Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Saturday, November 5, 2011

Adab Menyembelih Binatang Korban : Elak perbuatan makruh, tiada ihsan terhadap binatang

Oleh Mohd Amri Abdullah

http://xtive.utusan.com.my/tools/utusan/update_gambar/101117222919.jpg
NIKMAT kemeriahan Aidiladha atau Hari Raya Haji dirasai pelbagai lapisan masyarakat khususnya mereka yang tidak berkemampuan dan golongan dikurniakan Allah rezeki yang lebih. Inilah masanya yang berkemampuan menunaikan ibadat korban untuk disedekahkan kepada golongan miskin.

Amalan ibadah menyembelih binatang korban ini sama ada lembu, kerbau, kambing atau unta amat dituntut Islam sejajar roh pengorbanan Nabi Ibrahim yang akhirnya menyembelih seekor kibas.
Manfaat sembelihan korban bukan hanya kepada fakir miskin saja bahkan kepada penternak, penjual atau peraih. Justeru, dinasihatkan golongan ini juga melakukan pengorbanan tanpa memikirkan keuntungan saja.

Senario di Malaysia, setiap kali hari raya korban maka bekalan haiwan tidak mencukupi dan ada kala terpaksa diimport.

Ibadat korban mempunyai kaitan rapat dengan kaedah penyembelihan dan ketika melakukan audit sembelihan di Australia, pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ditanya adakah kaedah sembelihan di Malaysia mengambil kira kebajikan haiwan itu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh elokkanlah pembunuhan itu dan apabila kamu menyembelih maka elokkanlah penyembelihan itu dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan hendaklah dia memberi keselesaan kepada binatang sembelihannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Adakah ihsan diambil kira dalam sembelihan korban? Contohnya, lembu ditambat tanpa diberi minum di tengah panas dan hujan sehari semalam, diikat kaki dengan sekuatnya, diheret di atas tanah serta duduk atas haiwan ketika disembelih, mengasah pisau di hadapan haiwan, tidak diuraikan tali ikatan selepas sembelih, mencabut bulu-bulu di leher haiwan sebelum sembelih, melapah sebelum sempurna mati dan sembelih di hadapan haiwan lain.

Pandangan ulama, perbuatan itu makruh dan tiada ihsan terhadap haiwan korban. Adalah malang sunat korban dicampurkan dengan perbuatan makruh ketika proses sembelihan. Semestinya amalan sunat korban disusuli perbuatan sunat dalam sembelihan.

Antara perkara sunat dalam sembelihan korban ialah membaca Bismallah dan selawat, lelaki baligh dan berakal, pisau yang tajam, membaringkan binatang di atas rusuk kiri dengan kepala diangkat sedikit, memutuskan semua urat leher tertentu supaya cepat mati tanpa seksa, menghadap kiblat (penyembelih dan haiwan).

Disunatkan takbir tiga kali sebelum dan selepas membaca Bismallah, tidak mengasah pisau di hadapan binatang yang hendak disembelih, tidak menyembelih di hadapan binatang lain dan memberi minum binatang sembelihan itu sebelum disembelih.

Kod etika penyembelih juga perlu diambilkira. Penyembelih juga mesti betulkan niat kerana ada penyembelih menyembelih kerana sesuatu seperti inginkan ekor, kepala, hati atau sebagainya. Ini semua memberi kesan keberkatan dan kualiti daging.

Sebenarnya, semua kaedah dan permasalahan ini sudah dijelaskan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam modul tauliah sembelihan.

Lantaran itu, untuk membetulkan kaedah ini dicadangkan setiap masjid dan surau mengadakan kursus sembelihan kepada ahli kariah supaya semua lapisan masyarakat memahami konsep dan teknik sembelihan serta ihsan.

Islam mengajar umatnya supaya berihsan dengan haiwan termasuk adab dan kaedah sembelihan. Kaedah sembelihan yang betul memberi gambaran jelas kepada orang bukan Islam bahawa Islam itu sempurna dan lengkap. Alangkah indahnya amalan sunat korban itu disuburkan dengan semua amalan sunat lain dalam sembelihan korban.

0 comments: