‘MATA hitam’ yang biasanya dirujuk kepada bahagian depan mata ialah ‘kornea’ yang sebenarnya satu struktur yang cerah dan lutsinar.
Ia merupakan struktur yang utuh dan menjadi dinding di bahagian depan bola mata. Ketebalan kornea juga berbeza-beza di mana bahagian tengah lebih nipis, iaitu 0.5 milimeter (mm) berbanding di bahagian tepinya, 1.2 mm.
Kornea memainkan peranan penting sebagai laluan cahaya kepada retina supaya imej dapat dilihat dengan jelas.
Jangkitan kuman pada kornea atau ulser kornea boleh memudaratkan penglihatan dan menyebabkan kebutaan yang kekal dan juga kehilangan mata.
Satu kajian yang dijalankan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menunjukkan kaum lelaki berumur 20 hingga 40 tahun lebih terdedah kepada risiko penyakit ini.
Faktor-faktor risiko yang menyebabkan jangkitan kornea adalah kecederaan mata, penggunaan kanta lekap, penggunaan ubat titis steroid yang berleluasa (tidak mengikut panduan pakar mata) dan juga penyakit kornea yang sudah sedia ada.
* Bermacam jangkitan
Jangkitan kuman boleh disebabkan oleh mikroorganisma seperti bakteria, virus, kulat (fungus) dan juga parasit.
Jangkitan kuman pada kornea yan
g disebabkan oleh pemakaian kanta lekap lebih kerap melibatkan pesakit yang lebih muda, iaitu di dalam lingkungan 20 hingga 29 tahun.
Pemakaian kanta lekap terutamanya jenis ‘extended wear’ (berpanjangan) boleh menyebabkan kecederaan kepada lapisan epithelium kornea dan ini menjurus kepada penularan kuman ke bahagian yang lebih dalam.
Pemakai kanta lekap yang mempunyai gejala mata merah dan sakit mata harus berjumpa doktor mata dengan segera untuk mendapatkan pemeriksaan dan jika perlu, rawatan untuk jangkitan kuman.
Pesakit-pesakit yang sudah mempunyai penyakit mata yang sedia ada juga terdedah kepada risiko jangkitan kornea.
Mereka mungkin telah lama menghidap penyakit mata seperti mata kering (dry eyes), masalah menutup mata akibat penyakit saraf (exposure keratopathy), bekas jangkitan kuman virus herpes (post-herpetic corneal diseases) dan lain-lain.
Risiko mendapat jangkitan akan meningkat sekiranya terdapat jangkitan lain di sekitar mata dan penggunaan ubat titis jenis steroid yang berpanjangan.
Kajian kami terhadap jangkitan bakteria kepada kornea menunjukkan majoritinya disebabkan oleh kuman Pseudomonas aeruginosa, Staphylococcus aureus, spesies Streptococcus dan spesies Bacillus.
Lain-lain jangkitan bakteria dari spesies seperti Neisseria, Listeria, dan Klebsiella juga boleh berlaku.
Penyakit herpes juga boleh menyebabkan jangkitan kepada kornea sama ada dari virus jenis Herpes simplex atau Herpes zoster.
Jangkitan herpes boleh melibatkan bahagian mata putih (konjunktiva) dan juga bahagian kulit di sekitar mata.
Jangkitan kulat pula sangat bahaya dan boleh menyebabkan komplikasi yang sangat teruk kepada mata pesakit.
Jangkitan kulat kepada kornea biasanya berlaku berikutan kecederaan sewaktu bekerja seperti luka tertusuk duri kelapa sawit, terpercik getah cair atau cuka getah, duri buah salak, habuk kayu dan sebagainya.
Jangkitan ini cepat merebak dan menjadi teruk dalam sekelip mata dengan pemakaian ubat titis jenis steroid yang boleh dibeli tanpa nasihat (preskripsi) doktor.
Contoh kulat yang sering menjangkiti kornea adalah seperti spesies Fusarium, spesies Aspergillus dan spesies Candida.
Bagi kuman jenis protozoa pula, kuman Acanthamoeba didapati hidup berleluasa di udara, tanah, air kolam renang, kolam air panas atau tasik air tawar.
Oleh itu pemakai kanta lekap yang sering menggunakan air paip atau air suling adalah berisiko mendapat jangkitan kuman Acanthamoeba ini.
* Manifestasi klinikal jangkitan
Hampir kesemua pesakit yang menghidapi jangkitan pada kornea akan mengalami mata merah yang sakit dan bengkak.
Majoriti pesakit juga mengalami penglihatan yang kabur. Mata berair, tahi mata dan silau mungkin juga sebahagian daripada gejala jangkitan kuman.
Pemeriksaan pada kornea bergantung kepada peringkat jangkitan ketika pesakit datang mendapatkan rawatan.
Tanda-tanda jangkitan boleh dilihat sebagai ulser putih pada kornea yang merupakan penularan kuman ke bahagian lapisan dalam kornea iaitu stroma dan endothelium.
Jangkitan yang teruk akan menyebabkan pengumpulan nanah di bahagian ruang depan mata iaitu ‘hyopoyon’.
Jangkitan di peringkat lewat pula akan menyebabkan lapisan kornea bocor (corneal perforations).
Kebanyakan pesakit yang menghidapi jangkitan kornea datang berjumpa doktor mata di peringkat lewat iaitu selepas mereka berikhtiar mendapatkan rawatan sendiri atau dirawat dengan ubat yang tidak sesuai.
Kajian kami menunjukkan 70 peratus kes yang dilapor melibatkan jangkitan di bahagian tengah kornea, iaitu tempat laluan maksimum cahaya, dengan saiz ulser yang besar iaitu lebih daripada 4 mm.
Setelah mendapatkan riwayat (sejarah kesihatan pesakit) dan menjalankan pemeriksaan, doktor akan melakukan rejim rawatan berdasarkan jenis kuman sama ada bakteria, virus, fungus atau protozoa.
Biasanya ‘corneal scraping’ iaitu mendapatkan sedikit tisu kornea dari kawasan ulser akan dilakukan untuk dihantar ke makmal bagi mengesan jenis kuman yang menjangkiti mata (culture and sensitivity).
Rawatan akan dimulakan dengan segera dan ia akan diselaraskan dengan keputusan makmal yang diperoleh.
Pesakit dengan jangkitan kornea yang teruk akan dinasihatkan tinggal di wad bagi memudahkan proses rawatan.
* Komplikasi jangkitan kornea
Jangkitan yang teruk akan menyebabkan kornea menjadi semakin nipis dan mungkin juga bocor. Prosedur kecil bagi menghadapi masalah ini adalah seperti menggunakan ‘glue’, ‘graft’ dan juga ‘flap’.
Keradangan dan jangkitan mata yang teruk boleh menyebabkan masalah tekanan mata menjadi lebih tinggi dan juga pembentukan selaput katarak.
Jangkitan yang menular ke bahagian belakang mata pula boleh menyebabkan keseluruhan bola mata dijangkiti iaitu keadaan dipanggil ‘endophthalmitis’.
Keadaan yang teruk ini mungkin menyebabkan doktor terpaksa membedah dan membuang keseluruhan isi dalam mata melalui pembedahan ‘evisceration’.
Thursday, February 4, 2010
Jangkitan Kuman Pada Mata Hitam (Kornea)
Posted by Suhaimi at 12:06 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment