DS Najib Razak tiada alasan tidak turunkan harga RON95 kepada RM1.90. Tanpa subsidi pun harganya sudah RM1.90! Ini buktinya - harga pasaran terkini mengikut formula yang diumumkan Friends of BN - Barisan Nasional
HARGA PASARAN RON95 DUA MINGGU PERTAMA DISEMBER 2014 DI BAWAH RM2 SELITER
Harga pasaran RON95 menggunakan formula yang diumumkan oleh Barisan Nasional bagi dua minggu pertama Disember 2014 menunjukkan bahawa RON95 telah jatuh di bawah paras RM2 seliter, seperti berikut:
Tarikh Harga pasaran sebenar (RM/liter)
1-Dec-14 2.05
2-Dec-14 2.05
3-Dec-14 2.03
4-Dec-14 2.01
5-Dec-14 2.01
6-Dec-14 2.01
7-Dec-14 2.01
8-Dec-14 1.98
9-Dec-14 1.98
10-Dec-14 1.94
11-Dec-14 1.94
12-Dec-14 1.92
13-Dec-14 1.92
14-Dec-14 1.92
15-Dec-14 1.90
Barisan Nasional mengumumkan bahawa harga RON95 bagi sesuatu bulan ditetapkan berdasarkan harga purata harga pasaran RON95 seperti yang ditetapkan oleh formula. Bagi 15 hari pertama Disember 2014, harga purata ini (dikira berdasarkan harga pasaran harian seperti di atas) telah jatuh ke paras RM1.98 liter (tanpa subsidi). Jika subsidi 30 sen seliter dikembalikan seperti yang dituntut oleh KEADILAN, harga RON95 bagi dua minggu pertama secara purata telah jatuh ke paras RM1.68 seliter.
Dalam keadaan harga minyak mentah terus jatuh mendadak minggu ini dan dijangka terus jatuh sepanjang 2015, harga pasaran harian bagi tempoh 16 Disember 2014 hingga 31 Disember 2014 juga akan lebih rendah dari RM1.90 seliter (merujuk kepada harga pada 15 Disember 2014).
Oleh yang demikian, saya memberi amaran kepada Barisan Nasional supaya jangan berdolak dalih untuk segera menurunkan harga RON95 kepada RM1.90 serta merta. Sekiranya harga RON95 yang diumumkan pada 31 Disember 2014 kelak adalah lebih tinggi dari RM1.90 seliter, ini bermakna Barisan Nasional terus memanipulasi harga RON95 dan diesel untuk mendapatkan keuntungan melalui cukai minyak secara tersembunyi.
Sehingga kini, tidak ada seorang pemimpin Barisan Nasional pun yang berani menafikan kenyataan saya sebelum ini bahawa rakyat telah terlebih bayar harga minyak yang lebih tinggi yang dianggarkan RM274 juta dalam tempoh 45 hari sejak 1 November 2014. Mengikut amalan biasa, jumlah ini dikembalikan oleh syarikat-syarikat minyak kepada kerajaan sebagai cukai tersembunyi.
Selagi Barisan Nasional tidak menafikan perkara ini dan menjelaskan mekanisme sebenar siapa yang menyimpan jumlah RM274 juta yang dibayar lebih oleh rakyat ini, selagi itulah rakyat akan terus beranggapan bahawa mereka dicukai secara tersembunyi melalui harga RON95 dan diesel yang lebih tinggi.
Saya mengulangi pendirian bahawa kerajaan wajib mengembalikan subsidi sekurang-kurangnya 30 sen seliter yang akan menyaksikan harga minyak RON95 dalam bulan Januari jatuh ke paras RM1.60 seliter. Penurunan begini selari dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia dan harga petrol diesel yang lebih rendah yang dinikmati oleh negara-negara lain.
Saya juga menyeru supaya semua rakyat Malaysia turun ke Dataran Merdeka pada 31 Disember 2014 bermula 9 malam untuk #tuntut #turunhargaminyak kerana harga yang ada sekarang mengutip cukai secara tersembunyi dari rakyat.
RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan
0 comments:
Post a Comment