BAHAN makanan yang terdedah pada air banjir mudah tercemar. Air tercemar seperti kencing atau najis haiwan punca penyakit berbahaya membawa maut kepada mangsa banjir.
LEPTOSPIROSIS antara penyakit yang kerap dikaitkan dengan banjir. Penyakit ini berpunca daripada bakteria leptospira yang bukan saja terdapat dalam air kencing dan najis tikus malah pada haiwan mamalia termasuk kucing.
Oleh itu setiap kali banjir antara panduan yang kerap diingatkan kepada mangsa ialah memasak makanan dan minum air daripada sumber yang bersih.
Manusia boleh berhadapan dengan leptospirosis sekiranya terdedah atau berhubung secara langsung dengan air atau air banjir yang tercemar dengan air kencing atau najis haiwan yang dijangkiti leptospira.
Leptospirosis sebenarnya satu daripada penyakit bawaan air. Ada pelbagai lagi jenis penyakit boleh menyerang jika tiada langkah diambil, antaranya demam kepialu, kolera dan hepatitis A.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Anis Salwa Kamarudin, berkata selain penyakit bawaan air, penyakit bawaan vektor juga perlu diberi perhatian, antaranya termasuk denggi, malaria dan demam kuning.
“Banjir memang dikaitkan dengan peningkatan risiko jangkitan. Bagaimanapun, risiko ini boleh ditangani jika mangsa banjir berhati-hati.
“Bagaimanapun, sehingga kini belum ada kes risiko jangkitan penyakit bawaan air banjir di Malaysia sehingga menyebabkan satu ‘outbreak’ kerana Kementerian Kesihatan mempunyai pelan tindakan tersusun,” katanya.
Mengikut catatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dalam 14 kes banjir besar yang terjadi di seluruh dunia antara 1970 dan 1994, hanya satu kes saja yang menyebabkan wabak cirit-birit yang besar iaitu di Sudan pada 1980. Kejadian itu dikaitkan dengan penempatan populasi yang rumit.
“Penyakit bawaan air juga boleh terjadi jika mangsa banjir mempunyai hubungan terus dengan air yang tercemar. Misalnya bila banjir, mereka menjadikan bencana alam itu sebagai pesta main air. Sedangkan air banjir itu tercemar dengan pelbagai bakteria, apatah lagi jika ada luka pada badan,” katanya.
Beliau berkata, masalah itu menyebabkan jangkitan pada luka selain masalah kulit, sakit mata (konjuktivitis) selain jangkitan pada telinga, hidung dan tekak. Bagaimanapun, penyakit seperti ini tidak cenderung menjadi epidemik.
Menurut WHO, jangkitan yang boleh menjadi epidemik tentu saja leptospirosis kerana pemindahan bakteria itu daripada air yang tercemar kepada manusia boleh berlaku melalui kulit dan membran mukus.
Beberapa kes membabitkan leptospirosis menjadi igauan mangsa banjir membabitkan kes di Brazil (1983,1988 dan 1996), Nicaragua (1995) dan Thailand (2000).
“Selain berwaspada dengan penyakit bawaan air, penyakit bawaan vektor juga perlu diberi perhatian. Ini kerana banjir secara tidak langsung meningkatkan kes bawaan vektor melalui pertambahan jumlah dan rangkaian habitat,” katanya.
Air bertakung yang disebabkan hujan lebat dan limpahan sungai boleh menjadi sarang nyamuk. Ketika banjir mungkin nyamuk tidak dapat bertelur tetapi keadaan sebaliknya berlaku apabila banjir pulih.
Ada banyak kes banjir di seluruh dunia yang menyaksikan malaria menjadi epidemik menakutkan antaranya banjir di Costa Rica pada 1991 dan Republik Dominika pada 2004.
Risiko kesihatan lain disebabkan banjir
Lemas, kecederaan dan trauma.
Suhu badan yang terlalu rendah (hypothermia) juga mungkin menjadi masalah terutama di kalangan kanak-kanak jika terperangkap dalam banjir terlalu lama.
Peningkatan risiko jangkitan pernafasan selain batuk dan demam.
Leptospirosis
Jika tidak dirawat, leptospirosis boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, meningitis, kegagalan hati malah dalam kes yang lebih teruk ialah kematian.
Leptospirosis didiagnos dengan ujian makmal terhadap contoh darah atau air kencing.
Leptospirosis selalunya terjadi kerana pendedahan pada air yang dicemari air kencing binatang yang dijangkiti bakteria leptospira.
Selain tikus, organisma letospira boleh juga menjangkiti kucing, kuda, anjing, babi dan haiwan lain.
Manusia dijangkiti melalui hubungan langsung dengan air, makanan atau tanah yang tercemar.
Biasanya seseorang yang sudah terdedah dengan sumber tercemar letospira mula jatuh sakit dalam dua hari hingga empat minggu.
Ia boleh berlaku dalam dua fasa.
Fasa pertama ialah demam, sejuk, sakit kepala, sakit otot, muntah atau cirit-cirit. Pesakit akan pulih sebelum kembali jatuh sakit.
Fasa kedua keadaan pesakit lebih teruk termasuk kegagalan buah pinggang, hati atau meningitis. Fasa ini disebut juga sebagai penyakit “Weil’ (Weil’s disease)
Leptospirosis berlaku antara beberapa hari hingga beberapa minggu atau lebih. Tanpa rawatan, tempoh untuk pulih mengambil masa beberapa bulan.
Leptospirosis berlaku di seluruh dunia tetapi lebih biasa ditemui di negara beriklim tropika.
Mengenal tanda-tanda leptospirosis
Demam
Sakit kepala
Loya, muntah
Sakit otot
Ruam kulit
Sakit pada abdomen
Batuk
Sakit pada betis
Jaundis
Air kencing kehitaman (seperti teh pekat)
Panduan untuk mengendalikan makanan dengan selamat
Jaga kebersihan
Cuci tangan dengan sabun dan air bersih sebelum mengendalikan, menyediakan makanan dan selepas ke tandas.
Cuci peralatan yang digunakan untuk menyediakan makanan
Cuci keseluruhan tempat permukaan penyediaan makanan
Lindungi kawasan dapur dan makanan daripada lipas, lalat, tikus dan haiwan lain.
Asingkan makanan mentah daripada makanan yang sudah dimasak
Asingkan daging, ikan dan makanan laut daripada makanan yang sudah dimasak
Gunakan peralatan seperti pisau dan papan pemotong yang berlainan untuk bahan mentah dengan bahan yang sudah dimasak
Masak dengan sempurna
Masak dengan sempurna terutama daging, telur dan makanan laut
Pastikan sup dan bubur dimasak hingga mendidih
Pastikan daging cincang, daging panggang dan ketulan daging dimasak secukupnya
Bagi masakan yang perlu dipanaskan, pastikan ia dilakukan dengan sempurna
Simpan makanan pada suhu yang selamat
Jangan biar makanan pada suhu bilik melebihi dua jam
Simpan semua makanan yang mudah rosak dalam peti sejuk
Kekalkan suhu makanan yang dimasak melebihi 60 darjah celsius sebelum dihidang
Gunakan air dan bahan mentah yang selamat
Pilih makanan segar dan bermutu
Pastikan makanan itu dikendalikan dengan selamat
Cuci buah-buahan atau sayur-sayuran dengan sempurna
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia
Monday, October 12, 2009
Banjir Sebar Kuman LEPTOSPIROSIS
Posted by Suhaimi at 7:52 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment