Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, February 16, 2015

Kenapa Shafee Tak Puas Hati Sampai Nak Bersumpah Di Mekah Bagai Ni?

Sumber malaysianreview.com

Anwar Ibrahim pernah tiga kali cuba menggugurkan Shafee Abdullah daripada barisan pendakwaan atas alasan tidak layak, konflik kepentingan dan melanggar etika, tetapi tidak berjaya lapor The Malaysian Insider – Gambar Shahbudin Husin Blog

Oleh Shahbudin Husin

Kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dengan Saiful Bukhari Azlan tidak habis-habis menghadirkan cerita pelik dan ganjil buat kita semua.

Jika semasa perbicaraan dulu, sudah banyak cerita pelik dan ganjil ini didedahkan kepada umum, disiarkan dalam media dan menjadi perbualan ramai, kini ia berterusan lagi walaupun episod mahkamah telah pun berakhir dan Anwar sudah berada dalam penjara.

Setelah Anwar disabitkan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan serta dihukum penjara selama lima tahun, adalah perkara biasa jika pihak yang tertuduh merasa tidak puas hati dengan hukuman yahg dijatuhkan itu.

Sebab itu, tiada yang hairannya jika Anwar terus menyatakan sabitan kepadanya adalah bermotifkan politik dan bertujuan membunuh karier politiknya. Tidak pelik juga jika ahli keluarga Anwar bersama penyokongnya terus meluahkan simpati dan mengadakan pelbagai demo bagi membantah hukuman itu.

Tiada yang ganjil dan luar biasa juga jika peguambela Anwar terus bercakap menyatakan rasa tidak puas hati dengannya.

Ia boleh dikatakan normal dan biasa bilamana pihak yang kalah terus bersuara dan menuntut keadilan.

Tetap tentulah pelik, ganjil dan luar biasa bila pihak yang menang terus menerus bercakap cuba meyakinkan orangramai mengenai keputusan yang telah dibuat oleh lima hakim Mahkamah Persekutuan itu.

Inilah yang berlaku dalam kes Anwar Ibrahim ini. Setelah beliau didapati bersalah dan kini sedang menghuni Penjara Sungai Buloh, ketua pasukan pendakwaraya, Shafee Abdullah ternampak begitu sibuk bercakap di sana sini mengenai perbicaraan dan hukuman yang telah diterima oleh Ketua Pembangkang itu.

Beliau bukan saja bercakap dengan banyak media mengenai perbicaraan dan hukuman yang diterima Anwar, malah tidak habis-habis menyatakan keyakinannya bahawa Anwar memang bersalah dan sah meliwat Saiful.

Di suatu ketika itu, Shafee yang lebih dikenal sebagai peguam UMNO juga menyatakan beliau sanggup bersumpah di Mekah untuk membuktikan keyakinannya bahawa Anwar tetap bersalah.

Tidakkah perbuataan Shafee ini pelik, ganjil dan luar biasa? Apa tujuannya beliau bercakap sedemikian rupa sedangkan beliau adalah pihak yang menang? Bukankah Anwar sudah dijatuhkan bersalah dan menerima hukuman?

Pihak yang menang sepatutnya bergembira dan meraikan kemenangan, bukannya bersungut tidak henti-henti?

Kenapa tak habis-habis bercakap secara terbuka cuba meyakinkan rakyat sedangkan beliau adalah ketua pasukan pendakwaraya ketika perbicaraan saja dan bukannya ahli politik?

Adakah Shafee sendiri tidak yakin dan ragu-ragu dengan keputusan mahkamah itu? Atau beliau sedang didatangkan Tuhan dengan perasaan bersalah dalam hatinya ketika ini?

Tidak cukup dengan bercakap melalui media, pada 17 Februari ini ( Selasa), Shafee juga turut hadir memperkatakan mengenai perbicaraan dan hukuman yang diterima Anwar itu dalam sebuah majlis dialog anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein atau AKHI yang dipunyai oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Barangkali ada benarnya saranan bekas Peguam Negara, Abu Talib Othman agar khidmat Shafee sebagai timbalan pendakwaraya dalam kes perbicaraan Anwar segera ditamatkan agar beliau berhenti bercakap mengenai kes yang sudah pun berakhir itu.

Kata Abu Talib lagi, kes Anwar ini tidak seharusnya terus mendapat komen lanjut, sebaliknya tindakan itu seperti mengesahkan lagi dakwaan pelbagai pihak bahawa ianya berunsur dan bermotifkan politik.

Apakah dengan membawa Shafee hadir dalam program anjurannya itu, Khairy Jamaluddin juga mahu orang ramai terus melihat kes Anwar ini dari segi politik?

Dengan bersetuju hadir di program anjuran AKHI yang dinaungi oleh sebuah entiti politik, tidak mustahil juga jika selepas ini Shafee akan turut bersetuju hadir dalam banyak program lain anjuran UMNO bahagian dan cawangan di seluruh negara untuk bercakap dan mewajarkan hukuman yang telah dijatuhkan kepada Anwar itu.

Nampaknya NGO Tibai dan “Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim” yang sudah pun dibubarkan sehari selepas Ketua Pembangkang itu didapati bersalah atas alasan tiada keperluan lagi meneruskannya, sudah pun ada bakal penggantinya iaitu Shafee Abdullah, seorang peguam terkenal yang disebut-sebut ramai sebagai bakal Peguam Negara selepas ini.

Berada di luar atau di dalam penjara, Anwar terus menghantui ramai orang dengan aura dan pengaruhnya.

0 comments: