Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Thursday, November 13, 2014

Punca pendapatan nelayan terjejas akibat projek penambakan laut.

Sumber Sinar

Nelayan mengadakan bantahan di Kampung Senibong, semalam.

PASIR GUDANG - Lebih 3,000 nelayan daripada 15 kampung terjejas didakwa akibat daripada projek penambakan laut yang telah dijalankan sejak Mei tahun lalu.

Ketua Umno Cawangan Kampung Senibong, Yacob Sahadan berkata, antara 15 kampung yang terlibat ialah Kampung Plentong Tengah, Kampung Bakar Batu, Kampung Senibong, Kampung Teluk Kabung dan Kampung Kuala Masai.

Menurutnya, pampasan sebanyak RM4 juta yang dituntut nelayan tidak diendahkan pemaju terlibat, sedangkan setiap hari nelayan semakin terbeban dengan desakan hidup untuk mencari sesuap nasi.

“Masalah ini semakin kritikal sejak enam bulan kebelakangan ini apabila enam sungai antaranya Sungai Batang, Sungai Pak Kolob dan Sungai Besar telah ditutup ekoran projek penambakan laut ini.

“Saya minta pihak kerajaan mencari jalan penyelesaian terbaik kerana ramai yang terjejas memandangkan nelayan adalah punca utama mereka mencari rezeki,” katanya ketika mengadakan bantahan bersama lebih 300 nelayan, di sini, semalam.

Sementara itu wakil orang asli Kampung Kuala Masai, Wah Bacik berkata, masyarakat orang asli hanya mengharapkan pendapatan sebagai nelayan.

Bagaimanapun, projek penambakan laut itu telah menyebabkan mata pencariannya terjejas, sedangkan tanggungan keluarga besar.

“Kalau dulu kita boleh dapat hasil sekitar RM2,000 sebulan, tapi sekarang ini nak dapatkan RM50 sehari pun susah.

“Bagaimana saya mahu bagi anak makan sedangkan saya mempunyai 11 anak untuk ditanggung,” katanya.

Seorang lagi nelayan Kampung Plentong Tengah, Musa Ahmad berkata, nelayan semakin tersepit dengan pembangunan yang dibawa kerajaan, sedangkan perkara itu sepatutnya dikaji terlebih dahulu kesannya secara mendalam.

Menurutnya, nelayan terpaksa menangkap ikan agak jauh dari pangkalan masing-masing, sedangkan hasil yang diperoleh tidak seberapa jika dibandingkan dengan kos minyak yang terpaksa ditampung.

“Saya dan rakan-rakan semakin terhimpit dengan situasi ini sedangkan anak-anak perlu disara dan diberi makan bukan dengan pasir.

“Kalau dulu dari jarak yang dekat kami sudah mampu mendapat hasil, tapi sekarang keluar jauh-jauh pun tidak berbaloi kerana kos minyak tinggi, sedangkan hasil yang diperoleh tidak seberapa.

“Saya mohon bantulah kami mencari jalan penyelesaian terbaik kerana kami ada keluarga yang perlu disara dan anak-anak ramai yang masih bersekolah,” katanya.

0 comments: