Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Sunday, April 4, 2010

Chelsea Benamkan MU di Old Trafford


PENYERANG Chelsea, Didier Drogba meraikan kejayaan pasukannya membenam United di Old Trafford semalam. Chelsea menang 2-1.

MANCHESTER - Didier Drogba muncul wira apabila meledak gol kemenangan Chelsea bagi menewaskan Manchester United 2-1 dalam saingan Liga Perdana England di Old Trafford semalam.

Drogba yang masuk selaku pemain gantian pada separuh masa kedua, membuktikan ketajaman penyudahnya apabila menjaringkan gol pada minit ke-79.

Begitupun, jaringan yang dilakukan oleh Drogba itu menimbulkan kontroversi setelah dia dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid.

Sebelum itu, Joe Cole terlebih dahulu meletakkan The Blues di depan menerusi jaringannya pada minit ke-20.



United yang tersentak dengan dua gol Chelsea itu dilihat memperkemaskan jentera serangan mereka dan kemasukan penyerang muda, Federico Macheda ternyata membuahkan hasil apabila dia berjaya menjaringkan gol pada minit ke-81.

Namun jaringan daripada Mecheda itu dianggap sudah terlambat untuk United sekurang-kurangnya mengikat Chelsea dengan keputusan seri.

Hasil kemenangan itu, Chelsea berjaya merampas kedudukan selaku pendahulu liga dengan mengumpul 74 mata, dua mata meninggalkan United di tangga kedua.

"Saya memang kecewa dengan kekalahan ini. Ini semua disebabkan oleh mutu pengadilan yang kurang memuaskan sehingga kami tewas," jelas pengurus United, Alex Ferguson.

Dengan ketiadaan penyerang berbisa, Wayne Rooney, anak-anak buah Ferguson ternyata semakin tertekan ketika ini memandangkan mereka akan beraksi dalam saingan suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Old Trafford, awal pagi Khamis ini.

Pada aksi suku akhir pertama Rabu lalu, United tewas 1-2 di Allianz Arena, Munich.

"Biarpun kini kami terpaksa melihat Chelsea merampas kedudukan selaku pendahulu liga, kami tetap akan memastikan bahawa kami tidak akan tersingkir dalam saingan Liga Juara-Juara," kata Ferguson.

Sumber : Kosmo

Baca Seterusnya......

Saturday, April 3, 2010

APCO dan 1Malaysia

Oleh Anwar Ibrahim

Terima kasih kepada Tan Sri Speaker kerana memberi ruang kepada saya untuk memberi penjelasan mengenai peranan dan skop penglibatan firma perhubungan awam bernama APCO. Isu ini wajar diberi perhatian khusus kerana ianya bukan sekadar isu 1Malaysia atau 1Israel atau tohmahan yang dilemparkan kepada saya sebagai seorang agen Yahudi.

Namun demikian, isu-isu terbabit ditenggelami jika hendak dibandingkan dengan skandal dahsyat yang bakal didedahkan hari ini; yang tidak bersangkutan dengan kedudukan mahupun reputasi saya atau pun reputasi rakan-rakan saya.

Sesungguhnya keselamatan negara kita dalam bahaya. Isu ini membongkar politik kronisme yang membarah serta rundingan sulit pihak tertentu sehingga membelakangkan kepentingan rakyat dan negara. Tidak dapat dinafikan lagi kini wujud ancaman terhadap keselamatan nasional, maklumat strategik negara terdedah kepada agensi perisikan asing dan tercalarnya maruah umat.

Bagi mengelak sebarang keraguan penjelasan saya hari ini bukan sekadar muslihat politik atau tuduhan tidak berasas, Insya Allah, setiap kenyataan saya hari ini akan disokong dengan dokumen, rencana malah salinan perjanjian yang ditandatangani oleh pihak-pihak terbabit.




Sehingga kini Perdana Menteri belumpun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaan saya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit; peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan.

Selama ini kita hanya dimaklumkan bahawa penglibatan APCO adalah terhad, tetapi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kebelakangan ini menunjukkan penglibatan yang lebih menyeluruh dan membimbangkan.

Ini berdasarkan kepada jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri yang menyatakan:

"Kerajaan ada melantik Syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd untuk melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi kepada Kerajaan Persekutuan secara menyeluruh…APCO Worldwide juga disarankan menjayakan program untuk mempromosi dan meningkatkan imej Malaysia di luar negara."

Manakala bagi pihak APCO sendiri, mereka merumuskan penglibatan mereka seperti berikut:

"APCO's work has included communication support for a broad range of reform initiatives undertaken by the government of Malaysia, especially in the areas of creating jobs, promoting education, and strengthening delivery of services to the people."

Kenyataan tersebut sebenarnya membuka pekung serta memunculkan lebih banyak persoalan. Ini bukan syarikat perhubungan awam biasa yang sekadar menulis ucapan mahupun kenyataan akhbar ataupun bertindak melonjakkan imej Perdana Menteri walau itupun amat dikesalkan kerana ianya dilakukan menggunakan dana rakyat. Dilaporkan usaha ini menelan belanja sekitar RM 20 juta. Secara sedar atau tidak kenyataan APCO mengakui bahawa lantikannya adalah untuk membantu strategi komunikasi yang menyeluruh, bermakna firma tersebut terlibat secara langsung memberi bantuan komunikasi di dalam pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan. Ini bermakna, APCO terlibat secara langsung dalam mempengaruhi mesej yang disampaikan kepada rakyat dan saya akan terangkan dengan mendalam kenapa perkara ini sangat membahayakan kepada rakyat dan negara.

Pada 18 Mac 2010, APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan mereka dengan gagasan 1Malaysia, kononnya konsep itu wujud sebelum APCO dilantik sebagai firma perunding.

Penafian yang dibuat oleh APCO itu merupakan usaha mereka untuk mengelirukan kita akan tarikh sebenar firma tersebut terbabit dengan pentadbiran Perdana Menteri sekarang. Penafian tersebut menggambarkan bahawa ianya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pentadbiran Najib Razak, atau Najib sendiri, pembantunya atau para penasihatnya.

Sebuah portal berita telah melaporkan pada 28 Julai 2009 setakat mana penglibatan APCO dengan pentadbiran Perdana Menteri Najib.

Antara lain, dilaporkan bahawa perkhidmatan APCO ini diperkenalkan kepada Perdana Menteri oleh Omar Mustapha, penasihat Perdana Menteri yang juga teman lama YB Rembau dan rakan kongsi firma perunding Ethos Consultancy. Saya akan buktikan selepas ini bagaimana perkaitan di antara Omar Mustapha dan APCO sebelum pun APCO dilantik secara rasmi sebagai perunding kerajaan.

Walaupun yang diumumkan kepada negara dan rakyat bahawa 1Malaysia dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri peranan Ethos Consultancy tidak boleh diremehkan. Ternyata kebanyakan dari kita tidak menyedari hubungan akrab eksekutif Ethos dan APCO yang masih berterusan.

Sebab itu kita tidak hairan, sebaik sahaja Najib menjadi Perdana Menteri, Omar Mustapha dikhabarkan membawa masuk APCO menjadi perunding komunikasi kerajaan.

Malah, laporan berita tersebut dengan jelas menyatakan bahawa seorang penasihat dari APCO telah pun ditempatkan di pejabat Perdana Menteri sejak dari awal Perdana Menteri mengambil alih.

APCO juga dilaporkan terlibat secara langsung dalam menentukan strategi 100 hari pentadbirannya, termasuklah mesej dan dasar utama seperti 1Malaysia dan inisiatif yang lain.

Berdasarkan laporan tersebut juga pegawai-pegawai kanan kerajaan dikatakan tidak selesa apabila Perdana Menteri ingin menganugerahkan kontrak bernilai RM20 juta kepada APCO untuk meneruskan kerja-kerja rundingan kepada kerajaan. Kontrak itu dijangka dianugerahkan antara bulan Julai dan September 2009; iaitu selepas penglibatan individu dari APCO yang dibawa masuk pada tempoh awal Perdana Menteri mengambil alih.

Semua ini bukan saya yang kata, bukan Pakatan Rakyat yang cipta - semuanya telah pun dilaporkan sejak tahun lalu dan ianya belum pun dinafikan pihak yang dikatakan terlibat.

Sebab itu mengambil kira beberapa peristiwa atau contoh yang berlaku apabila kerajaan ditipu oleh penasihat-penasihat asing sehingga menyebabkan kerugian berbillion ringgit; atau diaibkan di peringkat antarabangsa; saya melihat episod perlantikan APCO ini sebagai satu lagi kelalaian yang boleh merugikan dan membahayakan negara.

Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengingatkan Perdana Menteri dan kerajaan untuk tidak mengulangi kesilapan dan kelalaian lepas apabila terlalu percayakan penasihat asing sehingga kita tidak memeriksa dengan tepat reputasi mereka serta penglibatan mereka sebelum ini. Apatah lagi perlantikan tersebut diselubungi misteri dan tanpa penelitian.

Dulu, mantan Perdana Menteri mengizinkan kerajaan melantik David Zaidner dari firma Marc Rich untuk menasihati agensi kerajaan dan Bank Bumiputra cuba memanipulasi pasaran timah sedunia sehingga kita kerugian besar. Tidak sewajarnya kita lupa skandal Maminco itu. Mantan Perdana Menteri ketika itu seolah-olah tidak meneliti dahulu rekod David Zaidner, yang diketahui umum tidak suka mengikut peraturan dan undang-undang di dalam amalannya.

Kemudian, episod yang membabitkan Jack Abramoff hanya untuk mendapatkan satu temujanji dengan Presiden Bush dalam tahun 2002 dengan membayar USD$1.2 juta tanpa memeriksa dahulu latar belakang Jack Abramoff. Dalam tahun 2006, kerajaan Malaysia dimalukan apabila Jack Abramoff didapati bersalah menipu dalam satu transaksi kewangan sehingga dipenjarakan dan pada masa itulah semua penglibatan kerajaan Malaysia didedahkan. Abramoff juga merupakan seorang pelobi yang terlibat dalam penipuan tanah kaum peribumi Amerika Syarikat (Red Indian) untuk tujuan pembinaan kasino. Perlantikan Abramoff juga dibuat dengan penuh kerahsiaan dan pasti tidak diketahui umum sekiranya Abramoff tidak diheret ke muka pengadilan di Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, mantan Perdana Menteri tersebut hanya memberikan tugasan yang spesifik kepada firma Marc Rich dan Jack Abramoff dan tidak melibatkan perjalanan jentera kerajaan yang menyeluruh.

Dalam konteks inilah, kita melahirkan kebimbangan kerana kenyataan kerajaan sendiri menjelaskan bahawa mereka memainkan peranan penting membentuk strategi komunikasi kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya yang melibatkan rakyat. Kenyataan APCO menyatakan:

"will work to assist in strengthening the government's online and other strategic communication capabilities to speed the delivery of accurate information to the media and public."

Sekarang, kebimbangan kita bukan sahaja latar belakang APCO, tetapi bentuk penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia dan apakah maklumat yang telah dikongsi oleh kerajaan dengan APCO.

APCO DAN MODUS OPERANDI

Tetapi sebelum kita meneliti dengan lebih dalam kenapa penglibatan APCO secara rapat dengan kerajaan merupakan satu risiko yang wajar kita elakkan, kita perlu meneliti dahulu modus operandi firma-firma seperti APCO.

Hanya dengan memahami modus operandi yang digunakan oleh APCO, baru kita boleh memahami kenapa penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia diselubungi misteri dan rahsia.

APCO memanglah sebuah firma hubungan awam bertaraf antarabangsa. Reputasinya digilap kerana penglibatan tokoh-tokoh yang ada kaitan dengan pentadbiran Amerika Syarikat atau pun ahli-ahli politik di Capitol Hill.

Pada masa yang sama, APCO juga menggunakan khidmat mereka yang mempunyai pengaruh di dalam bidang atau kerajaan masing-masing. Kalau kita lihat senarai Panel Penasihat Antarabangsanya, ahli penasihat APCO termasuklah beberapa tokoh diplomatik dan tokoh perisikan Israel.

Oleh itu, adalah penting untuk Dewan dan rakyat memahami bahawa reputasi APCO adalah sebagai sebuah firma pelobi. Apa fungsi firma pelobi di Washington?

Fungsi APCO di Washington

Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan atau seminar untuk membaiki imej sesebuah organisasi; terutamanya pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang buruk di mata dunia.

Jadi, fungsi utama mereka adalah untuk membaiki imej pemimpin-pemimpin (atau badan-badan) yang mempunyai rekod yang tidak baik. Saya akan senaraikan selepas ini contoh-contoh pemimpin sebegini; yang secara tidak langsung kini Perdana Menteri Najib telah mendapat penghormatan kerana tergolong dengan pemimpin-pemimpin sebegini.

Untuk menjalankan tugas ini, mereka juga perlu menjaga nama dan reputasi mereka sebagai firma perhubungan awam. Sebab itu ada beberapa perkara penting di dalam modus operandi mereka yang perlu kita fahami.

Pertama - mana-mana pihak yang mengambil APCO sebagai perunding akan menandatangani perjanjian. Salah satu bahagian utama di dalam perjanjian ini adalah mengenai perkara-perkara rahsia; dengan izin "Confidentiality" atau "non-disclosure".

Reputasi APCO sebagai firma pelobi banyak bergantung kepada kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan dan penglibatannya dengan badan yang melantiknya, terutamanya pemimpin-pemimpin yang berimej buruk ini.

Sebab itu, tidaklah sukar untuk Barisan Nasional ingin mengabui mata rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan dalam 1Malaysia, atau peranan sebenar dengan kerajaan Malaysia. Biar saya ingatkan rakyat Malaysia tidak mudah untuk diputarbelitkan.

Mereka faham bahawa adalah menjadi sebahagian dari tugas APCO, seperti yang termaktub di dalam perjanjian lantikan bersabit perkara-perkara sulit dan rahsia; untuk melindungi klien mereka dan secara langsung menafikan penglibatan.

Saya ambil contoh dua perjanjian lantikan yang melibatkan APCO. Satu yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dengan APCO bertarikh 4hb Ogos 2009 yang secara khusus memberi tugasan kepada APCO untuk membaikpulih imej kerajaan Malaysia. Ini mempunyai tandatangan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sendiri, iaitu Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad (gambar kiri) yang menunjukkan betapa dekatnya APCO dengan Perdana Menteri - sedangkan pada kebiasaannya perjanjian kerajaan hanyalah ditandatangani oleh pegawai-pegawai kerajaan sahaja.

Satu lagi contoh adalah perjanjian lantikan oleh Kerajaan Israel yang melantik APCO untuk menjalankan tugasan yang sama, bertarikh 9hb Januari 1992. Pada jangka waktu yang sama, Ehud Barak masih berkhidmat sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Negara Israel.

Kedua-dua perjanjian ini dengan jelas menghuraikan peranan APCO sebagai pelobi; yang antara lain perlu menyimpan rahsia-rahsia kerajaan yang diberikan kepada APCO dalam menjalankan tugasan. APCO juga tidak boleh mendedahkan maklumat kecuali diberi keizinan oleh kerajaan Malaysia. APCO malahan terlibat dengan apa yang dipanggil sebagai komunikasi strategik yang menyeluruh.

Kita berhak menuntut kerajaan dan Perdana Menteri datang ke Dewan Rakyat dan berterus terang mengenai perjanjian yang telah ditandatangani dengan APCO- terutamanya semua soalan-soalan yang telah saya timbulkan minggu lalu mengenai tugasan, bayaran, penasihat-penasihat yang terbabit dan pengaruh mereka setakat ini.

Berbalik kepada modus operandi yang kita tekankan tadi. APCO dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya menggunakan firma bersekutu (dengan izin "associates") di seluruh dunia. Selain Asero, firma bersekutu lainnya adalah Global Political Strategies.

Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral. Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO.

Jadi kontrak-kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di antara APCO dan kerajaan semata-mata. Kerajaan boleh sahaja melantik firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari APCO.

Kalau di Israel, lantikan dibuat melalui Asero Worldwide. Contohnya, kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International. Tetapi apabila kita meneliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan CEO APCO.

Oleh sebab itu, kita perlu berhati-hati dengan penafian oleh APCO bahawa ianya tidak terlibat. APCO sebagai sebuah firma mungkin tidak terlibat dengan idea gagasan 1Malaysia - Apa mungkin Perdana Menteri hadir ke Dewan Rakyat dan menyatakan secara tegas bahawa tidak ada mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO atau firma bersekutu dengan APCO atau penasihatnya yang terlibat dengan gagasan 1Malaysia? Kita pertikai gagasan penting bagi pentadbiran sekarang tidak tergolong dengan apa yang dikira sebahagian dari komunikasi yang menyeluruh.

Bolehkah Perdana Menteri menerangkan adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha; yang dikatakan bertanggungjawab membawa gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri; Omar Mustapha atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO? Perdana Menteri perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau mana-mana firma yang dilantik kerajaan; pernah melantik Mind Teams Sdn Bhd iaitu nama syarikat sebelum APCO secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur. Paul Stadlen yang kini mengetuai APCO di Kuala Lumpur merupakan individu sama yang menandatangani perjanjian bagi pihak Mind Teams Sdn Bhd dengan Kerajaan Malaysia. Antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus; CEO APCO dan invidu penting yang terlibat dengan akaun di Israel.

Perdana Menteri juga perlu menerangkan kepada Dewan; kenapa Omar Mustapha penasihat yang dipercayai Perdana Menteri dilaporkan membawa APCO untuk menasihati kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya 1Malaysia? Tidakkah ini menimbulkan persoalan mengenai perkaitan di antara Ethos, APCO dan 1Malaysia? Manakala itu Perdana Menteri beria-ia menonjolkan Omar Musthapa sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah Petronas walaupun ditolak pada mulanya oleh Lembaga Pengarah atas alasan gagal membayar biasiswanya.

Soalan-soalan ini perlu dijawab oleh Perdana Menteri, kerana kita tahu modus operandi APCO yang diselubungi degan rahsia dan melibatkan banyak individu yang bernaung dengannya tetapi menggunakan firma-firma yang berlainan.

REKOD APCO

Kebimbangan kita mengenai penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia banyak bersabit dengan rekod APCO dengan pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi manusia atau penyelewengan harta rakyat di seluruh dunia.

Ada dua aspek yang membimbangkan kita - pertama; APCO banyak memberi khidmat untuk memulihkan imej pemimpin-pemimpin sebegini yang menindas rakyat di negara masing-masing. Sehinggakan akhbar The Times of India menulis bagaimana APCO mempunyai diktator-diktator di dalam senarai pelanggannya. Rencana tersebut menyenaraikan antaranya:

"Adolf Hitler was a brilliant propagandist. Narendra Modi too believes in the power of image.

Which is probably why the chief minister hired a US lobbying firm which has serviced clients like former Nigerian dictator Sani Abacha and President-for-life of Kazakhstan Nursultan Abishuly Nazarbayev.

This Washington-based firm, Apco Worldwide, was hired by Modi sometime in August this year, in the run-up to an important Assembly election, to improve his image before the world community. Among its recent clients are Mikhail Khodorkovsky, a former Communist youth leader-turned-Russian billionaire with mafia links."

Keduanya; mereka yang terlibat dengan APCO mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan Israel serta ahli politik Amerika Syarikat yang mempunyai pandangan yang serong terhadap umat Islam.

Soalan saya kepada Perdana Menteri - jika ini reputasi dan rekod APCO yang diketahui umum; apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat melalui perlantikan APCO sebagai perunding kerajaan?

Apakah pentadbiran Perdana Menteri mengakui bahawa Perdana Menteri dan partinya UMNO adalah setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia; sehinggakan khidmat APCO yang selama ini membaiki imej diktator perlu digunapakai?

Saya ingin kupas kedua-dua aspek dan memberikan bukti bahawa berdasarkan rekod APCO selama ini, sewajarnya kerajaan tidak melantik mereka kecualilah kepakaran yang diperlukan kerajaan adalah kepakaran menggunakan wang untuk membeli pengaruh di Washington.

Dalam tahun 2007, seorang wartawan penyiasat yang terkenal di Amerika Syarikat bernama Ken Silverstein telah menyamar untuk melantik APCO mewakili kerajaan Turkmenistan. Beliau telah melaporkan hasil siasatannya mengenai peranan dan pendekatan APCO membantu membersihkan imej diktator-diktator dunia di dalam sebuah rencana yang disiarkan di dalam Majalah Harper’s. Berikut antara pendedahan majalah tersebut:

"Apco was the first firm i contacted, because it was a natural candidate to represent Turkmenistan: it has experience working not just on behalf of authoritharian regimes in general-the dictatorship of General Sani Abacha in Nigeria, for example, which employed the firm in 1995, the same year it hanged 9 democracy activists."

Pendedahan Ken Silverstein itu jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh APCO dalam membantu pemimpin-pemimpin yang begitu buruk rekodnya. Nama-nama yang disebut di dalam pendedahan tersebut termasuklah Barry Schumacher yang juga pernah terlibat di dalam tugasan lantikan kerajaan Israel pada tahun 1992 dan Jennifer Millerwise Dyck, bekas jurucakap CIA dan jurucakap Naib Presiden Dick Cheney; yang rekodnya di dalam perang di Afghanistan dan Iraq kita semua sedia maklum.

Sekiranya YB meneliti laporan tersebut, lebih membimbangkan adalah pendekatan yang diambil oleh APCO dalam menjalankan assignment itu.

Kepada kerajaan yang melantiknya, mereka dijanjikan pertemuan-pertemuan dengan pemimpin Kongres, dialog atau seminar dengan pelbagai institusi untuk memberi imej yang amat berlainan dengan apa yang berlaku.

Kepada pemimpin Kongres dan kerajaan Amerika Syarikat, mereka akan menjaja pertemuan-pertemuan ini sebagai peluang untuk mempengaruhi kepimpinan kerajaan yang melantik mereka sebagai perunding. Tidakkan ini satu amalan yang kurang beretika kerana ia seolah-olah mengambil untung di kedua-dua belah pihak? Bukankah ini satu isu yang besar apabila ada risiko campur tangan semata-mata untuk mendapatkan pertemuan-pertemuan di Washington?

Sebab itu saya akan terangkan selepas ini risiko-risiko yang telah ditanggung oleh negara apabila Perdana Menteri dicucuk hidung oleh Omar Mustapha dan juak-juak dari Ethos untuk melantik APCO.

Senarai pemimpin-pemimpin yang menggunakan khidmat APCO untuk membaikpulih imej diktator adalah panjang dan mengejutkan.

Selain Turkmenistan, Kazakhstan dan Azerbaijan; salah seorang klien APCO yang paling terkenal adalah bekas diktator Nigeria iaitu General Sani Abacha. Mengikut laporan-laporan BBC General Sani Abacha merupakan pemimpin berkedudukan No.4 yang paling korup di dunia. Semasa pemerintahannya, berbillion-billion dollar dilesapkan. Wang yang dilesapkan oleh orang kanannya sahaja berjumlah USD$2.5 billion.

APCO sebagai firma perhubungan awam yang terlibat dengan komunikasi strategi mempunyai misi untuk melunakkan imej Sani Abacha yang melesapkan wang negara.

Aspek kedua yang membimbangkan kita adalah kehadiran ramainya tokoh-tokoh yang berkait rapat dengan kerajaan Israel dan organisasi pertahanan negara itu termasuklah agensi perisikan sebagai perunding atau penasihat APCO.

Tidakkah tindakan Perdana Menteri melantik APCO, yang umum diketahui rapat dengan tokoh-tokoh kanan rejim Zionis, merupakan sikap kepura-puraan? Di depan rakyat, kerajaan Barisan Nasional bercakap mengenai perjuangan Palestin, mengutuk rejim Zionist malah merotan pesalah-pesalah rakyat marhaen yang lemah untuk membuktikan ia sebuah kerajaan yang menegakkan Islam - adil atau tidak itu belakang kira.

Tetapi secara senyap di belakang, tanpa pengetahuan rakyat; Perdana Menteri dinasihati secara terus dan dekat oleh sebuah firma yang ditunjangi oleh tokoh-tokoh kanan rejim Zionis? Regim yang memenjarakan Gaza dan menindas baik umat Islam dan mereka yang beragama Kristian di Palestin.

Secara khususnya, saya ingin membawa perhatian Dewan kepada tiga tokoh utama Israel di dalam APCO iaitu Doron Bergerbest-Eilon, Ittamar Rabinovich dan Shimon Stein. Ketiga-tiga tokoh ini adalah tokoh kanan rejim Zionis.

Doron Bergerbest-Eilon adalah Ketua Bahagian Keselamatan dan Perlindungan, Agensi Keselamatan Israel. Apa itu Agensi Keselamatan Israel? (Israel Security Agency)

ISA adalah nama rasmi kepada satu organisasi yang cukup busuk namanya di kalangan umat Islam; iaitu Shin Bet. Apa ini Shin Bet? Shin Bet adalah adik kembar kepada Mossad; iaitu agensi perisikan Israel. Bezanya - Shin Bet adalah agensi perisikan dalam negara dan Mossad adalah agensi perisikan luar negara.

Siapa lagi tokoh-tokoh kanan rejim Zionis di dalam APCO? Antaranya Itamar Rabinovich; Duta Israel ke Amerika Syarikat, salah satu jawatan terpenting dalam rejim Zionis. Ini adalah jawatan diplomatik paling kanan dan hanya tokoh paling kanannya sahaja yang menjawat jawatan ini. Begitu juga dengan Shimon Stein iaitu mantan duta Israel ke Jerman. Kedua-dua ini merupakan jawatan diplomatik kanan buat Negara Israel. Kedudukan mereka yang kanan dalam lingkaran diplomatik memperlihatkan keupayaan mereka untuk mempengaruhi serta melobi bagi pihak APCO sekarang.

RISIKO KEPADA NEGARA

Sebab itu kita menimbulkan isu ini kerana ia melibatkan keselamatan dan reputasi negara serta maruah umat.

Kita jelas mengapa kita bangkitkan isu ini. Ianya kerana kita mempertikaikan tindakan kerajaan menganugerahkan kontrak perkhidmatan puluhan juta ringgit kepada sebuah syarikat yang mana ada dari kalangan eksekutif kanannya pernah memegang jawatan tinggi dalam organisasi seperti Shin Bet dan Kerajaan Israel. Kita khuatir kerana pentadbiran Najib seperti tidak runsing dan gundah mengambil sebuah firma yang tercemar dengan rekod berkhidmat untuk para diktator dan petindas. Sikap membisu Perdana Menteri pastinya mengundang pelbagai kemusykilan serta persoalan.

Membicarakan persoalan seperti komunikasi menyeluruh, pastinya ia berkait rapat dengan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan dan banyak kementerian lainnya. Maknanya APCO mempunyai akses/terdedah kepada jaringan strategik serta penting dan pastinya memberi kesan kepada keselamatan negara. Melantik organisasi asing yang mempunyai rekod seperti APCO, lalu mengamanahkannya dengan tanggungjawab besar serta kemudahan sedemikan rupa pastinya menggadai kepentingan negara. Oleh kerana itu saya menggesa kerajaan agar segara membatalkan kontrak perkhidmatan dengan APCO dan menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat skandal yang memalukan ini.

*Teks ucapan Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang Parlimen, menjelaskan hubungan antara APCO dengan kerajaan Malaysia.



P/S : Just to see. what happen next.

Baca Seterusnya......

Bidadari Untuk Saidina Umar RA.

Umar R.A. adalah salah satu dari sahabat Rasulullah S.A.W. Semenjak ia memeluk islam kaum muslimin seakan memperoleh suatu kekuatan yang sangat besar. Sejak itulah mereka berani solat dan tawaf di Kaa'bah secara terang-terangan.

Umar R.A. adalah seorang yang warak, ia sangat teliti dalam mengamalkan Islam. Umar R.A. mempelajari surah Al-Baqarah selama 10 tahun, ia kemudian melapor kepada Rasulullah S.A.W, "Wahai Rasulullah, apakah kehidupanku telah mencerminkan surah Al-Baqarah? Apabila belum maka aku tidak akan melanjutkan ke surah berikutnya".

Rasulullah S.A.W menjawab, "Sudah...!"

Umar R.A. mengamalkan agama sesuai dengan kehendak Allah S.W.T. Kerana kesungguhannya inilah maka banyak ayat di Al-Qur'an yang diturunkan Allah S.W.T berdasarkan kehendak yang ada pada hatinya, seperti mengenai pengharaman arak, ayat mengenai hijab, dan beberapa ayat Al-Qur'an lainnya.

Rasulullah S.A.W seringkali menceritakan kepada para sahabatnya mengenai perjalannya mik'raj menghadap Allah S.W.T. Baginda S.A.W sering pula menceritakan bagaimana keadaan syurga yang dijanjikan Allah S.W.T kepada sahabat-sahabatnya.

Suatu hari ketika Rasulullah S.A.W dimik'rajkan menghadap Allah S.W.T malaikat Jibril A.S memperlihatkan kepada Baginda S.A.W taman-taman syurga. Rasulullah S.A.W melihat ada sekumpulan bidadari yang sedang bercengkrama. Ada seorang bidadari yang begitu berbeda dari yang lainnya. Bidadari itu menyendiri dan tampak sangat pemalu.

Rasulullah S.A.W bertanya kepada Jibril A.S, "Wahai Jibril A.S, bidadari siapakah itu?"

Malaikat Jibril A.S menjawab, "Bidadari itu adalah diperuntukkan bagi sahabatmu Umar R.A.


Pernah suatu hari ia membayangkan tentang surga yang engkau ceritakan keindahannya. Ia menginginkan untuknya seorang bidadari yang berbeda dari bidadari yang lainnya. Bidadari yang diinginkannya itu berkulit hitam manis, dahinya tinggi, bagian atas matanya berwarna merah, dan bagian bawah matanya berwarna biru serta memiliki sifat yang sangat pemalu. Kerana sahabatmu itu selalu memenuhi kehendak Allah S.W.T maka saat itu juga Allah S.W.T menjadikan seorang bidadari untuknya sesuai dengan apa yang dikehendaki hatinya".

Baca Seterusnya......

Mangkuk Yang Cantik, Madu Dan Rambut.

Rasulullah S.A.W, dengan sahabat-sahabatnya Abakar r.a., Umar r.a., Utsman r.a., dan 'Ali r.a., bertamu ke rumah Ali R.A. Di rumah Ali R.A. isterinya Syaidatina Fathimah R.Ha. putri Rasulullah S.A.W menghidangkan untuk mereka madu yang diletakkan di dalam sebuah mangkuk yang cantik, dan ketika semangkuk madu itu dihidangkan sehelai rambut terikut di dalam mangkuk itu. Baginda Rasulullah S.A.W kemudian meminta kesemua sahabatnya untuk membuat suatu perbandingan terhadap ketiga benda tersebut (Mangkuk yang cantik, madu, dan sehelai rambut).

Abu Bakar R.A. berkata, "Iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu, dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti sehelai rambut".

Umar R.A. berkata, "Kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu, dan memerintah dengan adil itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Uthman R.A. berkata, "Ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu, dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Ali R.A. berkata, "Tamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tamu itu lebih manis dari madu, dan membuat tamu senang sampai kembali pulang ke rumahnya adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Fatimah R.Ha. berkata, "Seorang wanita itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, wanita yang berpurdah itu lebih manis dari madu, dan mendapatkan seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain kecuali muhrimnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Rasulullah S.A.W berkata, "Seorang yang mendapat taufiq untuk beramal adalah lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, beramal dengan amal yang baik itu lebih manis dari madu, dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Malaikat Jibril A.S berkata, "menegakkan syiar-syiar agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri, harta, dan waktu untuk usaha agama lebih manis dari madu, dan mempertahankan usaha agama sampai akhir hayat lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Allah S.W.T berfirman, " Syurga-Ku itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik itu, nikmat syurga-Ku itu lebih manis dari madu, dan jalan menuju syurga-Ku adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Baca Seterusnya......

Cara Makan Mengikut Sunnah Nabi SAW.

Nabi SAW pernah bersabda ; “Barang siapa yang mengikuti sunnahku, bererti dia cinta kepadaku. Dan barang siapa yang cinta kepada ku, maka akan masuk syurga bersamaku.”

Kawan-kawan, sebenarnya banyak sekali kebaikan dan kelebihan jika kita mengamalkan sunnah. Ulamak kata, pada setiap amalan sunnah itu ada keberkatan. Siapa amal sunnah, dia akan mendapat 2 keuntungan. Apa keuntungan itu?

  1. Pahala yang berlipat ganda
  2. Keberkatan.

Baik, kali ini saya nak kongsikan dengan anda tentang sunnah-sunnah makan (setakat yang saya tahu). Bolehlah kita sama-sama amalkan yer.

1. Cara duduk ialah seperti duduk tahiyat awal tapi lutut kanan dinaikkan. Posisi duduknya ialah peha/lutut kanan dinaikkan manakala kita duduk pada bahagian kaki kiri. Faham?Hmmm..susah saya nak terangkan melalui tulisan ini. Apa2pun, cuba tengok gambar ni.


  1. Sebenarnya cara duduk sebegini banyak kebaikannya. Posisi ini dapat memberikan keselesaan pada perut dan ia menjaga keseimbangan komposisi ruang dalam perut kepada 3 bahagian. Iaitu 1/3 ruang adalah untuk makanan, 1/3 untuk udara dan 1/3 lagi adalah untuk air.

    Ada orang tanya saya, macammana kalau kita makan atas kerusi/meja? Macammana nak duduk cara sunnah? Hmm, kalau makan atas kerusi/meja, tak bolehla nak ikut sunnah. Sebab kalau ikut sunnah, makan kena atas lantai. Barulah boleh duduk cara sunnah ni.

    Kalau tanya saya, mana satu lebih baik, makan atas lantai ikut cara sunnah atau makan atas kerusi/meja, maka pastinya saya akan jawab, TENTUNYA CARA SUNNAH PALING BAGUS. Sebab di situ ada ganjaran PAHALA dan KEBERKATAN nya. So, terpulanglah pada masing-masing untuk amalkan.

  2. Makan menggunakan tangan. Bukan guna sudu / garfu, bukan guna chopstick. Tetapi guna tangan kanan. Ada kajian membuktikan bahawa, pada tangan / jari kita ni, ada enzim yang 10 kali ganda lebih banyak dari enzim yang ada dalam air liur. Enzim ini berguna untuk mencerna makanan.
  3. Makan dengan menggunakan 3 jari. Ada orang kata, macammana nak makan dengan 3 jari saja. Susah la kalau nak makan nasi. Nabi dulu takperla, baginda banyak makan roti dan buah-buah kurma saja.Hmmm, tentang itu, saya ‘no comment’.

    Pada saya, kalau nak amalkan tak susah mana. Orang-orang Cina pun diorang makan guna chopstick jer…2 batang kayu jer guna. OK jer apa. So, macammana boleh kata susah untuk makan guna 3 jari??

    Saya sarankan kepada mereka yang nak mula amal sunnah ini, gunakan 3 jari pada suapan pertama tu dulu. Lepas-lepas tu, bolehla makan macam biasa.

  4. Apabila nampak makanan, disunatkan baca doa “Allahumma baariklana………”
  5. Sebelum makan, disunnahkan untuk basuh kedua belah tangan dan juga berkumur-kumur. Ada banyak kelebihan bagi mereka yang mengamalkan perbuatan membasuh tangan dan berkumur ni.
  6. Sebelum menyuapkan makanan ke dalam mulut, sila baca doaBismillahiwa’ala barokatillah
  7. Lepas makan, kita disunnahkan untuk menjilati jari-jari kita yang digunakan untuk mengambil makanan tadi. Hikmah kepada perbuatan ini, kandungan enzim yang ada pada tangan / jari kita tadi akan makin cepat bercampur dengan makanan dan seterusnya memudahkan proses pencernaan.
  8. Makan dalam satu dulang yang sama secara berjemaah. Sebenarnya cara ini akan meningkatkan rasa sayang terhadap sesama kita.

    Kalau suami isteri boleh amalkan makan dalam satu dulang, insyaAllah kemesraan akan lebih dapat dirasai dan kita akan jadi lebih saling faham memahami dan saling bertolak ansur. Amalan makan satu dulang ini juga dapat mengelakkan sebarang pembaziran.

  9. Makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang. Haaa yang ni nampak macam senang jer nak amal. Tapi sebenarnya susah gak nak amal.

    Biasanya kita makan ni ikut nafsu.Selagi tak kenyang, selagi tu lah kita ‘melantak’. Nak-nak pulak kalau kita pi makan kat hotel-hotel atau restoran yang menyediakan hidangan cara ‘buffet’. Memang sampai nak pecah perut, baru la berhenti makan. Betul tak? Saya tak cakap pada orang lain ni, saya cakap kat diri saya sendiri…huhu

Sekian, semoga kita sama-sama dapat amal. Makan ikut cara sunnah Nabi SAW ni sangat-sangat penting sebenarnya. Sebab kita akan makan hari-hari. Sekurang-kurangnya 3 kali sehari.

Kalau kita makan tak ikut sunnah, maka kita hanya makan macam ikut adat saja. Macam lembu dan kambing makan. Makan sebab lapar dan sebab nak penuhi nafsu makan kita.

Tapi kalau kita makan ikut sunnah Nabi SAW, seperti yang di katakan tadi, kita akan dapat

  1. PAHALA
  2. KEBERKATAN.

Jadi, pilihan di tangan anda. Nak makan macam lembu dan kambing makan, atau nak ikut sunnah Nabi SAW?


Baca Seterusnya......

Gugurkan kes liwat Anwar, Kesatuan Inter-Parlimen

Kes liwat yang melibatkan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Anwar Ibrahim kini mendapat perhatian Kesatuan Inter-Parlimen (Inter-Parliament Union, IPU), yang mengusulkan tujuh resolusi, termasuk menggugurkan kes ini dan melantik pemantau untuk menghadiri perbicaraan seterusnya.

Jawatankuasa Hak-hak Asasi Manusia dari Perhimpunan Antara Ahli-Ahli Parlimen Sedunia membuat pengumuman dalam perhimpunan yang diadakan di Bangkok, Thailand semalam, bahawa mereka sebulat suara mengusulkan resolusi ini kepada Governing Council.

Pengerusi jawatankuasa tersebut, iaitu Ketua Pembangkang Dewan Senat Filipina, Senator Aquilino Q Pimentel, Jr berkata, "Memandangkan kes liwat Anwar (gambar kiri) baru-baru ini dikritik secara umum sebagai cubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya", maka jawatankuasa ini mengusulkan:

Pertama, memberi prihatin terhadap tuduhan dan perbicaraan kes liwat yang baru, yang mana kelihatan sarat dengan "kecacatan" sebagaimana yang berlaku dalam kes liwat pertamanya beberapa tahun lalu, namun beliau telah dibebaskan kerana tidak bersalah;

Keduanya, dalam keadaan di mana dua laporan perubatan telah menunjukkan bahawa tiada kesan "tusukan" (penetration), maka ia tidak seharusnya dituduh sebermulanya, dan harus digugurkan sekarang;

Ketiganya, anggota barisan pendakwa raya dalam kes liwat yang pertama, iaitu Abdul Gani Patail yang dituduh mereka bukti palsu untuk menganiaya Anwar, kini terlibat dalam kes liwat yang kedua. Malah, barisan peguam pembela Anwar Ibrahim dilarang untuk mendapatkan bahan bukti, menyebabkan mereka gagal membuat persediaan untuk pembelaan;

Keempatnya, dalam kes ini, kedua-dua pihak mempunyai hak yang sama rata. Pembelaan dalam perbicaraan yang adil amat penting. Seandainya pembela tidak diberi ruang untuk menggunakan haknya, maka apa-apapun penghakiman adalah cacat.

Kelimanya, meminta agar Setiausaha mengaturkan agar pemantau menghadiri perbicaraan seterusnya.

Keenam, meminta agar Setiausaha menghubungi pihak parlimen Malaysia;

Ketujuh,
menyeru agar jawatankuasa ini meneruskan siasatan kes ini, malah mengemukakan laporan dalam persidangan mesyuarat ke-123 yang akan diadakan pada Oktober tahun ini.

Tiga orang ahli parlimen Pakatan Rakyat yang menghadiri mesyuarat ke-122 ini adalah Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan-PKR), Sim Tong Him (Kota Melaka-DAP) dan Senator Mumtaz bt Md.Nawi (PAS). Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari pejabat Hee Loy Sian, kesemua perwakilan meluluskan resolusi yang diusulkan di atas, dengan pendirian "reserved" Malaysia turut dicatatkan.

IPU ditubuhkan pada tahun 1889, adalah sebuah badan antarabangsa yang berpusat di Geneva, Switzerland, dengan matlamat untuk menjalin hubungan antara parlimen sedunia ke arah demokrasi dan keamanan.

Negara Barat menyokong Anwar

Pada 11 Februari 2010, lebih daripada 50 orang ahli parlimen dan Senator di Australia telah menulis surat untuk meminta supaya institusi kehakiman Malaysia menggugurkan kes liwat Anwar.

Selepas itu, John Kerry, Pengerusi Senate Foreign Relations Committee, Amerika Syarikat juga mengeluarkan kenyataan, menggesa agar Malaysia memberi perbicaraan yang adil kepada Anwar Ibrahim. Beliau berkata, "Saya menyeru kerajaan Malaysia, terutamanya Perdana Menteri Najib untuk memastikan perbicaraan dan penghakiman yang adil terhadap Anwar."

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Negara Luar Australia, Michael Danby turut menuduh bahawa institusi kehakiman telah dipergunakan untuk mengusir Anwar dari politik, malah menganggap tuduhan ini mengejutkan pendukung demokrasi Asia, kerana semua orang Malaysia dan pakar undang-undang mengetahui bahawa Anwar tidak bersalah.

Selain itu, bekas Perdana Menteri Kanada, Paul Martin juga bersuara untuk membela Anwar. Kelantangan suara masyarakat antarabangsa telah menambah tekanan kepada kerajaan Najib.


Sumber : www.merdekareview.com

Baca Seterusnya......

Thursday, April 1, 2010

Pencuri Royalti Minyak Terus Membisu!

Oleh Mohd Sayuti Omar

ROYALTI minyak untuk Kelantan terus diperjuangkan. Ahli Parlimen Kubang Kerian, Sallahuddin Ayub (foto) tidak berputus asa terus memperjuangkan hak rakyat Kelantan itu supaya dikembalikan tanpa banyak alasan. Di Parlimen hari ini beliau mendesak supaya Perdana Menteri, Najib Razak memberi penjelasan berhubung penggunaan istilah wang ehsan yang ditukar dari istilah royalti minyak.

Kata Sallehuddin penjelasan Najib mengenai perkara itu perlu kerana kenyataan beliau di parlimen sebelum ini mengelirukan. Pada 4 November tahun lalu Najib telah menyebut wang royalti ditukar kepada wang ehsan.

Sallaheuddin serius meminta Najib memberi penjelasan itu, yang pada tanggapannya apa yang Najib lakukan itu satu penipuan atau pembohongan kepada dewan yang mulia dan tidak sepatut dilakukan. Sallehuddin memberi tempoh tujuh hari untuk Najib berbuat demikian.

Nampaknya ahli parlimen kini semuanya sudah mahir mengenai peraturan dan bidang kuasa mereka di parlimen. Semuanya berani mendesak tidak kira siapa termasuk ke atas Perdana Menteri. Sallahuddin menggunakan sepenuh kedudukannya sebagai ahli parlimen.
Apa yang dilakukan Sallehuddin itu wajar dipuji. Mungkin pengundi Kubang Kerian perlu menilai prestasi dan keprihatinan Sallahuddin yang membanggakan ini. Tidak salah rasanya kalau Sallehuddin terus dikekalkan di parlimen Kubang Kerian sepenggal lagi.

Ahli parlimen yang berhemah, berpandangan jauh dengan sedia mendengar pandangan dan teguran seperti Sallehuddin inilah yang patut disokong dan diberikan peluang berkhidmat seluas-luas kepadanya. Saya rasa pengundi Kubang Kerian khasnya dan rakyat Kelantan umumnya tidak salah memilih Sallehuddin sebagai ahli parlimen mereka.

Bagaimana pun di sini, ingin saya melahirkan pandangan saya sebagai bukan ahli parlimen ini. Saya tidak fikir Najib sedia memenuhi permintaan Sallehuddin itu walaupun ia satu keperluan disegerakan. Isu royalti minyak sudah menular ke akar umbi di Kelantan. Usul persendirian
Sallehuddin untuk meminta parlimen membincang masalah itu ditolak oleh Speaker.

Saya yakin Najib akan menikus untuk menjawab desakan Sallehuddin itu. Seperti mana kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Najib berhak sama ada hendak menjawab ataupun tidak desakan Sallehuddin itu. Ulasan Wan Junaidi Tuanku Jaafar itu menunjukkan Najib tidak akan menjelaskan perkara itu.

Dalam hal ini saya fikir, Sallehuddin tidak perlu sangat menyerang dan memaksa Najib untuk menjelaskan perkara itu. Sikap membisu Najib itu merupakan satu hukum alam ke atas perdana menteri itu. Apa yang Sallehuddin perlukan lakukan, kembali kepada pengkal dalam isu ini dengan melihat siapakah yang menukar istilah royalti itu kepada wang ehsan. Orang yang bertanggungjawab menukar istilah itulah yang perlu Sallehuddin serang.

Dari segi kronoloignya orang yang menukar istilah wang royalti kepada wang ehsan ini ialah bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad (foto bawah). Beliaulah yang bertanggungjawab mencuri wang royalti ini kemudian ditukar dengan wang ehsan. Pencurian atau penukaran ini bermula apabila kerajaan Terengganu dirampas Pas dalam pilihan umum 1999. Apabila Pas menjadi kerajaan di Terengganu secepat kilat pencurian wang royalti itu dilakukan dengan menukarnya kepada wang ehsan.

Tujuan penukuran itu tidak lain dan tidak bukan kerana hasad dengki dan busuknya hati Dr Mahathir seorang perdana menteri terhadap kerajaan Pas pimpinan Abdul Hadi Awang.

Jadi apa yang Najib buat di Kelantan hari ini ialah meneruskan kerja jahat yang dilakukan oleh Mahathir. Sebagai presiden Umno, Najib tidak ada pilihan lain selain meniru modus oprandi Mahathir untuk menindas kerajaan Pas Kelantan. Jadi orang yang perlu dipersalahkan dalam pencurian ini ialah Dr Mahathir yang kemudiannya diteruskan pula oleh Abdillah Badawi.
Bagi saya saya Sallehuddin harus mendesak Mahathir dalam perkara ini. Saya fikir sewaktu bekas PM itu merasmikan NGO perkakas kepada sebuah parti dua tiga hari lepas, beliau menjawab mengenai isu royalti minyak berkenaan. Sejak isu itu meletus beliau tidak pernah bercakap sepatah pun. Beliau tetap membisu dari mengupas isu berkenaan seolah ianya tidak ada kena mengena dengan beliau. Kenapa?

Sebagai sang maling Mahathir tidak sesekali akan bercakap mengenainya. Kenapa, sebabnya beliau sangat sedar apa yang beliau lakukan itu bertentangan dengan Akta Petroleum dan juga bertentangan dengan semangat federalisme.

Mahathir makin terus jadi tidak terkutip kerana bukan saja Tengku Razaleigh Hamzah yang mempertikaikan tindakan Najib mendera Kelantan itu, tetapi bekas TPM, Musa Hitam juga turut berpendapat royalti itu hendaklah diberikan kepada kerajaan Kelantan. Sikap dan pendirian Razaleigh dan Musa ini telah mencontengkan arang ke muka Mahathir.

Bila melihat perangai Mahathir saya jadi hairan kenapa NGO perkakas berkenaan boleh mengdundang Mahathir merasmikan mesyuarat agungnya sebagai mengganti Sultan Selangor yang membatalkan perkenannya untuk merasmi mesyuarat itu. Pada saya undangan itu kontras dengan moto NGO perkakas berkenaan yang kononnya hendak berjuang untuk Melayu dan menjaga hak bumiputera. Kalau mereka mengenali siapa Mahathir dan kalau NGO perkakas itu jujur untuk memperjuangkan Melayu NGO itu tidak akan undang Mahathir.

Apakah Mahathir pejuang Melayu? Apakah beliau membela Melayu? Orang selalu keliru mengenai pencapaian Mahathir ini. Kalau dari segi pembangunan infrastruktur negara memang beliau boleh dipuji. Itu pun boleh dipersoalkan. Tetapi kalau untuk Melayu ia boleh dibahaskan. Banyak kerosakan dan kemalangan menimpa bangsa Melayu disepanjang beliau menjadi PM selama 22 tahun. (Bab ini kita ulas kemudian).

Berbalik kepada usaha Sallehuddin tadi, elok kalau beliau desak penjelasan dari Mahathir, pencuri sebenar royalti minyak, bukannya dari Najib. Najib sebagai sebangsa dengannya (bangsa Umno) hanya mengikut apa yang bapak tirinya lakukan saja. Saya sebut bapa tiri kerana bapa sejati Najib ialah orang yang mahukan Petroleum digunakan untuk bangsa Melayu iaitu Tun Razak.

Sallehuddin boleh hantar surat untuk mendesak Mahathir membuat penjelasan. Ataupun lontarkan persoalan itu dalam parlimen biar anaknya, Mukhriz menjawab. Cuma saya ingin ingatkan Sallehuddin agar berhati-hati semasa melontarkan desakan dalam parlimen kerana pencium punggung Mahathir sudah pasti akan mempertahankan bekas PM itu bermati-matian


Sumber : DD

Baca Seterusnya......