Sumber Tranungkite
Oleh Dr Azman Ibrahim
Maksud Firman Allah dalam surah al Baqarah ayat ke 26,
“Sesungguhnya Allah tidak malu untuk mengambil nyamuk sebagai perumpamaan atau yang lebih daripadanya…”
Nyamuk binatang yang kecil, umur singkat, jarak terbang sangat terhad, kena membiak dalam air walaupun akhirnya dia terbang di udara. Satu makhluk Allah yang lemah, tetapi Allah pernah menghantar nyamuk untuk menamatkan keangkuhan Namrud.
Ramai orang yang dapat kerja kerana wujudnya nyamuk. Kerjanya pula macam-macam. Ada yang buka kilang ubat nyamuk, ada yang jual kelambu nyamuk, ada yang jadi tukang sembur nyamuk dan ada juga yang jadi model iklan ubat nyamuk.
Walaupun kecil dan lemah, sekali dia menggigit, manusia boleh jadi susah. Deman denggi dan deman kepialu adalah antara ‘buah muncung nyamuk’ kepada manusia. Nak namakan buah tangan tak boleh sebab nyamuk tak ada tangan.
Walau hanya seekor nyamuk yang berdengung di telinga, ianya boleh menyebabkan kita tak dapat nak tidur lena. Minat nyamuk pula bertelur di air bertakung yang tenang. Kalau air bertakung itu ada di rumah kita dan terserempak pula dengan penguatkuasa Jabatan Kesihatan, siaplah pitih untuk bayar denda.
Ada orang kata, hobi nyamuk hisap darah manusia. Tapi sebenarnya nyamuk boleh hidup tanpa hisap darah manusia. Kalau hanya darah manusia yang jadi makanan nyamuk, bagaimana dengan nyamuk yang tinggal ditengah-tengah hutan belantara tempat tak ada manusia pergi. Mati kebuluranlah nyamuk tu.
Manusia Melayu juga mempunyai pelbagai peribahasa yang dikaitkan dengan nyamuk. Antaranya:
Hati nyamuk sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Ini adalah lambang hidup muafakat, banyak sama banyak, sikit sama sikit. Maknanya rezeki yang sedikit sama-sama dimakan, yang banyak pun sama-sama diagihkan. Boleh juga diertikan, kerja yang sedikit dibuat bersama, kerja yang besar dan banyak juga dipikul bersama.
Marahkan nyamuk kelambu dibakar. Ianya bermaksud, membuat masalah yang lebih besar kerana perkara yang remeh. Jangan kerana kita nak marahkan seseorang lalu kita rosakkan apa yang sebenarnya memberi manfaat dan faedah kepada kita. Kalau marahkan nyamuk, pukul saja nyamuk tu atau semburlah ubat nyamuk. Kenapa nak bakar kelambu?
Nyamuk ditepuk menjadi daki. Ianya bermaksud, melawan orang yang lemah akan mendatangkan rugi. Tapi kalau nyamuk gigit kita, tetap kena tepuk walaupun akan meninggalkan kesan darah nyamuk.
Nyamuk lepas pijat-pijat kena pirik. Maksudnya orang yang salah terlepas, orang yang tak bersalah pula dihukum.
Nyamuk mati, gatal tak lepas. Maksudnya dendam tetap tak hilang walaupun orang yang bersalah telah dihukum.
Saya pun tak tahu kenapa Puteri Gunung Ledang meletakkan antara syarat untuk Sultan Melaka meminangnya ialah dengan menghantar 7 dulang hati nyamuk. Mungkin sebab di Gunung Ledang banyak nyamuk. Berapa banyak nyamuk yang perlu ditangkap untuk mencukupkan 7 dulang hati nyamuk? Maknanya bila banyak nyamuk yang dibunuh untuk mendapatkan hati maka kuranglah sedikit nyamuk yang menganggu tidur Tuan Puteri Gunung Ledang. Satu kaedah politik yang bijak dari Tuan Puteri. Tak terjangkau dek Hang Tuah.
Tapi bagi saya, dalam banyak-banyak peribahasa, saya nak perkenalkan satu peribahasa baru. Harap Dewan Bahasa dan Pustaka mengiktirafnya.
Nyamuk dalam kelambu. Maksudnya orang yang suka buat onar dan buat kacau dalam satu jemaah yang disertai ramai orang. Mungkin nyamuk ini hanya ada beberapa belas ekor tetapi ia sangat menganggu ribuan orang lain yang ada di situ. Berdengung sana, berdengung sini sehingga merencat keselesaan dan keharmonian orang lain. Baik pergi main jauh-jauh sebelum kena tepuk dan mati tanpa kubur.
Facebook
Monday, September 8, 2014
Aneka Nyamuk...
Posted by Suhaimi at 3:37 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment