Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, February 14, 2011

Menghayati Perjuangan dan Kemenangan Muhammad Ibn Abdullah SAW

Kalimah Allahu Akbar telah bergema dan berkumandang di setiap penjuru bumi Allah s.w.t ini, siang dan malam. Diulang-ulang oleh jutaan manusia, gema suara itu terus menerus sepanjang empat belas abad yang lalu tanpa berhenti dan tidak pula mati. Walaupun pemerintahan negara silih berganti dan keadaan alam sekitar selalu berubah, tetapi laungan kalimah Allahu Akbar tidak akan bertukar ganti. Bergemanya laungan abadi berkenaan menjadi bukti yang nyata bagi kemenangan Muhammad ibn Abdullah s.a.w.

Kemenangan itu bukanlah dimaksudkan dengan kemenangan dalam pertempuran di medan, juga bukan dimaksudkan dengan kemenangan membuka Makkah dan menyatukan seluruh Semenanjung Arab di bawah pemerintahan Islam. Juga bukan dimaksudkan kemenangan menundukkan dua kerajaan yang besar pada masa itu iaitu Rom dan Farsi, tetapi kemenangan yang dimaksudkan ini adalah kemenangan yang bersifat sejagat, menjiwai penyusunan hidup ini, merubah perjalanan sejarah dan memberi nilai-nilai murni dan tetap (thabat) sepanjang zaman.

Sesungguhnya kemenangan Rasulullah s.a.w itu tidak lenyap walaupun kadang-kadang berlaku kelemahan yang mendatang ke atas umat Islam. Nilainya tidak hilang meskipun timbul berbagai aliran baru (dengan nama-nama baru) serta berbagai falsafah moden, cahayanya tidak padam dengan penguasaan satu golongan ke atas golongan yang lain. Ini disebabkan oleh asasnya yang amat kukuh bertapak di alam ini, menjiwai hati manusia dan menjelma dalam berbagai lapangan hidup ini.

Pada hakikatnya kemenangan itu telah membawa bukti-bukti yang nyata tanpa memerlukan bukti-bukti yang lain lagi, cuma apa yang perlu bagi kita ialah mengkaji dan menyelidiki bagi mengetahui faktor-faktor kemenangannya serta jalan yang telah dilalui baginda.

Tidak syak lagi bahawa Allah s.w.t menghendaki kemenangan bagi Nabi Muhammad s.a.w serta menghendaki Deen Islam itu menguasai alam ini. Bagaimanapun Allah s.w.t tidak memberi kemenangan dengan begitu mudah sekali, Allah s.w.t tidak menjadikannya seperti ‘mukjizat’ tanpa memerlukan mujahadah serta jalan yang perlu diikuti oleh manusia. Kita lihat di dalam seerah bahawa Allah s.w.t menjadikan kemenangan itu sebagai hasil tabii dari Jihad Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda, serta natijah yang selayaknya dari pengorbanan mereka.
Sesiapa yang ingin mengetahui bagaimana Rasulullah s.a.w mencapai kemenangan, serta bagaimana Islam berjaya, maka hendaklah ia mempelajari serta meneliti akan keperibadian Rasulullah s.a.w, tindakannya, perjalanan hidupnya (sirahnya) serta jihadnya semoga dia dapat memahami bahawa jalan kemenangan/kejayaan itu sudah tersedia dan terbentang serta faktor-faktornya telah sedia wujud. Sesiapa juga inginkan kemenangan walau di zaman mana dan di mana tempat ia berada, oleh itu hendaklah ia mengikut contoh-contoh yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w.

Terdapat tiga nilai asasi kejayaan Muhammad ibni Abdullah s.a.w:

Pertama: Kejayaan Peribadi Baginda Rasulullah s.a.w sendiri - ketika mana orang-orang kafir Quraisy meminta bapa saudaranya ( Abu Talib ) supaya menahan baginda daripada bercakap mengenai tuhan-tuhan mereka, mereka telah membuat berbagai tawaran kepadanya, sekiranya baginda mahukan hartabenda maka mereka akan berikannya, jika baginda inginkan pangkat maka mereka akan mengangkatnya menjadi raja dan apa sahaja yang dikehendaki olehnya maka mereka akan berikan semuanya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah berjaya mengetuk pendengaran mereka dan pendengaran dunia umumnya di sepanjang zaman dengan sumpahnya yang abadi yang terbit dari keimanan dan keyakinannya, sumpah berkenaan membawa maksud :“Demi Allah !, sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku untuk aku tinggalkan urusan ini (perintah Allah), maka sekali-kali aku tidak akan tinggalkan sehingga Allah buktikan kejayaannya ataupun aku mati”
Sungguh hebat, Inilah gambaran tindakan yang dicetuskan oleh Iman sejati, bukan terbit dari khayalan manusia semata.

Kedua: Kejayaan Rasulullah s.a.w Membentuk para Sahabat Ridhwanullahialaihim; pengikut setia yang merealisasikan iman mereka dalam gerak kehidupan mereka. Baginda berjaya membentuk/mencorak mereka mengikut corak al Quran sehingga jadilah mereka itu ibarat al Quran yang bergerak di atas muka bumi ini. Baginda berjaya menjadikan mereka sebagai model berjisim bagi Islam, jika manusia melihat mereka, bermakna melihat Islam itu sendiri.
Sebenarnya nas-nas (ayat-ayat) al Quran sahaja tidak bermakna sekiranya tidak dijelmakan dalam amalan seseorang, prinsip-prinsip sahaja tidak hidup melainkan dijelmakan dalam tingkahlaku dan amalan hidup ini. Kita dapati Rasulullah s.a.w meletakkan haluan utamanya ialah: membentuk rijal/pendokong-pendokong Islam, tidak semata-mata menyampaikan peringatan-peringatan sahaja. Baginda mendidik jiwa mereka, tidak semata-mata berkhutbah sahaja. Baginda membina Ummah bukan membangunkan falsafah.

Adapun fikrah (pemikiran) Islam itu telah terkandung di dalam al Quran al Karim, maka peranan Rasulullah s.a.w ialah membentuk Rijal yang mendokong fikrah tersebut sehingga dapat disaksikannya dengan mata kasar. Apabila rijal yang sudah terbentuk keperibadian mereka itu bergerak menjalankan aktiviti mereka di atas mukabumi ini, maka manusia lain melihat suatu keperibadian yang unik yang tidak pernah dilihat sebelum itu kerana keperibadian mereka itu adalah terjemahan atau jelmaan dari fikrah Islam yang unik, yang tidak pernah dikenali dalam sejarah manusia sebelum itu. Ketika itu barulah manusia lain yakin dengan fikrah Islam kerana mereka telah yakin kepada rijal atau pendokong-pendokong fikrah itu yang telah menghayati Islam sepenuhnya dalam kehidupan mereka, juga barulah mereka mahu mengambil contoh tauladan serta menuruti jalan yang telah dilalui oleh rijal tersebut. Fikrah Islam sahaja tidak akan hidup melainkan apabila fikrah itu dijelmakan di dalam kehidupan manusia seluruhnya. Dalam hal ini kita dapati Rasulullah s.a.w telah berjaya membentuk atau mendidik sehingga fikrah Islam itu menjadi manusia yang berfikrah. Baginda berjaya dalam tarbiyyahnya sehingga keimanan mereka itu lahir dalam bentuk amalan praktik hidup, seolah-olah baginda berjaya mencetak berpuluh-puluh, beratus-beratus bahkan beribu-ribu naskah al Quran, tetapi bukanlah dicetak dengan dakwat atas lembaran-lembaran kertas, hanya sanya baginda mencetak beribu-ribu naskah al Quran itu dengan Nur Iman di ats lembaran-lembaran hati dan jiwa manusia. Generasi al Quran itulah yang dikeluarkan ke tengah-tengah masyarakat manusia, menjelas dan menghuraikan dengan perbuatan serta amalan mengenai apakah Islam yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi utusan Allah s.w.t itu.

Ketiga: Kejayaan Rasulullah s.a.w ketika mana Baginda Menjadikan Islam Sebagai Peraturan Yang Sempurna Yang Mentadbir Hidup Manusia – menyusun masyarakat, mengatur perhubungan di antara manusia dan menentukan nilai-nilai manusia dan benda.
Sesungguhnya Islam itu adalah suatu ‘aqidah yang melahirkan syariat dan terbina di atas syariat itu suatu sistem atau peraturan. Himpunan ‘aqidah dan syariat serta sistem itu maka terbentuklah pokok Islam, tiap-tiap pokok ada akarnya, batangnya dan buahnya (hasilnya), tidak tegak batang dan tidak lahir buahnya tanpa akarnya yang menjunam ke dalam bumi, tidak bernilai bagi akar yang tidak tumbuh batang pokoknya dan tidak bernilai atau berfaedah pokok yang tidak mengeluarkan hasilnya.

Kesimpulannya, bagi melahirkan natijah-natijah amali Islam tersebut maka perlu kepada satu keyakinan (keImanan) yang mendalam terhadap Rasulullah s.a.w dan apa yang dibawa oleh baginda (disamping keImanan kepada Allah s.w.t). Ucapan dua kalimah syahadah itu tidak semata-mata pengakuan dibibir sahaja. Bahkan mesti lahir daripada hati yang yakin dan sedar. Sebenarnya ucapan dua kalimah syahadah itu adalah Bai’ah (janji setia kita bahawa) Tiada Ilah yang disembah melainkan Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w itu adalah pesuruh Allah s.w.t.
Perlu ada keyakinan bahawa Allah s.w.t adalah Pencipta alam, Penggubal undang-undang, peraturan-peraturan, syar’iat. SistemNya sahaja yang perlu dipatuhi dan kepadaNya sahaja perlu diperhambakan. Perlu meyakini bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu adalah diutuskan oleh Allah s.w.t bagi melaksanakan perintah-perintah Nya, memimpin seluruh manusia ini menurut arahan-arahan Allah s.w.t. Perjalanan hidup Rasulullah s.a.w itu menjadi contoh yang baik serta model utama bagi seluruh alam ini, pimpinan dan sistem yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu bukan rekaan menurut hawa nafsu tetapi mendapat pertunjuk Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t :-“dan tiadalah yang diucapkan itu (al Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya.

Ucapan itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)”(Surah an Najm : 3-4)
Banyak ayat-ayat al Quran al Karim yang memerintahkan kita dan para Mu’minin agar mematuhi dan mentaati Rasulullah s.a.w , sebagai natijah daripada ikrar ketaatan kita kepada baginda. Antara firman-firman Allah s.w.t :-

“Katakanlah : Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”(Surah ali ‘Imran : 31)

“Barangsiapa yuang mentaati Rasul itu, sesungguhnya ia telah mentaati Allah. Dan barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan itu), maka Kami tidak m engutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka.”(Surah an Nisaa’ : 80)

“Apa sahaja harta rampasan (fa-I) yang diberikan Allah kepada Rasul Nya yang berasas dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman Nya.”(Surah al Hasyr : 7)

Setiap Mu’min diwajibkan mencintai Rasulullah s.a.w sehingga baginda pernah bersabda yang maksudnya;“Tidak sempurna Iman seseorang kamu sehingga ia menjadikan aku lebih dicintai dari dirinya, anaknya, hartanya dan manusia seluruhnya”

Menurut hadith ini ternyata bahawa cinta yang sebenarnya terletak kepada keikhlasan mematuhi apa yang disukai oleh Rasulullah s.a.w dan mematuhi apa yang tidak disukai oleh baginda.

Begitu juga kita, orang Mu’min , diwajibkan menghormati Rasulullah s.a.w seperti yang diisyaratkan olah Allah s.w.t di dalam al Quran al Karim :
“Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain). Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang-orang yang beransur-ansur pergi di antara kamu dengan berlindung (kepada kawannya), maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih. “(Surah an Nuur : 63)

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul Nya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu lebih dari suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedari. Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah , mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah untuk bertaqwa. Bagi mereka ampunan dan pahala yang besar. “(Surah al Hujuraat : 1-3)


Menghormati Rasulullah s.a.w bukan sahaja semasa ada hayat baginda, bahkan selepas wafat baginda juga kita mesti bersopan dengan Rasulullah s.a.w. Kerana itu dikala mana kita membaca atau mendengar hadith-hadith Rasulullah s.a.w, kita wajib meyakini hadith atau sunnah tersebut. Kita dikehendaki mendengar dengan cara bersungguh-sungguh, penuh perhatian, penuh kefahaman serta bersedia untuk mengamalkan dan melaksanakannya sepertimana arahan-arahan yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w sendiri.

Hendaklah kita menyedari bahawa al Quran al Karim dan as Sunnah Rasulullah s.a.w itu mempunyai peranan untuk mengawal, menjaga, memelihara fitrah, kesucian manusia ciptaan Allah s.w.t. Oleh itu kita wajib membimbing dan mendidik fitrah kita supaya tetap dalam keadaan suci dan bersih (Fitrah Salimah). Caranya ialah dididik dan disirami dengan ajaran al Quran al Karim dan dibajai dengan as Sunnah an Nabawiyyah Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t :-
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”(Surah al Ahzab : 21)
Wallahu’alam.

0 comments: