PENDIDIKAN sangat penting dan kerana itu, tidak hairanlah pada setiap masa, dunia pendidikan negara mendapat perhatian yang tinggi. Sering kali kita mendengar pelbagai pandangan diutarakan bagi memperbaiki sistem pendidikan negara.
Namun, sehingga kini usaha merealisasikan pandangan itu masih terlalu jauh apatah lagi untuk melihat hasilnya. Rungutan yang diterima pula mempunyai pelbagai sifat, daripada rungutan terhadap sistem pendidikan, mutu guru, kandungan pelajaran, kaedah pengajaran serta tumpuan pendidikan.
Segala rungutan akhirnya mengelirukan masyarakat dan menimbulkan rasa tidak yakin ibu bapa terhadap dunia pendidikan itu sendiri. Paling terbaru adalah usaha mengehadkan jumlah mata pelajaran yang boleh diambil pelajar dan menilai semula mata pelajaran teras.
Semua usaha itu dialu-alukan. Sememangnya, perhatian kerajaan terhadap meningkatkan keupayaan pelajar amat digalakkan. Namun, penulis tidak begitu pasti adakah usaha dicanangkan itu mengambil kira pelajar lemah di sekolah?
Apa yang diperhatikan kini, pelbagai usaha penambahbaikan mutu pendidikan lebih banyak menyentuh atau menjurus kepada pelajar mempunyai kemampuan belajar yang baik atau dalam bahasa mudahnya, pelajar pandai.
Namun, langkah memperbaiki sistem pendidikan untuk pelajar lemah jarang sekali disentuh. Adakah ini bermakna pelajar sebegini tidak diiktiraf dalam dunia pendidikan negara? Untuk tujuan penulisan ini, penulis ingin merujuk pelajar lemah yang tidak begitu menyerlah dalam pelajaran atau tidak dapat menguasai pelajaran.
Secara umumnya, mereka ini menguasai kemahiran asas pembelajaran (3M) iaitu membaca, mengira dan menulis namun mereka adalah pelajar yang jarang sekali memperoleh A dalam pelajaran. Dengan kata lain, mereka sering kali dirujuk sebagai ‘pelajar tidak pandai’.
Pelajar tidak pandai ini disebabkan pelbagai punca. Ada pelajar itu sememangnya sudah sedia menghadapi masalah ketidakupayaan pembelajaran. Ada pula menghadapi masalah sikap dan tidak ketinggalan sememangnya tidak menyukai sesuatu mata pelajaran akibat pengalaman pembelajaran tidak baik atau tidak menyeronokkan.
Walaupun pelajar lemah tidak menyerlah dalam pelajaran dan mungkin, setiap kali peperiksaan hanya mendapat markah ‘cukup makan’, tidak bermakna mereka tidak mempunyai potensi atau kemampuan untuk berjaya.
Malangnya, dalam keadaan kini, potensi atau keupayaan pelajar tidak dikenal pasti kerana dunia pendidikan lebih banyak menumpukan kepada pelajar berkeupayaan tinggi. Hasilnya, jarang sekali mendengar masalah atau nasib pelajar lemah terbela setelah gagal atau hanya mendapat markah minimum dalam peperiksaan utama.
Oleh kerana itulah persoalan diskriminasi dunia pendidikan terhadap pelajar lemah ditimbulkan. Apakah yang terjadi kepada mereka selepas tidak memperoleh keputusan baik dalam peperiksaan? Adakah program atau perancangan khusus dilakukan untuk pelajar ini?
Atau mungkinkah mereka hanya dibiarkan menentukan nasib sendiri. Jika ini benar terjadi maka tidak hairanlah pelbagai masalah berkait dunia remaja semakin berleluasa.
Tidak dinafikan, ada perancangan tertentu untuk pelajar yang kurang menyerlah dalam pelajaran. Jika tidak masakan kerajaan memperkenalkan sekolah vokasional atau sekolah kemahiran. Namun, berapa ramaikah pelajar lemah berpeluang memasuki sekolah begini?
Pasti tidak semua pelajar mempunyai peluang yang sama untuk memasuki sekolah kemahiran. Apa pula terjadi kepada pelajar yang tidak terpilih? Ini pasti menimbulkan persoalan terhadap pelaksanaan dasar atau perancangan yang tidak menepati sasaran dikehendaki.
Justeru, kita hendaklah bijak mengenal pasti keupayaan anak atau pelajar dan seterusnya membangunkan keupayaan mereka ke tahap tertinggi. Jika pelajar tidak mampu cemerlang dalam pelajaran, maka keupayaan lain dimiliki pelajar itu mestilah dikenal pasti.
Kemungkinan besar pelajar itu pandai dalam lukisan atau muzik. Maka, kelebihan itulah yang perlu digilap. Inilah yang berlaku kepada beberapa insan ternama di dunia seperti Albert Einstein (14 Mac 1879 – 18 April 1955).
Einstein menghadapi masalah disleksia yang menyebabkan beliau mempunyai daya ingatan tidak baik dan sentiasa gagal menghafal walaupun satu perkara mudah seperti mengingati bulan dalam satu tahun. Walaupun Einstein mungkin tidak dapat belajar dengan baik, sumbangan beliau dalam dunia saintifik dan teori sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.
Begitu juga penulis terkenal Agatha Christie (15 September 1890 – 12 Januari 1976). Walaupun menghadapi masalah dalam pembelajaran, ia tidak menghalang beliau menjadi kreatif dan belajar untuk menulis.
Hasilnya, beliau berjaya menulis pelbagai buku misteri yang terjual sehingga 4 bilion naskhah di seluruh dunia. Malah, tulisan beliau menjadi sumber ilham ramai penulis muda di seluruh dunia.
Manusia mempunyai pelbagai keupayaan dan keupayaan yang perlu digilap. Dalam dunia pendidikan negara, perbezaan keupayaan sememangnya diakui wujud namun sejauh mana usaha mengenal pasti dan memupuk perbezaan keupayaan itu dilaksanakan masih menjadi tanda tanya.
Apa yang sangat diperlukan adalah usaha campur tangan awal dalam pengenal pasti keupayaan pelajar. Ini harus dilakukan seawal mungkin dan seterusnya kaedah pendidikan yang menjurus kepada keupayaan itu mestilah dilaksanakan segera.
Jika ini dapat dilakukan, maka keupayaan semua pelajar dapat digembleng dan diarahkan kepada jalan yang baik. Seterusnya, ini membuktikan betapa kita mengiktiraf keistimewaan yang dimiliki setiap pelajar.
Wednesday, October 7, 2009
Membentuk pelajar lemah menjadi cemerlang
Posted by Suhaimi at 3:09 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment