa setakat ini belum terdapat bukti saintifik yang kukuh untuk menyokong amalan pengambilan air beralkali untuk tujuan kesihatan. Orang-orang awam perlu berhati-hati apabila didekati individu-individu yang mendakwa pakar kerana ramai pakar-pakar yang mementingkan imbuhan material lebih dari memperjuangkan fakta yg sebenar. Untuk menjaga kesihatan badan, mencegah dari penyakit kronik dan memanjangkan hayat, anda hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat, mempunyai berat badan yang unggul, mengurangkan stres, melakukan ujian saringan kesihatan dan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Mengamalkan gaya hidup sihat bermaksud mengambil makanan yang seimbang, mengambil air yang mencukupi (air biasa pun sudah memadai), bersenam, mengamalkan aktiviti seksual yang sihat, tidak merokok, tidak mengambil alkohol, tidak mengambil dadah dan mendapatkan berat badan yang unggul (mengelak dari menjadi obes). Jika anda sudah menghidapi penyakit-penyakit kronik, di samping mengamalkan gaya hidup sihat di atas, dapatkan rawatan dari doktor, ambil ubat secara tetap, jalani rawatan susulan dan lakukan ujian kesihatan yang berkala.

Secara peribadi, saya berpendapat jika anda ingin mengambil air, ambil air yang bersih dari pencemaran, neutral (ataupun sedikit beralkali dgn pH kurang dari 8) dan mempunyai mineral di dalam julat yang dibenarkan. Ciri-ciri air ini ada pada air paip yang dirawat, air telaga atau air mata-air yang bersih (termasuk air zamzam) dan juga air mineral biasa yang harganya RM1 satu botol. Kata kuncinya adalah MENGAMBIL AIR SECUKUPNYA DAN ELAKKAN DARI DEHIDRASI (rujuk di sini bagaimana mengambil air yang mencukupi). Sila baca rencana tulisan saya mengenai alat penapis air di sini. Anda boleh menjimatkan banyak wang anda jika anda menimba ilmu dan faham mengenai air serta bagaimana mengambil air dengan betul.


Pandangan ini adalah pendapat peribadi dan tidak mewakili mana-mana institusi ataupun pertubuhan.

Baca Seterusnya......

Nak Pandai Tulis Esei BI, gunalah Teknik Salin Karangan BerVISI

Sumber rahsiapandaibi.blogspot.my
 

"Boleh Pandai Menulis Esei BI dengan hanya menyalin karangan?".........TAK CUKUP! Tak cukup sekadar nak menyalin esei orang lain.....PERCAYALAH!

Teknik Salin Karangan BerVisi Memantapkan Penulisan Pelajar

Teknik ini AMAT BERKESAN!

Saya yang menciptanya.

Tapi Allah yang memberi ilham kpd saya

Jadi saya amat berbesar hati sekiranya sesiapa pun nak gunakan teknik ni di sekolah atau pusat tuisyen atau home tuition

Gunalah

Asalkan anak2 kita lebih bijak menulis sama ada BM atau BI!

p/s: Kalau anda dah dengar tentang Teknik ni, gunakanlah. Cubalah dgn anak2.Jangan biarkan sahaja. Sharelah dengan rakan2. Sebarkan kebaikan. In shaa Allah ada pahala yang menanti....


Berbalik kepada persoalan/tajuk blog post yang ni .......Tak cukup sekadar nak menyalin esei orang lain kalau nak pandai Penulisan BI

Pertama sekali, itu MYTH terbesar selama ini. Kita ingat kita suruh anak salin contoh essay je, dia akan jadi Pandai?

Eikkkkkkkk! It's not like that at all!

Kalau setakat 'menyalin contoh essays' dah boleh jadi Pandai dalam Penulisan BI, pastinya dah RAMAI pelajar yang pandai!

Tapi HAKIKATNYA masih ramai yang nak dapat 50% dalam essay mereka pun susah! Kenapa?

Hah, di sini saya akan kongsikan RAHSIANYA. Saya akan kongsikan Teknik Menyalin Essays yang BERKESAN.

Bukan setakat menyalin sahaja, tetapi ada STEPS/LANGKAH2 lain yang perlu dibuat.

STEP 1 : Sediakan writing pad atau test pad atau buku karangan yang besar tu. Kalau takde jugak, buku apa pun boleh. Asalkan besar. Buku tulis sekolah yang biasa tu TAKKAN JADI sebab itu menunjukkan cita2 kecik. Biar buku besar, jadi cita2 pun besar. Di sini lah BEZAnya Teknik saya dengan Teknik menyalin karangan yang biasa tu. Bagi saya, GIMIK tu penting. Biar buku nak salin tu BESAR, selari dengan hati kita yang BESAR nak tengok anak jadi pandai BI dan kesannya akan membuatkan semangat anak kita BESAR untuk berjaya. Bagi saya juga, saya cari DIARI LAMA2 kat kedai alatulis yang mereka dah tak boleh jual. Dah tak laku. So saya beli murah2 daripada tokey kedai. Dapatlah dalam RM4/5 untuk diari lama yang tebal lebih 300 m/s saiz F4. Saya namakan buku saya itu Big Blue Book (BBB) sebab kebetulan cover-nya berwarna biru.

STEP 2 : Beli buku Contoh Karangan/Essays untuk Tahun 4 5 6. Katalah takde duit nak beli buku ni, jangan delay niat nak gunakan teknik saya nak ajarkan ni. Guna buku apa pun boleh, buku aktiviti pun boleh, yang jenis ada Cadangan Jawapan bagi setiap soalan/aktiviti yang diberikan. Cari buku yang ada soalan Section C (kalau UPSR) dan tengok contoh jawapan. Mulakan dari situ.

STEP 3 : Minta anak salin sahaja word by word dari contoh karangan tu. OK, now di sini satu lagi perbezaan teknik saya dengan teknik orang lain. Di sini saya minta anak murid saya untuk salin AYAT DEMI AYAT, bukan words demi words. Maksudnya baca satu ayat, cuba masukkan dalam Memori Jangka Pendek dan salin ke dalam BBB tanpa melihat lagi pada ayat dalam karangan. Ulang sebut kuat2 setiap ayat sehingga siap salin. Pendeknya kemahiran belajar cara Visual, Auditori dan Kinestetik (VAKs) telah dilakukan serentak dalam teknik ini. Anak sepatutnya mengambil masa dalam 15 minit sahaja untuk salin karangan pendek seperti dalam contoh di atas. Jika lebih lama daripada itu bermakna anak kita mengelat!

STEP 4 : Now it gets more interesting. Pastikan anda dah belikan highlighter untuk anak. Pilihlah salah satu warna untuk highlight-kan VERBS yang ada dalam contoh essay yang baru sahaja disalin tadi. Kalau saya, saya suka warna OREN sebab warnanya terang dan jelas. Pada tahap ini, anak tidak boleh bertanya kepada anda yang mana satu verbs atau nak dapatkan kepastian sama ada sesuatu word itu verb ataupun tidak. Anda kena keras hati. Minta dia buat sendiri.

STEP 5 : Jangan tanda dulu jawapan anak. Now minta dia tuliskan semula apa yang dia tahu, dalam bentuk NOTA, tentang Apakah itu Verbs dan apakah JENIS2 Verbs. Barulah betul2 menguji pemahaman anak tentang asas grammar yang digunakan dalam karangan yang dia baru sahaja salin membuta tuli sebentar tadi. Now akan mula buat dia berfikir./ Sebagai contoh, gambar di atas, anak saya membuat notanya di bawah essay yang disalin. Not bad sebab hampir separuh jawapan yang saya nak, ada dalam notanya.

STEP 6 : Now baru tanda essay yang telah disalin. Kuncinya anda sendiri MESTI tahu yang manakah verbs dan yang mana bukan. Jika anda tak pasti, mudah sahaja, guna Cambridge Online Dictionary. Ini dictionary favourite saya. Memang terbaik! Nak perbezaan ejaan dan bunyi UK dan US English ada, nak contoh ayat ada, dan nak penerangan lanjut  tentang sesuatu perkataan pun ada! Jika anak anda telah warnakan verb yang betul, tanda BETUL dan jika tertinggal, anda bulatkan sahaja verb tersebut dengan menggunakan pen merah.

STEP 7 : Terangkan kepada anak KENAPA dia salah dan kenapa dia tertinggal beberapa verbs. Caranya adalah dengan mengajarnya tentang jenis2 verbs yang betul. Again, anda kena tahu apakah itu verbs dan jenis2 verbs. Selepas diajar, anak akan menjadi lebih confident, jadi baru boleh minta anak ulang STEP 1 hingga STEP 4 bagi essay yang baru. Contohnya seperti di bawah ini.


Dalam Essay #2 ini anak saya telah pelajari daripada kesilapan dalam Essay #1 tetapi masih ada yang tertinggal dan tersilap. Tidak mengapa. Jangan marah dia. Sebab dia BELUM TAHU. Sebab dia masih belum jelas apa itu verbs. Explain lagi. Bantu dia lagi. Akan ada keadaan di mana ada JENIS VERBS yang BARU, yang dalam Essay #2 ni baru muncul, seperti Root Verb selepas Infinitive 'To'. Maka ambil kesempatan ini untuk ajar dia ilmu baru. Ilmu bukan semuanya dapat diturunkan sekaligus atau pada satu masa sahaja. Jika begitu, pembelajaran tidak berlaku secara semulajadi. Hanya apabila proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara semulajadi, maka kesan pembelajaran akan dapat dimaksimumkan.

Kesilapan membezakan VERBS dengan ADJECTIVES itu perkara yang normal juga. Hanya kerana anak kita tidak jelas dengan Parts of Speech. Jadi keran ingatkan dia lagi dan lagi dan lagi.

Seterusnya, kita dah boleh sambung dengan Essay #3. Anda akan dapati bahawa ilmu anak semakin meningkat dalam usaha mengenalpasti verbs. Di samping itu, dia juga nampak semakin confident dengan dirinya kerana jauh di sudut hatinya dia mula berasa PANDAI. Dia mula merasakan betapa mudahnya BI ni.

Nah, itu baru sahaja 3 kali salinan. Bayangkan jika 100x, atau 300x atau 10,000x!

Agak2 anak kita akan PANDAI atau masih tidak pandai seperti teknik salin SAHAJA, macam yang kita minta mereka buat sebelum2 ini?

Anda tahu jawapannya.

Jadi, jom buat!

Please comment jika anda suka/tidak suka dan setuju/tidak setuju dengan apa yang saya tuliskan di sini.

Assalam.

Baca Seterusnya......

PAC tidak mampu sucikan nama Najib dari skandal 1MDB

Sumber MSO

Pembentangan laporan mengenai 1MDB oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di parlimen Khamis lepas tidak mudah menamatkan persoalan mengenai syarikat pelaburan strategi Kerajaan yang bermasalah itu. Persoalan skandal yang mengelilinginya tidak gampang dibuang. Ia seperti kekabu yang terkena air, tidak mudah untuk dianginkan semula.

Laporan itu dibahas hangat di Palimen kononnya secara terbuka dan adil. Apa diharap dengan pembentangan laporan yang disiapkan dalam tempoh setahun itu akan menghentikan tuduhan terhadap 1MDB amnya penglibatan Najib dalam skandal itu khususnya. Najib mahu "di"baptis"kan dengan laporan berkenaan.

Kenyataan salah seorang anggota PAC yang mengulas berdasarkan laporan PAC dibentangkan itu bahawa tidak ada kaitkan nama Najib dalam skandal itu diperbesar-besarkan dan dijadikan fokus utama oleh media PB. Walhal anggota dari oposisi itu hanya menyebut berpandukan apa yang dilaporkan sedangkan ada dokumen lain yang dikatakan disembunyikan.

Mungkin dalam dokumen lain yang tidak disertakan itu ada menyebut nama Najib? Salah satu dokumen yang tidak dikempilkan dalam laporan itu ialah laporan intrim Ketua Audit Negara dan juga laporan terakhir mengenai 1MDB. Begitu juga kegagalan atau keenganan PAC untuk memanggil sama pihak Bank Negara dan bekas CEO 1MDB Mohad Azem Abd Rahman dilihat suatu kecacatan laporan tersebut.

Bagi pihak Najib dan kerajaan serta partinya (Umno) mungkin berasa lega apabila Najib disahkan tidak terbabit dengan skandal yang didakwa ke atas 1MDB itu. Mereka akan memberi tahu rakyat dan menjadikan laporan PAC itu sebagai kitab suci (bukti) sahih bahawa Najib tidak terlibat. Pun begitu bagi pemimpin yang memahami mengenai isu itu dan macam mana laporan itu diperbuat, hanya menerima dimulut sahaja tetapi dalam hati.

Penerima BR1M dan one-off di kampung-kampung mungkin boleh menerima laporan itu seperti ikan lapam makan tahi di bawah pengkalan, sebab ia dicerita dalam tv dan surat khabar yang bagi mereka sumber itu sahih. Tetapi bagi rakyat, pegawai kerajaan, mahasiswa, pensiun dan cerdikpandai hanya tersenyum membaca laporan itu kerana mereka sudah arif mengenai bentuk eksploitasi dan penipuan yang mereka sendiri alami.

Pegawai kerajaan dan bekas pegawai kerajaan juga arif macam mana mereka menjadi "kuda hitam" oleh kuasa politik selama ini. Jadi laporan itu bukan mudah untuk mereka telan dan "mamoh" begitu sahaja.

Begitu juga bagi mereka (pemimpin) yang diberi upah dan "ufti" agar tidak menungkitkan isu itu, boleh tersenyum tetapi dalam hati tetap pedih. Mereka boleh mengatakan Najib baik, tetapi dalam masa sama juga akan mengatakan Najib juga jahat.

Sekiranya laporan PAC itu dapat memuaskan hati dan ia sebuah laporan yang akurat, sudah pasti tidak ada komentar terhadapnya. Apabila rumah sudah siap tetapi pahat terus berbunyi maknanya ada yang tidak lendik dan sempurna. Bukan niat pahat untuk mengkritik, tetapi pahat tahu mengenai seni dan hampir dengan proses pembinaan sebuah rumah.

Kini berbagai pihak mempertikaikan laporan PAC itu. Ulasan dari berbagai pihak, menunjukkan laporan PAC itu bukan memuktamadkan isu mengenai 1MDB. Ada juzu-juzu tertentu terus dipersoalkan. Misalnya mengenai kuasa Najib sebagai Pengerusi syarikat itu, yang boleh membuat arahan-arahan berhubung pengaliran wang ia menimbulkan keraguan macam mana Najib boleh dikatakan tidak terlibat dan dilepaskan begitu sahaja. Masakan sebagai pengerusi Najib hanya bersetuju tanpa membuat semakan?

Apakah sikap Najib dalam 1MDB sama seperti sikap Najib Razak di rumahnya yang boleh diarah menumbuk sambal?

Dan laporan itu tidak menyebut mereka memanggil beberapa pihak untuk disoal, termasuk PM selaku pengerusi juga menyebabkan kredibiliti laporan itu dipertikaikan. Kesimpulan mudahnya, laporan PAC mengenai 1MDB itu tidak akan memberhentikan pesepsi umum terhadap penglibatan Najib dalam skandal 1MDB yang membusukan nama negara di mata dunia itu.

Walhasilnya laporan PAC itu tidak menyelesaikan masalah. Najib tidak dapat menunjukkan kepada dunia dia sudah bersih dari dituduh terbabit dengan skandal melibat ratusan billion itu dengan laporan PAC itu. Laporan PAC itu hanya dimakan oleh golongan tertentu sahaja tetapi diketawa oleh golongan yang masak dengan maklumat. Laporan itu tidak lebih daripada formaliti yang perlu disiapkan untuk mengelakkan Malaysia dikatakan negara yang tidak bersistem dan jahil dengan prinsip-prinsip kenegaraaan.

Kedudukannya kini berhubung isu 1MDB samalah apa yang berlaku dengan kes pembunuhan kejam Altantuya Sharribuu. Walaupun tertuduh kes bunuh itu sudah didakwa dan dihukum, nanum persepsi umum bahawa kejadian itu ada sangkut paut dengan Najib gterus mengalir. Bila tersebut nama Altantuya pasti nama Najib juga disebut. Nah, begitulah nama Najib dengan 1MDB ia sangat sinonimas.

Baca Seterusnya......