Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, May 19, 2009

Jaga Pergerakan Dalam Solat

SEMBAHYANG adalah tiang agama dan perlu didirikan dengan sempurna, bukan sekadar seperti melepas batuk di tangga. Namun, masih ada yang menunaikan sembahyang sambil lewa dan tidak menjaga rukunnya dengan baik. Alangkah ruginya bagi mereka yang bersembahyang tetapi tidak mendapat ganjaran sepatutnya.


Kejahilan dan kecuaian menilai kepentingan sembahyang menyebabkan kita tidak cermat sedangkan setiap orang yang menunaikan sembahyang tidak lepas daripada terus diganggu bisikan iblis serta syaitan yang sentiasa berusaha merosakkan sembahyang mereka.
Antara punca atau sebab yang boleh membawa kepada musnahnya sembahyang seseorang ialah:
Kebanyakan mereka yang sembahyang khususnya secara berjemaah menghanguskan sembahyang mereka dengan cara bertindak mendahului imam di dalam rukuk, iktidal dan sujud.
Seolah-olah mereka lupa bahawa mereka perlu berhati-hati supaya sentiasa berada dalam keadaan mengikut imam dari awal sembahyang hingga akhir.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mengangkat kepalanya dulu daripada imam di dalam sujud (sembahyangnya), di hari kiamat nanti ia akan dibangkitkan dengan berkepala keldai.”
Caranya untuk membatasi perkara ini supaya tidak berlaku ialah mencontohi amalan sahabat Rasulullah SAW iaitu apabila mereka rukuk atau sujud, mereka tidak akan bersegera mengikut imam (Rasulullah khususnya) sehinggalah mereka melihat dahi imam (Rasulullah) sudah mencecah tanah atau belakang imam benar-benar sempurna ketika rukuk barulah mereka bergerak mengikutnya.
Bergerak lebih daripada tiga kali berturut-turut dalam sembahyang boleh merosakkan sembahyang. Hal ini banyak dilakukan disebabkan mereka jahil atau tidak faham apa yang dikatakan bergerak tiga kali yang boleh membatalkan sembahyang.
Sebenarnya dalam sembahyang boleh bergerak walaupun lebih daripada tiga kali dan tidak membatalkan sembahyang.
Seseorang itu boleh menggaru dengan satu jari. Hal ini tidak membatalkan sembahyang walaupun perbuatan di lakukan sampai berulang kali berturut-turut.
Begitu juga menggaru atau menggerak tangan (kelima-lima jari) setiap kali garu terus berhenti sekadar baca subhanallah satu kali, Kemudian ulangi lagi.
Biarpun sampai berulang kali sembahyang tidak batal.
Beginilah jika kita belajar dan benar-benar mengerti bergerak atau bergaru tidak merosakkan sembahyang.
Kebanyakan jemaah sama ada sedar atau tidak sudah merosakkan sembahyang mereka dengan sebab berpaling dada dari menghadap kiblat. Kejadian itu mudah berlaku jika tidak berhati-hati, terutama ketika mahu bangkit dari sujud atau sesudah selesai membaca tahyat awal.
Kebanyakan kita yang berbadan gemuk akan menekan sebelah tangan kanan atau kiri untuk membantu mereka bangkit dengan mudah.
Pada ketika itu dada mereka mudah berpusing ke arah lain, terpesong dari tetap menghala ke arah kiblat. Dengan itu sembahyang mereka musnah dan batal.
Jemaah yang bermasalah untuk bangkit hendaklah menggunakan kedua-dua belah tangan ketika menekan lantai untuk membantu mereka berdiri. Cara begini boleh menolong dada supaya tidak terpusing dari terus menghala ke arah kiblat.
Inilah antara kesalahan yang sering dilakukan kebanyakan jemaah yang selalu datang ke masjid, surau atau madrasah.
Kerana kecuaian atau kejahilan menyebabkan mereka hilang ganjaran yang sepatutnya diterima kerana menunaikan solat dengan menepati rukun serta hukumnya.
Oleh itu, hendaklah sentiasa berhati-hati dan menjaga pergerakan dalam solat terutama jika dikerjakan secara berjemaah.
Fahami rukun sembahyang supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi.

Sumber dari: BeritaHarian

0 comments: