Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Sunday, April 21, 2013

Najib lebih sayang Perkasa daripada Naib Ketua Wanitanya sendiri..

Diantara semua calon Bebas yang mengemukakan kertas pencalonan hari ini, Kamilia Ibrahim yang paling menonjol kerana kedudukannya sebagai Naib Ketua Wanita dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau yang sebelum ini melahirkan kekecewaan kerana tidak dipilih sebagai calon dan menyifatkan ianya sebagai penghinaan kepada Wanita UMNO, akhirnya memutuskan bertanding sebagai calon Bebas di Kuala Kangsar sebagai jalan keluar kepada sengsara yang ditanggungnya.

Sebaik mengesahkan bertanding, Kamilia bukan saja mengumumkan beliau keluar daripada UMNO dan melepaskan semua jawatannya, tetapi tentunya menjadikan jiwanya bertambah tenang selepas ini.

Jika beliau terus kekal di dalam UMNO, batinnya pasti lebih menderita lagi.

Keberanian beliau menunjukkan taringnya yang selama ini disembunyikan dengan bertanding Bebas, sekurang-kurangnya haruslah diberi pujian, lebih-lebih lagi di ketika yang sama UMNO dan BN memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada orang yang lain yang pernah menghina, menentang dan mempersenda UMNO.

Sebelum ini, Zulkifli Nordin yang melompat daripada PKR, diberi penghormatan oleh Najib bertanding atas tiket BN di Shah Alam kerana beliau dianggap rakan mesra kepada BN. Pemilihan beliau, walaupun tidak berapa mengejutkan melihat kepada tindakannya yang kerap membodek dan mengampu Najib serta aktif menyerang Anwar Ibrahim sejak keluar PKR, turut juga menyebabkan berlakunya pelbagai masalah seperti protes dan tutup bilik gerakan di Shah Alam yang ditandinginya itu.

Tetapi oleh kerana Najib begitu menyanjung dan menghargainya, malah Muhyiddin pula menyifatkan Zul Nordin sebagai calon yang "winnable", segala protes itu dibiarkan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri saja. Zul kekal bertakhta di hati Najib walaupun rekod lamanya menyerang dan mencerca UMNO begitu dahsyat sekali, termasuk tindakannya mengubahsuai lagu UMNO untuk mempersenda UMNO dan Mahathir.

Ramai ahli UMNO marah dan menganggap tindakan Zul Nordin mempersenda lagu UMNO itu perbuatan yang yang biadap dan kurang ajar, malangnya disisi Najib beliau tetap dianggap mulia.

Berbanding dengan Kamilia yang mencurahkan khidmat dan pengorbanan sejak puluhan tahun lalu dengan penuh setia dan jujur bersama UMNO, beliau tidak dianggap mulia dihati Najib berbanding Zul Nordin.
Photo: dMd
Begitu juga dengan Ibrahim Ali yang bertanding Bebas di Pasir Mas. Semua orang tahu rekod dan kelakuannya selama ini. Beliau telah melompat beberapa kali dan tindakannya keluar masuk UMNO umpama pergi ke tandas saja. Ketika di luar UMNO pula, serangan dan hentamannya terhadap UMNO bukan kepalang lagi. Bukan saja UMNO, semua pemimpin UMNO juga diserang dan dicaci-makinya.

Ibrahim walaupun tidak dipilih bertanding menggunakan tiket BN tetapi tindakan calon BN Pasir Mas, Johan Che Pa yang tidak mengemukakan borang penamaan calon untuk memberi laluan kepada Ibrahim bertanding satu lawan satu dengan Pas, jelas membuktikan calon BN itu memang diarahkan berbuat demikian.

Sejak seminggu lalu bila Ibrahim tidak dinamakan sebagai calon BN, sudah bertebaran SMS dan khabar angin yang mengatakan akan berlaku wayang kulit di Pasir Mas pada hari penamaan calon nanti iaitu dengan sebab-sebab tertentu calon BN dikatakan akan hilang kelayakan bertanding dan akhirnya Ibrahim akan menjadi calon Bebas yang disokong oleh BN.

Alasannya wayang kulit sedemikian terpaksa direka kerana kononnya Najib tidak mahu dilihat BN dikaitkan secara langsung dengan Ibrahim yang juga merupakan Presiden Perkasa demi menjaga hati pengundi Cina di seluruh negara.

Dengan terbukti wayang kulit itu menjadi kenyataan dan kekecewaan Ibrahim tidak dipilih sebagai calon BN hanyalah sandiwara saja, sekali lagi disisi Najib, watak seperti Ibrahim ini lebih bernilai dan menyentuh hatinya berbanding kesetiaan Kamilia terhadap UMNO selama ini.

Walaupun UMNO Kelantan dilaporkan kecewa dengan tindakan Johan Che Pa itu tetapi jika tiada arahan daripada Najib, mustahil beliau berani berbuat demikian. Tidak syak lagi Najib memberi arahan kepada Johan supaya jangan menyerahkan borang pencalonan demi untuk memberi laluan karpet merah kepada Ibrahim Ali.

Di mata kasar, tindakan Kamilia bertanding Bebas tidak menguntungkan dirinya. Meskipun sudah mengumumkan keluar UMNO, beliau pasti akan dipecat sekali lagi, selain kehilangan ramai kawan-kawan dan jika ada kontrak atau perniagaan dengan kerajaan, ia juga mungkin terjejas.
Untuk menang sebagai calon Bebas di Kuala Kangsar juga tampak sukar tetapi dengan rekod 2008 di mana BN hanya menang dengan 1400 undi, perjuangan calon BN di kawasan itu menjadi lebih sukar lagi. Dengan penyertaan Kamilia sebagai calon Bebas, BN hampir pasti akan kehilangan kerusi Kuala Kangsar itu pada kali ini.

Namun sisi yang lain, tindakannya Kamilia ini memberi mesej yang jelas kepada pengundi, bukan saja di Kuala Kangsar tetapi juga di seluruh Malaysia tentang hodohnya wajah UMNO dan tidak beretikanya Najib dalam mengemudi UMNO dan BN. Kesetiaan dan kepatuhan kepada pemimpin dan parti tidak akan mampu mengatasi kehebatan membodek, mengampu dan mencium tangan pemimpin. Mesej ini jika mudah difahami akan memberi kesan penolakan yang besar kepada BN dalam pilihanraya kali ini.-  Shahbudin Husin@nizar-coretanku.blogspot

Baca Seterusnya......

Ibrahim Ali seperti 'ayah' - kata Che Johan


Che Johan Che Pa - calon BN bagi Parlimen Pasir Mas yang tidak menyerahkan kertas pencalonannya pagi tadi - berkata beliau menarik diri bagi mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru, yang akan menyebabkan peluang BN meraih kerusi itu tipis.
   
"Saya mengambil langkah untuk menarik diri... lebih-lebih lagi saya akan bertanding melawan Datuk Ibrahim Ali yang juga semua orang anggap seperti ayah dengan anak, sebagai mentor politik.
   
"Kalau saya mengambil keputusan meneruskan juga maka kedua-dua kami akan terkorban kalah dalam pilihan raya kali ini," katanya.
   
Che Johan berkata walaupun berat hati untuk membuat keputusan sedemikian, namun langkahnya itu demi kepentingan BN dalam usaha merampas kembali Kelantan daripada kerajaan PAS.
   
Che Johan berkata beliau sedia berjumpa dengan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menjelaskan sebab beliau mengambil tindakan mengejut itu, dan  akan menjawab segala persoalan yang dibangkitkan nanti.

Beliau juga meminta supaya semua penyokong BN terus bekerja keras dan memastikan kerusi Parlimen Pasir Mas dimenangi oleh Ibrahim yang didakwanya 'rakan BN'.
   
Ibrahim pula berkata beliau terkejut dengan tindakan Che Johan menarik diri dan tidak menyerahkan borang pencalonan di pusat penamaan calon.
   
"Kedudukan ini lebih meyakinkan saya untuk memenangi kawasan itu di samping menumbangkan PAS di kawasan ini," katanya.
   
Ibrahim turut menafikan wujud konsprirasi di sebalik keputusan Che Johan untuk menarik diri.
   
"Saya difahamkan Che Johan hadir ke dewan penamaan calon dengan membawa borang dengan penuh persediaan cuma tidak menyerahkan borang sehingga tempoh penamaan calon tamat," katanya.
   
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan Che Johan yang dikenali sebagai 'anak buahnya' dalam politik, terhutang budi dan mahu  memberi laluan mudah kepadanya.
   
Ibrahim memenangi kerusi tersebut pada 2008 atas tiket PAS dengan mengalahkan calon BN Ahmad Rosdi Mahmad dengan majoriti 8,991 undi.- Bernama

Baca Seterusnya......

Bendera, ejekan dan seluar dalam di Kuantan

Hari penamaan calon biasanya penuh warna-warni yang memperlihatkan pelbagai bendera, slogan dan gimik.

Tetapi kali ini di Kuantan kali ini lain gayanya apabila sebahagian penyokong BN di Kuantan mengibarkan seluar dalam putih bersama bendera parti.

Babak itu berlaku pada jam 10.20 pagi di Dewan Wisma Sri Pahang di mana proses penamaan calon mengambil tempat dan ketika sebahagian penyokong BN mula beredar daripada tempat itu.

Ia kemudian menjadi bahan ejekan penyokong Pakatan Rakyat yang mengibarkan wang kertas RM50, secara tidak langsung menyarankan bahawa kumpulan itu "disewa" kerana tidak mampu menahan panas mentari pagi.

"Nak pergi dah sebab tak cukup duit ke?" tanya seorang penyokong Pakatan.

Soalan itu disambut dengan tampilnya beberapa penyokong BN menunjukkan seluar dalam lelaki berwarna putih yang disangkut di buluh, yang dilihat memperli Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang didakwa terlibat dalam skandal seks sebelum ini.

Selain itu, kelihatan juga seorang lelaki memakai seluar dalam di kepalanya.

Baca Seterusnya......

ROS hantar surat 9.30 malam 19/4/13, tak halang DAP guna lambang roket

KUALA LUMPUR, 20 APR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) terpaksa menghantar surat secara serahan tangan kepada DAP  jam 9.30 malam semalam untuk menyatakan bahawa ia tidak mempunyai halangan bagi DAP menyertai pilihan raya umum  menggunakan lambang roket.

Dua  pegawai ROS yang hadir ke Ibu Pejabat DAP semalam memberi alasan bahawa surat yang sepatutnya difaks tidak dapat dihantar lebih awal kerana mesin faks ROS tidak berfungsi.

“Adalah jelas mereka mengeluarkan surat itu setelah berdepan dengan tekanan masyarakat yang amat melemaskan. Apa pun, kami akan tetap dengan rancangan awal,” kata Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke ketika dihubungi media.

Surat yang ditandatangani Pendaftar ROS, Datuk Abdul Rahman Othman itu menyebut, “Pendaftar Pertubuhan setakat ini tidak mengambil keputusan untuk membatalkan pendaftaran Parti Tindakan Demokratik (DAP). Pendaftar Pertubuhan juga tidak mempunyai apa-apa halangan untuk DAP menyertai Pilihan Raya Umum ke-13 menggunakan simbolnya.”

Dalam perkembangan serupa, penamaan calon hari ini berjalan lancar dengan calon DAP diterima bertanding  menggunakan lambang roket. – Roketkini.com

Baca Seterusnya......

Saturday, April 20, 2013

Calon DAP guna logo PAS: Akhirnya Roket Mendarat Di Bulan – Nik Aziz


19 Apr: SAYA membaca kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi DAP, Karpal Singh pada petang ini bahawa calon DAP akan menggunakan logo PAS di Semenanjung Malaysia dan logo PKR di Sabah dan Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini. Ini kerana sehingga jam 3 petang hari ini, DAP belum mendapat sebarang respon penarikan balik surat penggantungan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan juga tiada tanda-tanda surat itu akan tiba.

Saya ingin melahirkan simpati kepada DAP di atas tragedi yang menimpa parti itu pada saat-saat akhir penamaan calon esok hari. Sudah tentu tidak dapat dibayangkan kesedihan yang melanda kerana terpaksa mengenepikan lambang rasmi yang digunakan sejak 47 tahun lalu. Isu logo sekalipun mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, tetapi ia melambangkan maruah dan harga sebuah perjuangan.

Daripada sudut yang lain, kesediaan DAP menggunakan logo PAS ini saya sifatkan sebagai detik bersejarah dalam perjuangan PAS sejak lebih separuh abad ia ditubuhkan. Dalam melayari bahtera politik tanah air, PAS dan DAP sering dilagakan oleh UMNO/Barisan Nasional (BN). Di hadapan bangsa Melayu, pemimpin UMNO menakut-nakutkan mereka dengan bahaya DAP dan begitu juga sebaliknya di hadapan bangsa Cina, mereka digembar-gemburkan dengan imej PAS sebagai taliban, radikal dan sebagainya. Natijahnya, Melayu Islam dan bukan Melayu terus hidup dalam keadaan syak wasangka antara satu sama lain.

Hari ini, benteng itu telah runtuh sepenuhnya. DAP tanpa takut-takut lagi telah merobohkan persepsi ini apabila bertindak berani memilih logo PAS untuk bertanding di kawasan yang diperuntukkan kepada mereka khususnya kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina. Saya kira, inilah saat di mana perjuangan PAS sudah tidak menjadi kegerunan lagi kepada bangsa Cina. Sekalipun ia masih belum diterima sepenuhnya, namun sedikit demi sedikit ia telah hilang.

Saya mengimbau kembali saat ketika Perjanjian Hudaibiyyah dimeterai antara Rasulullah SAW dan orang Musyrikin Makkah. Kabilah-kabilah Arab di sekitar Madinah yang masih belum memeluk Islam mengambil keputusan untuk bernaung di bawah naungan kerajaan Islam Madinah. Di saat itulah, sahabat Rasulullah SAW diuji dengan rasa terhina akibat melihat secara zahir bagaimana perjanjian itu berat sebelah. Namun kesabaran mereka segera diganjari oleh Allah SWT apabila perjanjian itu membuka peluang Rasulullah SAW menakluki kota Makkah apabila perjanian itu dilanggar di mana Bani Khuzaah yang masih belum memeluk Islam dan berlindung di bawah naungan Islam diserang oleh kaum Musyrikin.

Alhamdulillah, ketika UMNO masih menjaja keris tumpulnya merata-rata, perjuangan PAS sudah mula diterima di kalangan non muslim. Ketika UMNO main kayu tiga dengan perjuangan bangsa Melayu, PAS terus ke hadapan membawa misi dakwah dengan slogan PAS for All. Non Muslim di sana sini tidak lagi segan silu membawa bendera PAS dan sebaliknya tidak pernah kita saksikan mereka membawa bendera keris tidak bersarung milik UMNO.

Saya yakin, benih Islamphobia yang disemai UMNO semakin mati tunasnya. Keputusan DAP ini insya-Allah satu rahmat besar buat PAS. Ia sebenarnya rezeki buat perjuangan Islam. Mungkin UMNO/BN merasakan langkah ini bakal membantutkan gerak langkah Pakatan Rakyat, namun sesungguhnya ia mengandungi rahmat yang sangat besar. Jika Perjanjian Hudaibiyyah membuka jalan kepada pembukaan kota Makkah, maka tidak mustahil langkah kerajaan BN ini sedang membuka kepada pembukaan Putrajaya dan pembinaan Malaysia Baru. Tidak mustahil tarikh 6 Mei 2013 nanti, perayaan besar-besaran kemenangan rakyat akan berlangsung di seluruh negara menyaksikan keruntuhan BN.

Yakinlah keputusan ini membuka pintu sejarah yang akan dikenang zaman berzaman. Inilah saatnya di mana akhirnya roket berjaya mendarat di bulan!

Salam hormat,

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Baca Seterusnya......

Kenapa Hanya DAP, Kenapa ROS Tidak Bertindak Terhadap Umno?

Mengapa Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap Umno tetapi bercadang untuk mengambil tindakan terhadap DAP di saat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin hampir?

Ini kerana Umno boleh diisytiharkan sebagai parti haram kerana hampir 75 peratus daripada belasan ribu cawangan Umno di seluruh Malaysia tidak pernah didaftarkan semula dengan ROS sejak parti itu diharamkan pada Februari 1988.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, walaupun rakyat Malaysia telah memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Jalan Duta bagi mengarahkan ROS untuk mengambil tindakan terhadap Umno tetapi kenapa hanya DAP sahaja yang disiasat.

“Pada hari Selasa lepas, petisyen telah difailkan oleh sebilangan rakyat Malaysia di Mahkamah Tinggi Jalan Duta untuk mengarahkan ROS untuk bertindak ke atas Umno.

“Kerana Umno sebenarnya dialah sebuah pertubuhan haram.

“Mengikut Akta Pertubuhan 1966 bila mana-mana cawangan sesebuah parti tidak berdaftar, dengan sendirinya pertubuhan itu adalah haram dan wajib bagi ROS bagi bertindak,” katanya dalam satu sidang media di bilik gerakan Pas Putrajaya di sini hari ini.

Husam berkata demikian apabila memberi respons terhadap keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 17 Apr yang tidak mengikhtiraf jawatankuasa eksekutif baru DAP.

Keputusan tersebut telah menjejaskan kemampuan DAP untuk mempertandingkan calon di dalam pilihanraya umum ke – 13 (PRU 13).

Sebelum ini, Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin mendedahkan bahawa sebanyak 2,181 cawangan Umno di Kelantan termasuk di Tanah Merah, Jeli, Bachok, Tumpat, Kota Bharu adalah haram.

Menurut Badrul Hisham, melalui proses mahkamah, sebanyak 126 cawangan Umno di Tanah Merah didapati adalah cawangan yang tidak berdaftar dengan ROS.

Akan tetapi Umno Tanah Merah terus bermesyuarat dengan perwakilan daripada cawangan haram Umno (126 cawangan) dan perwakilan daripada mesyuarat haram tersebut telah menghantar perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno pada tahun itu (2008).

Husam berkata, Pas mengalu-alukan jika DAP mahu menggunakan logonya pada PRU-13 dan ini secara tidak langsung melambangkan persefahaman dan perpaduan di dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Kita sangat mengalu-alukan, tertakluk kepada pilihan strategi DAP.

“Mereka boleh menggunakan loga Pas ataupun PKR dan ini melambangkan perpaduan di dalam Pakatan,” ujarnya yang merupakan calon Pas bagi kerusi Parlimen Putrajaya.

Baca Seterusnya......

Thursday, April 18, 2013

Puhh Banyaknya Ketam

Jose Benedito, seorang warga Brazil menghabiskan masa sepanjang hari, malah seumur hidupnya dengan mencari ketam di kawasan berlumpur. Ini bukan kerja yang senang dan tak dapat pulangan yang banyak. 100 ekor ketam yang dijualnya berharga 11 dolar saja.






Baca Seterusnya......