Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, October 15, 2014

GST, harga minyak ‘penjara’ BN perangkap rakyat

GST Grafik Baru
SHAH ALAM, 14 OKT: Kenaikan harga minyak dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal melonjakkan inflasi pada tahun 2015 adalah satu gaung bagi rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan sederhana, kata Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau menyifatkan gaung itu sebagai ‘satu penjara’ yang dicipta Barisan Nasional (BN) bagi golongan berkenaan.

Katanya, pengurangan subsidi dan peningkatan pemberian BR1M menyebabkan kenaikan kadar inflasi melebihi kadar pendapatan, maka rakyat berpendapatan rendah dan sederhana akan terus terperangkap di dalam penjara yang dicipta BN.

Pemberian BR1M secara ansuran dijadikan satu senjata untuk membudayakan mereka untuk terus bergantung hidup pada kerajaan.

“Apakah ini satu strategi BN untuk kekal berkuasa dengan membudayakan majoriti rakyat Malaysia untuk terus bergantung hidup dengan insentif yang diberikan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik daripada Malaysia Kini.

Tuan Ibrahim berkata, tidak mustahil berdasarkan apa yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perhimpunan agung MCA, pada 12 Oktober lalu, yang mana beliau mengingatkan masyarakat Cina tidak patut menuntut sesuatu daripada kerajaan jika mereka menyokong pembangkang.

“Berdasarkan logik ini, apakah BR1M sebenarnya satu strategi politik yang dijelmakan sebagai bantuan daripada kerajaan untuk mendapatkan undi rakyat bagi BN. Bahkan, kenaikan harga minyak juga akan menyebabkan kenaikan harga barangan.

“Oleh kerana harga barangan melambung, rakyat perlu membayar lebih untuk GST kerana enam peratus akan dikenakan pada barang dan perkhidmatan yang sudah dinaikkan harga dan bukan harga sekarang.

“Pada akhirnya, segala apa yang diberi kepada rakyat sebenarnya akan dipungut kembali oleh kerajaan. Yang berbeza adalah rakyat sudah ditolak ke dalam gaung dan terpaksa bergantung hidup dengan pemberian kerajaan,” katanya.

Datuk-Tuan-Ibrahim-Tuan-Man barang
Sehubungan itu, katanya, Najib juga perlu ingat bahawa semua yang membayar cukai sama ada secara langsung melalui cukai pendapatan atau tidak langsung seperti cukai eksais kereta berhak membuat tuntutan kepada kerajaan.

Beliau berkata, rakyat berhak memilih siapa sahaja untuk menguruskan negara dalam setiap pilihan raya kerana hak mereka sebagai pembayar cukai.

“Dan sebagai sebuah kerajaan yang dipilih, ia bertanggungjawab menjaga kebajikan setiap rakyatnya tanpa mengira pendirian politik mereka. Itulah asas kepada sistem demokratik yang adil dan saksama serta berfungsi,” katanya.

0 comments: