Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Thursday, December 31, 2015

Chef Uni Perkenal Ayam Garam Halal Pertama Di Dunia

Sumber peraktoday.com.my


IPOH: ‘Ayam Garam’ merupakan satu menu yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Cina sama ada di dalam atau luar negara dan ianya menjadi salah satu tarikan pelancong untuk datang ke negeri Perak khususnya Bandaraya Ipoh.

Sebelum ini ianya, hanya dapat dinikmati oleh masyarakat bukan Islam. Namun kini, orang Islam juga dapat merasai juadah berkenaan setelah seorang usahawan mengambil satu inisiatif untuk memperkenalkan ‘Ayam Garam Halal’ pertama di negara ini dan barangkali di dunia.

Ahmad Khusaini Mohamad Hashim, 46, telah memperkenalkan ‘Ipoh Ayam Garam’ untuk dinikmati oleh masyarakat Islam di serata dunia melalui perusahaan miliknya yang telah bermula sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, idea untuk melakukan perniagaan Ayam Garam halal tersebut bermula setelah beliau melihat menu itu menjadi kegilaan ramai masyarakat bukan Islam di Ipoh termasuklah pelancong dari Kuala Lumpur dan Singapura yang datang untuk menikmatinya di sini.

“Oleh kerana ianya diusahakan oleh orang bukan Islam dan tidak halal, jadi saya mengambil inisiatif untuk membuat kajian mengenai menu ini dan menjadikannya sebagai satu menu yang boleh dinikmati oleh orang Islam.

“Menu ini memang menjadi satu fenomena dalam kalangan masyarakat bukan Islam terutamanya kaum Cina. Jadi ianya patut dijadikan sebagai satu menu halal yang sudah semestinya boleh dinikmati oleh seluruh masyarakat dunia,” katanya kepada Peraktoday ketika ditemui di kedai miliknya di sini, hari ini.

Beliau yang juga dikenali sebagai Chef Uni berkata, Ayam Garam tersebut bukanlah sejenis menu seperti ikan masin atau telur masin, tetapi ianya adalah kerana ayam telah di masak menggunakan sejenis garam khas.

“Ayam yang disediakan saya telah dicampur dengan beberapa herba Cina seperti Ginseng dan sebagainya, dan kemudian ayam ini akan dibalut dengan kertas minyak lalu dibakar di atas garam khas yang panas.

“Sudah semestinya ia mempunyai khasiat yang sangat bagus kerana ramuan herba Cina yang digunakan, tambahan pula saya menggunakan ayam organik ataupun lebih dikenali sebagai ayam kampung, ” katanya lagi.

Bekas pemilik sebuah restoran terkemuka itu menambah, menu Ayam Garamnya telah mendapat maklum balas yang sangat positif daripada masyarakat setempat dan di luar negeri Perak.

“Setiap hujung minggu saya akan membawa menu ini ke Pasar Tani di Stadium Ipoh dengan menggunakan food truck, dan dalam masa dua jam hampir 20 hingga 70 ekor ayam berjaya dijual.

“Ada juga permintaan dari Kuala Lumpur melalui laman sosial Facebook dan saya sendiri akan menghantarnya ke sana,” ujarnya.

Khusaini berkata, terdapat pelbagai agensi yang membantu perusahaannya seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan syarikatnya juga telah memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada minggu lepas.

Katanya, bagi perancangan pada tahun 2016 pula adalah untuk memperkemaskan lagi pembungkusan, memasarkan produknya ke seluruh Malaysia dan akan cuba menembusi pasaran Singapura.

Berkongsi pengalamannya sebelum memulakan perniagaan ini, Khusaini menyatakan dirinya pernah menghadapi kegagalan yang teruk sebelum bangun semula selepas tiga tahun mencuba.

“Saya pernah kerugiaan dengan jumlah yang agak besar, tetapi saya tidak berputus asa dan terus mencuba dengan perniagaan lain dan selepas tiga tahun, barulah saya stabil semula.

“Sebagai seorang usahawan, kita tidak boleh berputus asa dan perlu sentiasa mencuba walaupun gagal, dan saya berterima kasih kepada isteri dan keluarga yang sering memberi sokongan dan dorongan kepada saya,” ujarnya.

Produk Ipoh Ayam Garam yang dikeluarkan oleh Khusaini terbahagi kepada dua jenis iaitu Ayam Garam Angelica Ginseng dan Ayam Garam Black Paper yang mana kedua-duanya dijual dengan harga RM26.00 seekor.

Selain itu, Khusaini juga menghasilkan produk sos sendiri yang khas diciptanya sebagai pasangan kepada menu Ayam Garamnya.

Khusaini mengusahakan perniagaannya dengan bantuan isteri, Nur Sharon Shazryna Cheong Abdullah, 46 tahun.

Ketika diberi peluang untuk menikmati Ayam Garam Angelica Ginseng, wartawan Peraktoday berasa amat kagum dan yakin orang ramai pasti terpikat dengan kelembutan serta keenakan perapan herba khas bagi menu istimewa ini.

Sos yang dicipta khas oleh Khusaini juga amat sedap dan ianya mampu untuk menembusi pasaran antarabangsa jika dipromosikan dengan betul.

0 comments: