Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Saturday, November 5, 2011

Malaysia lahir golongan ‘cendawan’ bukan cendekiawan - Prof Madya Zaharom

Prof Madya Zaharom Naim, ahli akademik Malaysia menyifatkan kebebasan akademik hanya mitos sedangkan realitinya para pensyarah dan pelajar dihimpit dengan pelbagai sekatan yang dikenakan terhadap mereka.

Pensyarah di Universiti of Nottingham itu berkata disebabkan sekatan itu juga mewujudkan perkembangan golongan ‘cendawan’ dan bukannya ‘cendikiawan’.

“Malah lebih malang, ia mewujudkan golongan akademik yang kurang sensitif terhadap isu terkini sehingga boleh diklasifikasikan sebagai minda kelas ketiga,” katanya selepas ditemui dalam Forum ’Kebebasan Akademik di Malaysia’ di Kuala Lumpur semalam.

Zaharom berkata, kebebasan akademik hanya mitos seperti kebebasan media. Ahli akademik tidak fikir tentang ini malah jauh sekali untuk pertahankan. Sekatan rasmi seperti akur janji di universiti oleh pensyarah dan pelajar hanya untuk menekan.

“Sistem penghargaan melalui kenaikan pangkat hanya mewujudkan golongan yang mementingkan diri dan tidak ambil tahu,” terang beliau. Golongan cendawan berkembang dan bukannya cendikiawan kerana melihat kerja mereka sebagai pekerjaan biasa dan bukannya satu profesion.

Ujar beliau, “peranan utama ahli akademik adalah untuk mengekalkan kuasa sedia ada dalam masyarakat tanpa mempersoalkannya.

Bagi mereka soal-mempersoal adalah kerja orang lain.

“Inilah minda tahap ketiga dan mungkin ia akan jadi lebih teruk,” katanya, merujuk kepada tindakan disiplin terhadap pensyarah undang-undang Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini.

Golongan intelektual jadi pak turut

Katanya, kejadian yang menimpa Aziz Bari akan mewujudkan kaki bodek dan penakut yang dihasilkan melalui sistem ahli politik dalam golongan tertentu. Peristiwa malang ini diwarisi dalam sistem pendidikan Malaysia dan implikasinya menghasilkan intelektual yang rendah daya inteleknya.

“Wujud hamba Allah Aziz Bari yang ditekan akan mewujudkan 10 kaki bodek dan 10 kaki penakut. Ini dihasilkan melalui sistem sosialisasi oleh ahli politik untuk golongan tertentu. Implikasinya nilai intelektual akademik rendah sehingga menghasilkan hujah bodoh yang tidak dicabar.

“Wujud pejuang hak asasi disifatkan seperti golongan komunis. Golongan intelektual enggan beri pendapat dan hanya tunggu arahan orang atas. Mereka tiada pendirian langsung dan hanya jadi pak turut,” katanya.

Sementara itu, Datuk Dr Denison Jayasooria dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, kredibiliti ahli akademik akan dipertikaikan apabila menyuarakan pandangan mereka kepada umum.

“Apabila mereka (ahli akademik) bersuara atau mengkritik secara terbuka kepada umum mereka akan dikatakan sebagai pembangkang, NGO,” katanya.

Forum ‘Kebebasan Akademik di Malaysia’ dianjurkan Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia dan Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM).

Ahli panel terdiri daripada Profesor Wan Manan Wan Muda dari Universiti Sains Malaysia, Dr Denison Jayasooria, Profesor Zaharom (Universiti of Nottingham) dan Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) Mohd Zaki Sukery. Turut hadir Aziz Bari dan kira-kira 30 ahli akademik lain.

0 comments: