BERAPA ramai antara kita menghabiskan semua ubat, terutama antibiotik, seperti diarah doktor setiap kali mengalami masalah kesihatan akibat jangkitan?
Biarpun doktor menekankan sesetengah jenis ubat perlu dihabiskan, biasanya ramai berhenti makan ubat apabila berasa semakin sihat walaupun baki ubat masih banyak.
Destinasi akhir baki ubat itu mungkin di rak peti sejuk atau lebih buruk, di dalam tong sampah. Namun di sebalik pembaziran ini, kita masih segera bergegas ke klinik untuk mendapatkan ubat setiap kali demam, sakit tekak, batuk atau selesema.
Ada pesakit, terutama ibu bapa, merasakan set ubat mereka tidak lengkap tanpa antibiotik sehingga mendesak diberi ubat berkenaan, walaupun ia sebenarnya tidak perlu. Malah, ada pesakit atau ibu bapa pesakit kecil yang hampa jika pulang dengan tangan kosong.
Memang, bukan semua masalah kesihatan akibat jangkitan perlukan ubat, terutama antibiotik, kata Pakar Perunding (Perubatan dan Endokrinologi) Pusat Perubatan Tropicana, Dr Rohana Abdul Ghani, kerana dalam keadaan tertentu jangkitan boleh dihapuskan oleh sistem imun kita.
Antibiotik adalah rawatan anti mikrob yang khusus untuk jangkitan bakteria dan digunakan sejak 1940-an. Ia sangat penting kerana tanpa antibiotik, keadaan individu yang mendapat jangkitan bakteria boleh menjadi teruk dan membawa kepada kematian. Pun begitu, ia hanya untuk jangkitan bakteria dan ia tidak memberi kesan kepada masalah kesihatan akibat jangkitan virus.
Kebanyakan masalah kesihatan disebabkan jangkitan bakteria dan virus. Walaupun kedua-duanya boleh menjangkiti dan menyebabkan masalah kesihatan, cara ia membiak dan merebak tidak sama.
Bakteria ialah mikro organisma satu sel yang sentiasa ada di keliling kita. Kebanyakannya tidak berbahaya dan ada yang sangat berguna kepada manusia seperti Lactobacillus yang hidup dalam usus untuk membantu proses pencernaan makanan. Antibiotik sangat berkesan membunuh bakteria kerana ia bertindak ke atas organisma hidup dengan menghentikan proses pembahagian dan pertumbuhan sel.
Sebaliknya, virus pula bukan organisma hidup dan tidak boleh hidup sendiri. Ia adalah partikel yang mempunyai bahan genetik dan diselaputi kot protein. Virus hanya ‘hidup’ dan membiak apabila ada dalam badan perumah seperti manusia dan haiwan. Ini sebabnya antibiotik tidak memberi kesan ke atas virus.
“Jangkitan virus tidak perlukan antibiotik kerana badan kita menghasilkan antibodi bagi menghapuskan virus. Pada masa sama, doktor masih memberi ubat kepada pesakit untuk mengurangkan gejala jangkitan.
“Namun, masalah yang selalu berlaku ialah pertindihan gejala antara jangkitan bakteria dan virus seperti demam. Dalam sesetengah keadaan, doktor sukar membuat penentuan dan apa yang dilakukan ialah mencadangkan rawatan sokongan terlebih dulu seperti pesakit perlu minum banyak air dan memberi mereka ubat tahan sakit, contohnya parasetamol.
“Jika demam berkurang dalam masa singkat, bermakna pesakit mengalami jangkitan virus. Namun kaedah ini sukar dilakukan, terutama apabila membabitkan pesakit kanak-kanak, kerana ibu bapa lebih cemas dan risau jika anak mereka tidak diberi ubat. Mereka mahu rawatan segera supaya anak cepat sembuh. Keadaan ini menyebabkan ada doktor terpaksa memberi antibiotik walaupun dirasakan ia tidak perlu,” katanya.
Pengambilan antibiotik yang tidak diperlukan pada umumnya tidak memberi kesan sampingan, tetapi untuk jangka masa panjang, tindakan ini dikhuatiri boleh menyebabkan masalah kerintangan antibiotik. Maknanya bakteria yang menyerang seseorang itu mempunyai daya rintangan lebih tinggi terhadap antibiotik dan memerlukan antibiotik ‘lebih kuat’ untuk menghapuskannya.
Menurut Dr Rohana, biasanya antibiotik perlu diambil selama lima hingga tujuh hari. Bagaimanapun, ada juga keadaan pesakit hanya diberi antibiotik untuk tempoh terlalu singkat (tiga hari). Ini kerana ada doktor menganggap pemberian antibiotik yang tepat, tempoh tiga hari, memadai untuk menampakkan kesan atau perubahan dan dos seterusnya hanya diberi jika ia didapati ‘sesuai’ dengan pesakit.
Cara ini juga dilihat sebagai langkah menjimatkan kos jika antibiotik diberi tidak sesuai atau kurang berkesan. Dalam kes seperti ini, doktor mengharapkan pesakit datang semula supaya boleh diberi antibiotik jenis lain.
Namun, masalahnya, kebanyakan orang tidak datang balik berjumpa doktor pertama yang merawatnya, sebaliknya pergi ke klinik lain. Mereka diberi antibiotik lain tanpa mengetahui jenis antibiotik pertama diambil pesakit. Perkara ini boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah kerintangan antibiotik.
“Doktor sepatutnya memberitahu pesakit bahawa kebanyakan ubat antibiotik perlu diambil selama lima hingga tujuh hari dan ia mesti dihabiskan walaupun sudah sihat. Ia penting bagi memastikan semua bakteria berbahaya dihapuskan sepenuhnya.
“Jangkitan bakteria biasanya berlanjutan lima hingga tujuh hari. Jika gejala hilang dalam masa kurang dari tempoh itu, kemungkinan besar individu berkenaan mengalami jangkitan virus dan bukan bakteria. Ini sebabnya setiap kali anda dapat jangkitan, mesti banyak minum air dan berehat kerana jangkitan virus dan bakteria selalu menunjukkan gejala lebih kurang sama,” katanya.
Selain itu, ibu bapa yang berpengalaman kadangkala menyulitkan keadaan apabila meminta diberi ubat antibiotik tertentu untuk si kecil berdasarkan ‘keberkesanannya’ ke atas anak terdahulu. Desakan ini kadangkala membuat doktor serba salah, terutama melihat ibu bapa yang cemas.
Ini bukan tindakan bijak kerana ia boleh menyebabkan kanak-kanak diberi antibiotik yang tidak diperlukan. Seperkara yang perlu difahami ialah, bayi dan kanak-kanak kecil mudah mendapat jangkitan bakteria atau virus. Setiap kali itu juga mereka mengalami sedikit jangkitan, tetapi ibu bapa tidak perlu risau kerana ia perkara normal. Ini juga sebabnya pemberian antibiotik kepada pesakit kecil perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati supaya masalah kerintangan antibiotik tidak terjadi.
Jangkitan bakteria atau virus?
Penentuan sama ada seseorang individu itu mendapat jangkitan bakteria atau virus kadangkala sukar dilakukan kerana kedua-duanya kadangkala menimbulkan gejala sama. Walaupun penentuan ini boleh dibuat melalui pengkulturan air liur atau kahak, kaedah ini kurang praktikal kerana ia mengambil masa beberapa hari.
Biasanya rawatan diberi mengikut jangkaan doktor berdasarkan gejala ditunjukkan pesakit. Pengkulturan hanya dilakukan jika gejala jangkitan tetap tidak berkurang selepas satu minggu walaupun pesakit diberi ubat dan antibiotik. Namun ada beberapa masalah kesihatan biasa yang dikenal pasti puncanya.
Ada lebih 150 jenis antibiotik di pasaran dan setiap satu bertindak ke atas bakteria berbeza. Secara amnya, ia boleh dibahagi kepada tiga kategori iaitu antibiotik yang menghapuskan (membunuh bakteria), menghentikan pembiakan bakteria atau gabungan kedua-duanya. Doktor akan menentukan jenis antibiotik yang sesuai untuk anda.
Pada masa sama, Dr Rohana mengingatkan pesakit supaya memberitahu doktor mengenai keadaan kesihatan mereka sebelum menerima ubat dan antibiotik. Antara perkara penting untuk dimaklumkan ialah:
# Anda hamil atau mengesyaki anda hamil. Kebanyakan antibiotik tidak boleh diambil ketika hamil kerana ia boleh memberi kesan kepada kandungan.
# Anda ada masalah jantung atau injap jantung
# Anda ada masalah buah pinggang dan hati. Doktor akan memberi dos sesuai untuk pesakit supaya ia tidak memberi beban kepada organ bermasalah
# Anda bakal atau baru menjalani pembedahan
# Anda menghidap penyakit lain dan mengambil ubat. Sesetengah jenis ubat boleh bertindak balas dengan antibiotik
# Anda ada masalah alahan dan alah pada antibiotik tertentu. Ini sangat penting kerana reaksi alahan boleh menjadi sangat serius sehingga membawa maut. Justeru, individu alahan dinasihat memakai gelang atau rantai ‘medic alert’ yang menandakan mereka alah pada bahan tertentu dan memudahkan doktor memberi rawatan. Bagaimanapun, alahan terhadap antibiotik jarang terjadi.
Peringatan penting
Menurut Dr Rohana, doktor (pegawai perubatan am) sepatutnya memberi antibiotik paling ‘lembut’ kepada pesakit dan hanya bertukar kepada jenis lebih ‘kuat’ jika ia tidak menunjukkan kesan. Malangnya, kini lebih ramai doktor memberi antibiotik paling kuat sebagai pilihan pertama untuk membolehkan pesakit sembuh cepat.
Justeru, kita perlu menjadi pesakit bijak dengan bertanya beberapa soalan sebelum menerima antibiotik seperti:
# Adakah saya memerlukan antibiotik?
# Mengapa saya perlukan antibiotik?
# Apakah ia ada kesan sampingan dan bagaimana cara mengurangkannya?
# Jadual pengambilan antibiotik, masa dan adakah ia perlu diambil sebelum atau selepas makan?
# Adakah ia akan berinteraksi dengan ubat lain yang diambil (jika ada)?
# Adakah ia boleh diambil bersama makanan tambahan lain?
Soalan di atas adalah sebagai langkah pencegahan kepada masalah kerintangan antibiotik yang boleh berlaku pada sesiapa saja. Bagaimanapun, kerintangan antibiotik yang lebih serius seperti methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA) biasanya terjadi di hospital dan keadaan ini menyebabkan jangkitan lebih sukar dirawat.
Panduan pengambilan antibiotik
# Ambil ubat dan antibiotik bersama air kosong; bukan teh, kopi, minuman berkarbonat atau beralkohol. Sesetengah antibiotik boleh bertindak balas dengan alkohol dan mendatangkan kesan sampingan yang tidak diingini
# Habiskan semua antibiotik dalam tempoh ditetapkan. Anda perlu menghabiskan antibiotik untuk membunuh bakteria lebih kuat yang masih mampu bertahan pada awal rawatan
# Jangan simpan antibiotik untuk digunakan pada masa depan. Jika ada baki, pastikan ia dibuang
# Pastikan antibiotik diambil mengikut jadual daripada segi kekerapan (biasanya dua atau tiga kali sehari) sama ada sebelum atau selepas makan. Ini kerana tindakan antibiotik terhad kepada tempoh tertentu (beberapa jam). Untuk memastikan anda mendapat perlindungan, antibiotik mesti diambil dalam tempoh ditetapkan. Jika tidak, ia tidak dapat membunuh bakteria dengan berkesan.
# Jangan sekali-kali makan antibiotik orang lain (termasuk ahli keluarga atau adik beradik) kerana jangkitan yang anda alami mungkin berbeza. Malah, tahap kesihatan anda dengan pesakit berkenaan juga tidak sama.
# Bersabar. Antibiotik mengambil sedikit masa untuk menunjukkan kesan. Biasanya kesan dapat dilihat selepas dua atau tiga hari. Ini sebabnya anda perlu mengambil antibiotik dalam tempoh lima hingga tujuh hari mengikut jadual ditetapkan.
# Banyakkan berehat dan elak ada di tempat sesak ketika mengalami jangkitan.
# Cuci tangan sekerap mungkin, terutama selepas keluar dari tandas, sebelum dan selepas menyediakan makanan serta selepas menyalin lampin bayi. Galakkan anak mencuci tangan setiap kali selesai bermain.
# Banyakkan minum air dan jus buah untuk menggantikan cecair badan yang hilang melalui muntah atau cirit-birit. Ia juga boleh membantu badan bertindak balas dengan lebih baik terhadap ubat.
Jangkitan bakteria
# Jangkitan telinga tengah
# Jangkitan sinus yang teruk
# Jangkitan salur kencing
# Kebanyakan jangkitan pada luka dan kulit
# Sakit tekak hingga sukar menelan makanan (menyebabkan pesakit demam, batuk, abdomen sakit dan tonsil bengkak)
Jangkitan virus
# Selesema
# Influenza
# Kebanyakan jenis batuk
# Kebanyakan jenis sakit tekak
# Keradangan usus
# Keradangan bronkus (pada paru-paru)
Tuesday, August 25, 2009
Kerintangan Antibiotik
Posted by Suhaimi at 12:10 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment