Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Sunday, February 27, 2011

Qardawi penjenayah: Presiden PAS gesa Najib bertaubat

Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 26 Feb: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak segera bertaubat ekoran melabel Ikhwanul Muslimin dan Sheikh Dr Yusof al Qardhawi sebagai pengganas.

Presiden PAS itu dalam satu kenyataan berkata, beliau berasa sangat terkejut, kecewa dan teramat jengkel dengan tuduhan ekstrem yang diberikan Najib terhadap gerakan Islam antarabangsa itu.

"Tuduhan bahawa Islam cenderung kepada keganasan adalah fitnah dan orang tersebut mesti segera bertaubat jika dalam dirinya masih ada iman sebesar zarah," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Najib sewaktu berucap pada satu program di Istanbul beberapa hari yang lalu.

Tambahnya, tuduhan yang dibuat Najib itu juga merupakan satu fitnah besar yang dibuat oleh golongan yang buta sejarah perjuangan menentang penjajahan dan bercakap mengikut selera hati golongan barat yang memekakkan telinga kepada kebenaran.

Beliau menegaskan, tindakan mengambil sikap dan pandangan setiausaha negara Amerika sebagai neraca menentukan jenis pemerintahan yang bersandarkan kepada Islam adalah tindakan orang yang tidak mempunyai jati diri sebagai seorang Islam dan sangat memalukan orang Islam itu
sendiri.

Ikhwan katanya, ditubuhkan untuk melaksanakan Islah dan tajdid berasaskan Al Quran dan Hadis, dengan memulakan perjuangannya secara
jalan damai dan tidak pernah menyerah kalah terhadap kezaliman musuh sehingga ke hari ini.

Mereka menyertai pilihanraya sejak awal lagi di Mesir, tetapi apabila pengaruh mereka tersebar luas, pergerakan ini diharamkan dan
pemimpinnya dizalimi.

Manakala Al Qardhawi pula adalah tokoh ulama berwibawa yang dilahirkan oleh Ikhwan.

"Dia berjaya meredakan golongan pelampau di kalangan pemuda Islam yang tidak sabar dengan kezaliman musuh sehinggalah mereka kembali ke pangkal jalan berjuang mengikut ajaran Islam yang sebenar," katanya.

Malah Malaysia sendiri katanya pernah memberikan Anugerah Maal Hijrah kepada beliau.

"Saya mencabar kerajaan Malaysia menarik balik anugerah maal hijrah yang telah diberikan kepada Sheikh Dr Yusof al Qardhawi itu," cabarnya.

0 comments: