PETALING JAYA: Keputusan pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM) yang julung kali menggunakan e-undi digantung sementara waktu sehingga siasatan mengenainya selesai dijalankan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan.
Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr Ghauth Jasmon hari ini membuat keputusan tersebut selepas mengadakan perbincangan selama tiga jam dengan wakil kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) yang sebelum itu berhimpun di depan bangunan Canselori membantah keputusan pilihan raya kampus yang dimenangi barisan Pro-Aspirasi (Pro-A).
Malah, beliau berjanji akan menyiasat aduan tersebut secara terperinci.
"E-undi julung kali diguna pakai pada sesi ini dan pihak universiti tidak akan tergesa-gesa untuk mengumumkan keputusan rasmi.
"Kita akan jalankan siasatan ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan warden kolej kediaman yang dikatakan memaksa pelajar mengundi calon tertentu," katanya kepada The Star di sini malam ini.
Terdahulu, kira-kira 200 pelajar Pro-M membanjiri perkarangan luar pejabat Naib Canselor UM sejak malam tadi dan menuntut bertemu dengan beliau ekoran tidak berpuas hati dengan kemenangan lawan mereka.
Tinjauan mStar Online mendapati, ada di kalangan penyokong Pro-M memakai baju oren dan melilit kepala mereka dengan kain yang tertera mesej 'Bantah', 'Manual' dan 'Mansuhkan E-Voting'.
Ada yang merentangkan kain pemidang 'E-Voting Menyusahkan' sambil melaungkan slogan 'hidup mahasiswa' dan 'kami menuntut keadilan'.
Mereka antara lain menuntut pihak universiti menyiasat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Alumni UM, Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris serta kakitangan dan warden asrama yang didakwa mempengaruhi para pelajar mengundi calon tertentu.
Mereka turut menuntut sistem pengundian secara manual diguna pakai semula serta melantik seorang pakar teknologi maklumat untuk menguji sistem e-undi.
Mengenai dakwaan para pelajar itu, Ghauth berkata, beliau akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan susulan.
Beliau turut membenarkan wakil Pro-M dan pakar komputer yang dipilih menguji sistem e-undi sama ada ia boleh digodam atau tidak.
"Saya fikir masalah ini dapat diselesaikan seawal-awalnya Rabu depan," ujarnya.
Selepas pertemuan itu, pelajar-pelajar terbabit beralih ke dataran di depan Dewan Tunku Canselor sebelum segelintir daripada mereka bertindak liar membakar akhbar tabloid yang dikatakan menyiarkan laporan yang tidak tepat berkaitan keputusan pemilihan.
Lebih teruk terdapat sebilangan mereka memusnahkan satu set komputer sebagai simbol membantah e-undi.
Keadaan bertambah tegang apabila sekumpulan mahasiswa Pro-A muncul sambil merentangkan kain "NC di hati kami. NC is one!! Kami sokong kepimpinan NC".
Kedua-dua kumpulan terbabit didapati hampir bergaduh sebelum pengawal dan pegawai keselamatan meredakan keadaan.
Saturday, January 30, 2010
Keputusan Pilihan Raya Kampus UM Digantung
Posted by Suhaimi at 8:08 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment