Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, September 29, 2014

4 Orang Sombong Di Zaman Nabi Musa

Sumber detikislam.blogspot.com

Nabi Musa as. termasuk nabi yang banyak diceritakan kisahnya dalam Al-Quran. Dalam hidupnya beliau bertemu empat jenis manusia dengan kesombongannya masing-masing. Keempat-empatnya ialah:

1. Firaun, raja Mesir: seorang raja atau penguasa yang amat zalim dan kejam. Dia mengaku dirinya adalah tuhan yang menguasai segala sesuatu. Dia membunuh orang dengan sekehendak hatinya saja. Dia juga merampas kebebasan orang dan harta tanpa sebab dan dia juga menyembelih bayi. Menjadi sombong kerana dia merasakan mempunyai kuasa yang tiada siapa mampu menandinginya. Bala tentera yang amat ramai jumlahnya menjadikan dia merasa dirinya adalah tuhan yang mampu berbuat apa saja. Dia tidak dapat menerima hakikat jika ada orang yang nampak lebih berkuasa dari dirinya untuk berbuat sesuatu.

2. Haman, menteri Firaun: seorang saintis bijak yang amat sombong kerana merasa paling tahu tentang segala hal, terutama teknologi tercanggih pada masa itu. Dia tidak boleh menerima adanya manusia yang lebih tahu dan lebih pintar dari dirinya dalam apa perkara sekali pun. Bahkan dia dan Firaun mahu mencari Tuhannya Musa dengan membuat suatu bangunan yang sangat tinggi menggapai langit. Kedua orang ini serta seluruh bala tentara Firaun ditenggelamkan Allah di laut merah.

3. Qarun, si orang kaya: seseorang yang sangat kaya sehinggakan kunci gudang tempat hartanya hartanya disimpan perlu dipikul oleh beberapa orang lelaki yang sangat kuat. Qarun digelar Al Munawwir kerana suaranya yang amat bagus jika dia membaca Taurat. Tapi dia adalah musuh Allah. Kesombongan Qarun adalah merasa bahawa semua perkara boleh dibeli, semua masalah dapat dia selesaikan dengan wang yang amat banyak. Dia juga mengaku bahawa hartanya yang amat banyak itu adalah hasil dari ilmu yang ada pada dirinya. Maksudnya, kerana dia pandai mencari wang maka dia kaya. Qarun sangat iri hati kepada Nabi Musa as kerana Nabi Musa berpengaruh kepada kaumnya. Maka Qarun memfitnah Nabi Musa as dengan membayar seorang perempuan pelacur agar perempuan itu mengatakan bahawa dia berzina dengan Nabi Musa. Ketika Qarun bertemu Nabi Musa, dia mencabar untuk saling berdoa pada Tuhan. Qarun berdoa, tidak ada jawapan. Nabi Musa berdoa, maka bumi menelan Qarun, orang-orangnya dan hartanya hidup-hidup.

4. Bal'am, si ulama jahat: Bal'am adalah seorang ulama (pemuka agama) terkemuka saat itu. Dia seorang yang ma'rifat. Dianugerahkan Allah kemampuan untuk melihat malaikat dan 'Arsy. Bahkan Bal'am dianugerahi "ishmul a'zham" iaitu Nama Allah Yang Teragung, di mana jika dalam doa disebutkan Nama itu, maka doa itu pasti terkabul. Kesombongan Bal'am kerana menganggap bahawa dialah orang yang paling hebat masa itu, paling benar, paling 'alim dalam ilmu agama dan orang yang doanya pasti terkabul. Akhirnya, dia menggunakan lidahnya untuk mendoakan keburukan bagi Nabi Musa as. dan kaumnya. Doanya tidak dimakbul, malah berbalik pada dirinya. Allah mencabut semua ma'rifat dan ishmul a'zham pada dirinya sehingga dia mati kafir dan merana. Ada yang mengatakan bahawa dia meninggal dengan lidah terjulur keluar.

Baca Seterusnya......

Wednesday, September 24, 2014

Petua Menghalau Lipas Di Rumah

Sumber queachmad.com

Lipas merupakan serangga yang di katakan ramai yang tidak mengemarinya. Jom ketahui petua halau lipas dari rumah anda.

Lipas, salah satu binatang yang mengelikan dan selalunya ia akan dipukul menggunakan penyapu, selipar dan sebagainya sehingga mati. Tahukan anda, jika binatang ini dipukul akan mendatangkan keburukan yang mana puncanya berada di bahagian isi perut lipas.

Perut lipas mengandungi cacing halus dan lembut yang akan hidup meskipun di luar daripada tubuh lipas. Bila cacing ini berada luar daripada tubuh lipas, dia akan mencari tempat baru. Cacing ini bersaiz pendek dan dapat dilihat melalui mata kasar pada jarak 10-20 cm.

Anda tidak percaya! Ia boleh dibuktikan melalui kaedah ini dengan cara meletakkan isi perut lipas di atas kertas hitam atau cermin dan anda dapat lihat cacing yang keluar dari perut lipas yang meronta-ronta mencari tempat baru.

Sangat bahaya, jika cacing ini memasuki kulit tubuh kita terutama kaki kerana dapat masuk melalui pori-pori kulit atau bila ada luka terbuka. Anda ingin tahu petua untuk menghalau lipas di dapur atau ruang tamu anda. Jom ketahuinya!

- Ambil sebuku sabun mandi dan potong kecil. Kemudian letakkan ketulan kecil sabun ini di setiap kawasan yang mempunyai lipas. Biarkan sahaja dan lihat hasilnya.

- Potong dan letakkan hirisan lemon di kawasan yang ada lipas dan lipas akan bertempiaran lari. Selepas beberapa hari apabila lemon sudah kering, gantikan dengan lemon yang baru.

- Ambil hujung timun atau pangkalnya dan letakkan di tempat yang ada banyak lipas. Kemudian lihat lipas akan mati.

- Ambil beberapa biji buah pelaga dan letakkan di tempat lipas membiak.

- Kalau terlalu banyak sangat lipas, sediakan ubi kentang yang direbus dan dilecek dicampurkan bersama serbuk penaik dan gaul. Buat seperti begedel dan letak di tempat banyak lipas.

- Letakkan hirisan daun pandan di dalam uncang tebuk uncang itu, kemudian letakkan di dalam laci atau di tempat pembiakan lipas.

Baca Seterusnya......

Tuesday, September 23, 2014

Kesan Elektrikal Terhadap Prestasi Enjin !

Sumber arenakereta.com
grounding-cables
Enjin-enjin moden terutamanya enjin petrol telah menggunakan sistem unit komputer elektronik yang bertindak sebagai otak untuk sesebuah kenderaan tersebut. Bila kita sebut tentang sistem unit komputer elektronik ini, ia sebenarnya telah lama wujud dalam industri otomotif seawal 20 tahun yang lepas. Tetapi, sejajar dengan teknologi yang semakin hebat, penggunaan sistem elektronik juga semakin meluas bagi setiap pengeluaran kenderaan.

Kebolehan sesebuah enjin untuk berfungsi sebaiknya amatlah bergantung kepada tahap kesihatan mekanikal dan elektrikalnya. Selalunya kita bincangkan tentang kepentingan kesihatan sesebuah enjin berdasarkan ciri-ciri mekanikalnya dari segi penjagaan rapi enjin semata-mata. Tetapi, kita terlupa bahawa wujudnya sistem elektrikal yang mengawal perkara paling penting bagi enjin tersebut iaitu sistem suntikan bahan api dan juga pembacaan sensor yang terdapat dalam sistem kereta tersebut.

Seperti yang kita semua tahu, keupayaan sesebuah bahagian elektrikal juga akan merosot ditelan zaman. Contoh paling mudah yang kita dapat bayangkan ialah keupayaan wayar dan juga kapasitor bagi sistem unit komputer elektronik dan juga wayar-wayar yang menyambungkan kesemua sensor ke unit komputer elektronik untuk bacaan sensor tersebut.

Di bawah ini sedikit sebanyak info tentang “ripple effect” terhadap aplikasi elektrikal:-

  •     Kekerapan riak dan harmonik yang berada di dalam sistem audio itu akan didengar pada peralatan seperti penerima radio.
  •     Kehadiran riak boleh mengurangkan ketepatan dalam bacaan sistem unit komputer elektronik.
  •     Dalam litar digital, ia mengurangkan ketepatan sensor, di mana litar logik memberi output yang tidak betul dan data adalah rosak.
  •     Arus riak tinggi amplitud memendekkan jangka hayat kapasitor elektrolitik.
Jika bahagian elektrikal itu kehilangan keupayaannya, secara teorinya, pembekalan elektrik kepada sensor dan juga unit komputer elektronik ini akan mengalami masalah “ripple effect” di mana secara langsungnya akan memberi efek terhadap pembacaan sensor-sensor sesebuah kereta. Jika sensor itu memberi bacaan yang salah, sudah pasti unit komputer elektroniknya tidak dapat membaca dengan tepat lalu memberi info yang salah bagi sistem suntikan bahan apinya. Hal ini secara langsungnya boleh menyebabkan sesebuah enjin itu mengalami pembaziran minyak dan juga bekerja keras lalu menghasilkan output yang tidak optimum.

ripple
Gambar di atas ini boleh dijadikan rujukan sebagai “ripple effect”. Perkara ini hanya dapat dilihat jika kita menggunakan osiloskop untuk melihat sistem penghataran elektrik. Salah satu cara untuk mengatasi masalah ini yang diperkenalkan dalam dunia otomotif ialah penggunaan “grounding cable”. Tetapi, sejauh mana kebenaran dalam penggunaan “grounding cable” untuk membantu sistem elektrikal sesebuah kenderaan itu? Ada juga yang mengatakan benda ini dapat membantu mengembalikan prestasi enjin, meningkatkan penjimatan minyak; dan juga membantu sistem bunyi menjadi lebih sedap.

e
Admin tidak mempunyai pengalaman dalam penggunaan “grounding cable” ini, tetapi pernah juga terdengar dari mekanik yang mengatakan sesetengah kereta lama sampai tahap tidak boleh menghidupkan enjin kerana sistem pembumian elektrik yang lemah. Pelik? Inilah kenyataan.

Baca Seterusnya......

Sunday, September 21, 2014

Perlumbaan Bot Labu Gergasi Di Ludwigsburg Pumpkin Festival

Di Ludwigsburg Jerman terdapat festival tahunan yang bertemakan labu.Festval labu ini ialah yang terbesar di dunia. Labu diukir dan dibentuk menjadi arca gergasi.

Selain daripada itu terdapat juga perlumbaan bot yang diperbuat daripada labu gergasi. Peserta dari seluruh dunia datang untung bertanding di dalam labu gergasi.


Baca Seterusnya......

SUBHANALLAH | Keseluruhan pasukan bola sepak Cameroon peluk Islam beramai-ramai

Kesemua anggota pasukan bola sepak kebangsaan Cameroon termasuk jurulatih dan paderi mereka telah memeluk agama Islam, lapor Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Kebajikan Dubai (IACAD), Emiriyah Arab Bersatu.

Anggota pasukan Cameroon mengucap dua kalimah syahadah beramai-ramai setelah menghadiri satu kem latihan yang dianjurkan jabatan tersebut di Dubai.

Menurut IACAD, keputusan itu diambil kerana mereka tertarik dengan layanan baik dari warga tempatan serta keamanan dan ketenangan yang dapat dirasakan di dalam Islam.

Pasukan Cameroon berasal dari akademi bolasepak yang ditubuh khas untuk anak-anak yatim, orang geladangan dan orang miskin.

Ketua Pengarah IACAD, Dr. Hamad Al Shaibani berkata, jabatan tersebut telah menyaksikan ramai penduduk dan pelancong dari pelbagai kewarganegaraan memeluk Islam.

“Kebanyakan mereka memeluk agama Islam kerana tertarik dengan nilai-nilai tolerans,i berperikemanusiaan dan prinsip Islam serta kebajikan yang ditunjukkan oleh orang Islam itu sendiri,” kata Dr Hamad.

IACAD banyak menganjurkan program untuk golongan mualaf dan orang bukan Islam dalam memperkenalkan mesej wasatiah yang sebenar Islam sebagai agama untuk semua.

Jabatan yang diasaskan oleh Almarhum Sheikh Rashid Saeed Al Maktoum pada tahun 1969 ini bertindak sebagai badan yang bertanggungjawab menguruskan pusat menghafal Al-Quran, menyelia dan menjaga masjid, menguruskan perlesenan persatuan kebajikan dan institusi Islam dan menyelia hal ehwal pentadbiran, kewangan serta hal ehwal Fatwa.

Setakat ini IACAD mempunyai 17 pusat Islam dan 38 pusat hafalan suci Al-Quran di Dubai.

Baca Seterusnya......

Monday, September 8, 2014

Aneka Nyamuk...

Sumber Tranungkite
Oleh Dr Azman Ibrahim


Maksud Firman Allah dalam surah al Baqarah ayat ke 26,
“Sesungguhnya Allah tidak malu untuk mengambil nyamuk sebagai perumpamaan atau yang lebih daripadanya…”

Nyamuk binatang yang kecil, umur singkat, jarak terbang sangat terhad, kena membiak dalam air walaupun akhirnya dia terbang di udara. Satu makhluk Allah yang lemah, tetapi Allah pernah menghantar nyamuk untuk menamatkan keangkuhan Namrud.

Ramai orang yang dapat kerja kerana wujudnya nyamuk. Kerjanya pula macam-macam. Ada yang buka kilang ubat nyamuk, ada yang jual kelambu nyamuk, ada yang jadi tukang sembur nyamuk dan ada juga yang jadi model iklan ubat nyamuk.

Walaupun kecil dan lemah, sekali dia menggigit, manusia boleh jadi susah. Deman denggi dan deman kepialu adalah antara ‘buah muncung nyamuk’ kepada manusia. Nak namakan buah tangan tak boleh sebab nyamuk tak ada tangan.

Walau hanya seekor nyamuk yang berdengung di telinga, ianya boleh menyebabkan kita tak dapat nak tidur lena. Minat nyamuk pula bertelur di air bertakung yang tenang. Kalau air bertakung itu ada di rumah kita dan terserempak pula dengan penguatkuasa Jabatan Kesihatan, siaplah pitih untuk bayar denda.

Ada orang kata, hobi nyamuk hisap darah manusia. Tapi sebenarnya nyamuk boleh hidup tanpa hisap darah manusia. Kalau hanya darah manusia yang jadi makanan nyamuk, bagaimana dengan nyamuk yang tinggal ditengah-tengah hutan belantara tempat tak ada manusia pergi. Mati kebuluranlah nyamuk tu.

Manusia Melayu juga mempunyai pelbagai peribahasa yang dikaitkan dengan nyamuk. Antaranya:

Hati nyamuk sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Ini adalah lambang hidup muafakat, banyak sama banyak, sikit sama sikit. Maknanya rezeki yang sedikit sama-sama dimakan, yang banyak pun sama-sama diagihkan. Boleh juga diertikan, kerja yang sedikit dibuat bersama, kerja yang besar dan banyak juga dipikul bersama.

Marahkan nyamuk kelambu dibakar. Ianya bermaksud, membuat masalah yang lebih besar kerana perkara yang remeh. Jangan kerana kita nak marahkan seseorang lalu kita rosakkan apa yang sebenarnya memberi manfaat dan faedah kepada kita. Kalau marahkan nyamuk, pukul saja nyamuk tu atau semburlah ubat nyamuk. Kenapa nak bakar kelambu?

Nyamuk ditepuk menjadi daki. Ianya bermaksud, melawan orang yang lemah akan mendatangkan rugi. Tapi kalau nyamuk gigit kita, tetap kena tepuk walaupun akan meninggalkan kesan darah nyamuk.

Nyamuk lepas pijat-pijat kena pirik. Maksudnya orang yang salah terlepas, orang yang tak bersalah pula dihukum.

Nyamuk mati, gatal tak lepas. Maksudnya dendam tetap tak hilang walaupun orang yang bersalah telah dihukum.

Saya pun tak tahu kenapa Puteri Gunung Ledang meletakkan antara syarat untuk Sultan Melaka meminangnya ialah dengan menghantar 7 dulang hati nyamuk. Mungkin sebab di Gunung Ledang banyak nyamuk. Berapa banyak nyamuk yang perlu ditangkap untuk mencukupkan 7 dulang hati nyamuk? Maknanya bila banyak nyamuk yang dibunuh untuk mendapatkan hati maka kuranglah sedikit nyamuk yang menganggu tidur Tuan Puteri Gunung Ledang. Satu kaedah politik yang bijak dari Tuan Puteri. Tak terjangkau dek Hang Tuah.

Tapi bagi saya, dalam banyak-banyak peribahasa, saya nak perkenalkan satu peribahasa baru. Harap Dewan Bahasa dan Pustaka mengiktirafnya.

Nyamuk dalam kelambu. Maksudnya orang yang suka buat onar dan buat kacau dalam satu jemaah yang disertai ramai orang. Mungkin nyamuk ini hanya ada beberapa belas ekor tetapi ia sangat menganggu ribuan orang lain yang ada di situ. Berdengung sana, berdengung sini sehingga merencat keselesaan dan keharmonian orang lain. Baik pergi main jauh-jauh sebelum kena tepuk dan mati tanpa kubur.

Facebook

Baca Seterusnya......

Obesiti: Pelajari jumlah kalori yang diambil

Sumber Sinar

JANGAN salahkan makanan sekiranya anda mengalami masalah obesiti, kata pakar pemakanan dan kecergasan, Kevin Zahri Abdul Ghaffar.
  
Beliau berkata, pengambilan makanan tanpa menghiraukan jumlah kalori yang diperlukan oleh badan dalam sehari adalah punca utama permasalahan obesiti yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat Malaysia.
  
Sehubungan itu, orang ramai perlu mempelajari jumlah kalori dalam setiap makanan yang diambil serta mengetahui teknik pengiraan kalori yang diperlukan oleh badan dalam sehari.
  
"Walaupun pengambilan makanan dalam kuantiti yang sedikit, namun jika jumlah kalorinya tinggi, ia akan tetap menggagalkan proses diet individu berkenaan," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu jemputan program 'Dalam Radar' Radio 24 Bernama.
  
Katanya, tidak menjadi masalah untuk menikmati pelbagai jenis hidangan, namun pengambilan makanan tersebut harus difahami kandungan nutrisinya terlebih dahulu.

Kevin Zahri yang juga pengasas program Jom Kurus 1Malaysia (JK1M) berkata maklumat mengenai jumlah kalori makanan itu boleh diperoleh melalui pelbagai aplikasi maklumat kalori makanan seperti 'My Fitness Pal' yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar.
  
Sementara itu, program JK1M musim ketiga yang akan berlangsung selama enam minggu bermula 13 Sept depan mendapat sambutan menggalakkan di 60 tempat di seluruh negara.
 
Beliau berkata, sehingga kini, penyertaannya mencecah 1,000 orang dan masih terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti untuk menyertainya. - Bernama

Baca Seterusnya......

ABNxcess stesen TV era baharu

Sumber Sinar
ABNxcess menawarkan khidmat TV bersama-sama Internet berkelajuan tinggi dengan harga cukup berpatutan kepada masyarakat Malaysia.
SELARI dengan perkembangan teknologi, negara kini sudah mempunyai stesen televisyen (TV) kabel digital pertama apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Asian Broadcasting Network (M) Sdn Bhd (ABNxcess), pada Jun lalu.

Pelancarannya yang menggambarkan kelahiran 'era baharu' TV, apabila menawarkan khidmat TV bersama-sama internet berkelajuan tinggi dengan harga cukup berpatutan kepada masyarakat Malaysia.

Sejajar dengan tema itu, ABNxcess menawarkan perkhidmatan untuk semua atau ‘Akses Untuk Semua’, bagi memastikan segenap lapisan masyarakat menikmati kandungan siaran berbentuk pendidikan, maklumat dan hiburan.

Ia juga selari dengan visi kerajaan bagi mengurangkan jurang digital serta membina ekonomi berasaskan pengetahuan yang kukuh. Untuk mengetahuinya secara lanjut, Zass berjaya mendapatkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ABNxcess, Sreedhar Subramaniam.

Boleh terangkan sedikit mengenai ABNxcess?

ABNxcess menyertai industri Internet Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HBSB) dengan menawarkan perkhidmatan internet pada harga rendah dan terpantas untuk kegunaan seisi rumah. Kami menggunakan Motorola Mobiliti Home (kini dikendalikan oleh Arris) yang memberi produk dan perkhidmatan berkualiti termasuk kabel modem untuk menyalurkan khidmat HSBB.

Khidmat TV berbayar ABNxcess menggunakan set top box, daripada Motorola yang menyokong fungsi video MPEG 4, TV berdefinisi tinggi, port USB untuk khidmat PVR di masa akan datang, aplikasi permainan dan khidmat informasi.

Pandangan tentang kerjasama ini?

Kerjasama antara Arris dan Motorola adalah satu kelebihan kepada ABNxcess. Arris dan Motorola adalah satu nama besar yang memiliki pengalaman luas dan peneraju industri video serta jalur lebar dan ia adalah satu kelebihan kepada ABNxcess untuk memberi khidmat terbaik kepada pelanggan.

Selain memberi khidmat internet berkelajuan tinggi, penggunaan kabel yang sama turut membolehkan kami menyediakan khidmat video. Perkhidmatan TV berbayar ABNxcess menggunakan teknologi kelas dunia yang tidak akan mendatangkan masalah apabila berhadapan dengan gangguan seperti hujan, ribut petir dan kilat.

Pelancaran kabel TV digital ini menandakan 'era baru' TV di negara ini. Boleh jelaskan dengan lebih lanjut?

Pelaburan yang dibuat oleh ABNxcess pasti akan mengubah landskap sosial, persekitaran dan ekonomi negara. Daripada pelajar yang membuat kerja rumah hinggalah ke media sosial, e-dagang dan hiburan, pengguna kini boleh mengakses, bermain dan berkongsi sebarang data dalam kelajuan yang tinggi.

Ini adalah 'era baharu' yang ingin dibawa oleh ABNxcess kepada negara. Dengan pengumuman ini, ABNxcess akan merealisasikan 'akses untuk semua'. Akses untuk semua... Kami ingin memastikan semua peringkat masyarakat mendapat akses yang baik kepada pelajaran, maklumat dan hiburan bagi merapatkan jurang digital dan memperkukuhkan ekonomi berdasarkan pengetahuan.

Sejak dilancarkan Jun lalu, bagaimanakah sambutan yang diterima?


Semestinya menggalakkan. Ramai yang sering bertanya dan menantikan bilakah perkhidmatan ini akan 'sampai' ke tempat mereka. Kini, kami sedang berusaha memperluaskan operasi ke seluruh negara dengan sasaran lima juta pelanggan menjelang tahun 2017. Pada masa ini, lebih 30,000 telah melanggan perkhidmatan kami dan jumlah itu semakin meningkat dari sehari ke sehari.

Bagaimana dengan tawaran harga yang diberi?

Siaran TV kabel ABNxcess bermula daripada RM29.90 sebulan bagi 50 siaran TV termasuk 10 siaran HD, perkhidmatan internet daripada RM129 sebulan untuk kelajuan 10 Mbps serta RM158.99 bagi pakej kedua-dua sekali. begitu pun, sebagai promosi, perkhidmatan pakej buat masa ini ditawarkan pada harga RM98.99 sebulan.

Kami mampu menawarkan harga rendah berikutan penggunaan rangkaian Coaxial Serat Hibrid (HFC) yang memerlukan kos lebih rendah. Teknologi ini berbeza dengan teknik yang digunakan penyedia perkhidmatan sedia ada iaitu sambungan wayar fiber ke rumah yang mana sambungan seperti ini sangat mahal dan memerlukan tempoh yang panjang untuk menebus semula kos yang dikeluarkan.

Perkembangan terkini ABNxcess?

ABNxcess memperuntukkan RM2 bilion bagi memperluas sekali gus memantapkan operasi dalam tempoh empat tahun. Jumlah itu antara lain akan digunakan untuk membuka pusat servis di negeri lain bermula dengan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Kami juga merancang untuk meningkatkan kapasiti dan menyasarkan lebih 200 saluran televisyen menjelang 2015. Buat masa ini, ABNxcess hanya terdapat di sekitar Lembah Klang dan Johor Bahru.

Kami akan memperluaskan perkhidmatan di Kajang, Seremban, Ipoh dan Melaka menjelang hujung tahun ini. Selain itu, kami berhasrat meliputi lebih 70 peratus perkhidmatan ini di seluruh negara menjelang 2017.

Bukankah perkhidmatan ABNxcess mirip dengan perkhidmatan sedia ada kini?

Saya akui perkhidmatan yang ditawarkan seakan-akan sama dengan produk sedia ada seperti HyppTV atau Astro Byond IPTV, namun kami melihat masih ada ruang dan peluang di pasaran tempatan untuk ABNxcess muncul sebagai penyedia perkhidmatan baharu di pasaran.

Baca Seterusnya......